Hujan buatan MetMalaysia

Apakah yang dimaksudkan sebagai pembenihan awan?

Pembenihan awan merupakan suatu proses untuk mempercepatkan penurunan hujan di mana nuklei kondensasi seperti natrium klorida atau nuklei ais seperti silver iodide disemburkan ke dalam awan.

Proses ini akan meningkatkan lagi jumlah nuklei kondensasi di dalam awan tersebut apabila pelbagai saiz nuklei kondensasi awan dan wap air di dalam awan tertarik kepada bahan-bahan higroskopik ini untuk membentuk titisan-titisan air yang lebih besar.

Proses ini mempercepatkan perkembangan titisan-titisan air sehingga mencapai saiz yang cukup besar dan berat dan akhirnya turun sebagai hujan.

Dalam keadaan bagaimanakah pembenihan awan perlu dilakukan?

Sekiranya terdapat masalah kekurangan air atau masalah jerebu yang serius melanda negara, maka operasi pembenihan awan akan dijalankan.

Proses pembenihan awan perlu dilakukan pada awan-awan yang sesuai yang mengandungi cukup kandungan wap air untuk bertindakbalas dengan agen semburan yang digunakan.

Di samping itu arus menaik dalam atmosfera menjadi faktor utama untuk membawa zarah semburan garam ke dalam awan.

Semasa di dalam awan, proses pelanggaran dan percantuman berlaku iaitu partikel-partikel garam yang disembur ke dalam awan bergerak dengan tenaga yang kuat dan menarik titisan-titisan wap air, bergabung dan membentuk titisan yang besar serta berat dan akhirnya turun sebagai hujan.

Oleh demikian, didapati peratusan kejayaan sesuatu operasi pembenihan awan adalah bergantung sepenuhnya kepada keadaan atmosfera dan pembentukan awan yang bersesuaian. 

Justeru itu, bagi memastikan operasi pembenihan yang dijalankan adalah berkesan maka persediaan awal perlu dilakukan.

Maklumat cuaca terkini dan data cuaca yang berkaitan perlu dianalisis dengan teliti bagi mengenal pasti lokasi pembentukan awan sebelum memulakan operasi.

Apakah kemudahan yang ada di Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi melaksanakan pembenihan awan?


Bagi melaksanakan operasi pembenihan awan, kemudahan-kemudahan yang terdapat di MetMalaysia seperti radar, satelit, peralatan pencerapan dan model-model cuaca merupakan sumber penting bagi menentukan keadaan cuaca semasa.

Data pencerapan dan ramalan cuaca penting sebelum memulakan operasi dan selepas operasi dijalankan data tersebut akan dirujuk untuk menentukan kejayaan pembenihan awan.

Berapakah kepakaran yang dimiliki oleh MetMalaysia untuk melaksanakan tugasan tersebut?

Bagi setiap operasi yang dijalankan, seramai antara empat hingga lima orang pegawai diperlukan untuk mengendalikan operasi pembenihan awan.

Pegawai yang mengetuai operasi ini bertanggungjawab memantau keseluruhan operasi. Dua orang pegawai akan turut serta dalam penerbangan bagi mengenal pasti awan, menentukan lokasi dan mencatatkan maklumat yang diperlukan.

Pegawai lain yang terlibat akan bertugas di stesen-stesen pencerapan dan memantau hasil pembenihan yang dijalankan serta menyediakan laporan selepas operasi selesai dijalankan.

Bagaimanakah cara-cara pembenihan awan dilakukan?


Terdapat dua cara pembenihan awan yang dijalankan di negara ini iaitu kaedah semburan larutan garam dan kaedah pyrotechnic hygroscopic flare.

Pembenihan awan yang menggunakan kaedah semburan iaitu garam akan dilarut dengan 1000 liter (L) air dan dimasukkan ke dalam tangki.

Tangki yang penuh diisi dengan larutan garam diangkut ke dalam pesawat untuk disembur pada dasar awan yang sesuai.

Kaedah hygroscopic flare pula adalah lebih mudah iaitu flare dipasang pada rak yang disediakan pada sayap pesawat.

Semasa memasuki dasar awan yang telah dikenal pasti flare tersebut dibakar dan zarah-zarah garam akan tersebar ke dalam awan untuk bertindak balas.

Awan yang dikenal pasti dan sesuai untuk pembenihan adalah awan kumulus menjulang (towering cumulus) dan kebiasaannya pembenihan dijalankan pada ketinggian 3,000 – 5,000 kaki (suhu di bawah takat beku–awan panas). Awan-awan ini sesuai kerana udaranya yang lembap dan mempunyai kandungan wap air yang banyak untuk penghasilan hujan. Arus menaik yang kuat pada paras ini akan membantu membawa bahan kimia yang disembur ke dalam awan untuk menghasilkan hujan.

Apakah peralatan yang digunakan?

Bagi menjalankan pembenihan awan, pesawat merupakan peralatan yang paling penting yang digunakan untuk membawa bahan semburan dan hygroscopic flare ke dasar awan.

Setiap tahun MetMalaysia akan membuat perolehan penyewaan pesawat sebagai persediaan awal sekiranya perkhidmatan menjalankan pembenihan awan diperlukan. Antara jenis pesawat yang pernah digunakan oleh MetMalaysia adalah seperti berikut: 

            i.          Pesawat swasta Skyvan SC 7

            ii.         Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) (C-130H) 

            iii.        Helikopter Mi-17

            iv.        Cessna 340A

Adakah MetMalaysia  bekerjasama dengan pihak lain untuk kerja kerja tersebut?

Ya bagi menjalankan operasi pembenihan awan ketika menangani masalah jerebu merentas sempadan, MetMalaysia bekerjasama dengan TUDM untuk menggunakan pesawat C-130H. Agensi lain yang turut terlibat adalah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Jabatan Kerjaraya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi persiapan penyediaan larutan garam, pengangkutan tangki dan juga pengurusan di lapangan terbang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *