Produk cuci luka diabetes ciptaan kumpulan penyelidik UPM menakjubkan

Berdasarkan laporan, adalah dianggarkan seramai 617 juta orang telah mencecah usia melebihi 65 tahun  meliputi 8.5 peratus daripada  keseluruhan penduduk dunia. Bilangan ini dijangka bertambah sehingga 1.6 bilion pada tahun 2050.

Masalah kaki pesakit diabetes seperti ulser kaki dalam populasi warga tua adalah salah satu penyebab utama kemasukan ke hospital dan ini memerlukan proses penjagaan luka yang lebih baik dan pencucian yang lama.

Adalah dianggarkan terdapat tiga juta pesakit diabetes di Malaysia ketika ini dan jumlah tersebut dijangka terus bertambah.

Kerajaan telah membelanjakan lebih RM10 juta setiap tahun bagi rawatan menyembuh luka di hospital dan pesakit diabetes menyumbang kepada 50 hingga 60 peratus kes luka dan manakala masing-masing 10 peratus bagi kes kemalangan, pembedahan dan lain-lain.

Perbelanjaan ini dapat dikurangkan sekiranya kita tidak perlu mengimport ubat-ubatan yang mahal dan pesakit boleh sembuh dalam masa yang singkat.

Oleh itu, saintis perlu sentiasa mencari penyelesaian kepada masalah penyembuhan luka pesakit diabetes dan juga masalah kesihatan yang lain dengan menggunakan sumber tempatan yang mudah, murah dan berkesan.

Harga ubat penyembuh luka yang berkesan adalah agak mahal.

Justeru ada keperluan untuk mencari penyelesaian bagi membantu mengurangkan bebas pesakit yang mungkin berdepan masalah kos rawatan luka.

Bagi mengatasi masalah tersebut, seorang penyelidik daripada Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kumpulannya daripada Pusat Penyelidikan Biopemprosesan dan Biopengilangan fakulti yang sama memulakan penyelidikan bertajuk Komposit Hijau Pencuci Luka. Kumpulan tersebut yang diketuai oleh Prof Dr. Rosfarizan Mohamad mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi industri dan teknologi fermentasi .

Beliau terdorong menjalankan penyelidikan tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri yang menjaga bapanya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) , Kuala Terengganu akibat kemalangan jalan raya.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, bapanya terlibat dalam kemalangan motosikal ketika pulang dari masjid sehari sebelum menyambut Aidilfitri.

“Saya berhari raya di hospital dan perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu setiap minggu selama tiga  bulan untuk menjaga bapa yang mengalami kecederaan serius pada bahagian kaki iaitu  tulang betis telah patah dan tumit mengalami luka yang parah.

“Setiap dua hari perlu dilakukan pembersihan lukanya yang dalam dan kadang-kala luka mengalami jangkitan kerana beliau juga mengidap penyakit diabetes

“Beribu-ribu ringgit telah dibelanjakan untuk rawatan bapa untuk membeli ubat-ubatan, mengupah jururawat membuat cucian luka di rumah dan kini bapa telah sembuh walau tidak sepenuhnya,’’ ujarnya.

Menurutnya lagi, berada di wad yang ramai dengan pesakit diabetes merupakan pengalaman baharu dan setiap hari jururawat akan melakukan pembersihan atau pencucian ke atas kaki pesakit-pesakit yang mengalami luka kronik dan ada yang kaki mereka perlu dipotong.

Ramai pesakit yang tidak berkemampuan,  menderita sakit diabetes awareness dan luka mereka sukar dan tidak sembuh, dan perlu sentiasa dicuci, Ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Bagaimana pula dengan pesakit yang kurang berkemampuan dan terpaksa mencuci luka setiap hari dan perlu menggunakan ubat-ubatan yang mahal?

Menurut Dr Rosfarizan , penyelidikan tersebut adalah berkaitan dengan bidang bioteknologi industri yang merangkumi bidang nanobioteknologi dan bioteknologi perubatan.

Pada peringkat awal, kerja kerja penyelidikan bermula dengan pencarian bakteria atau mikroorganisma tempatan berfaedah yang boleh menghasilkan bionanoselulosa iaitu bahan pelbagai guna dalam bidang perubatan, makanan dan kosmetik.

Beliau berkata, bakteria tersebut berjaya dijumpai daripada buah belimbing yang reput selepas pencarian yang mengambil masa hampir setahun daripada pelbagai sumber seperti daripada buah tembikai, nanas, epal dan mangga yang rosak dari pasar Sri Serdang, Selangor.

“Bakteria tersebut telah dikenal pasti dan mempunyai ciri-ciri yang amat baik berbanding lebih beratus-ratus bakteria lain yang telah ditemukan, ‘’ ujarnya.

Kata beliau, bionanoselulosa yang dihasilkan oleh bakteria tersebut akan disebatikan dengan partikel perak bersaiz nano yang diperoleh daripada ekstrak peria katak.

Ini kerana peria katak mempunyai bahan yang boleh digunakan dalam penghasilan partikel perak bersaiz nano yang mempunyai kelebihan sebagai bahan antibakteria, iaitu boleh membunuh bakteria berbahaya yang menjangkiti manusia.

Pelbagai partikel logam lain seperti zink dan besi juga telah dikaji namun logam perak menunjukkan keputusan yang lebih baik.

Partikel nano perak bersaiz kurang daripada 100 nanometer (nm)  telah disintesis daripada ekstrak peria katak yang diketahui mempunyai aplikasi dalam bidang perubatan.

Partikel perak bersaiz nano juga mempunyai aplikasi dalam terapi dan pengesanan sel kanser.

Aplikasi yang paling penting adalah kegunaannya sebagai bahan antibakteria, antikulat, antivirus, antiperadangan dan anti kanser.

Katanya, antara beberapa teknik lain dalam penghasilan partikel perak bersaiz nano seperti menggunakan kaedah kimia dan fizikal, kaedah biologi menggunakan tumbuhan herba atau buah adalah lebih mudah, cepat, tidak-toksik, boleh dipercayai dan kaedah hijau ini dapat menghasilkan rupa bentuk dan saiz partikel yang seragam bagi kajian seterusnya.

Peria katak adalah sumber yang sangat sesuai digunakan dalam proses sintesis bahan partikel perak bersaiz nano tersebut kerana mempunyai kelebihan dan aplikasi dalam perubatan.

Gabungan kedua-dua bahan (bionanoselulosa dan partikel perak bersaiz nano) ini telah menjadi satu bahan atau produk komposit baharu yang amat berguna, novel dan memberi faedah dalam perubatan sebagai agen penyembuh luka yang sangat berkesan dan juga sebagai bahan antibakteria.

Oleh itu, produk ini mempunyai potensi tinggi bagi kegunaan pesakit diabetes yang mengalami luka yang sukar sembuh.

Pada masa yang sama,  proses penghasilan produk ini adalah lebih murah dan berkesan kerana melibatkan penggunaan bahan tempatan iaitu menggunakan pengeluar (bakteria) dan peria katak, yang juga menggunakan sumber bahan buangan seperti sisa buah-buahan tempatan.

Kajian makmal melibatkan uji kaji sel kulit manusia menunjukkan produk ini adalah lebih baik, tidak toksik, menunjukkan penyembuhan luka yang lebih cepat berbanding produk komersial lain yang diimport termasuk yang telah digunakan dalam rawatan luka bapa ketua penyelidik.

Yang menariknya, produk ini mengambil masa hanya 48 jam untuk sel luka sembuh manakala produk komersial lain mengambil masa melebihi 72 jam.

Di pasaran, adalah sukar mendapatkan ubat penyembuh luka kronik yang juga bertindak sebagai agen antibakteria yang berkesan dan biasanya harganya sangat mahal.

Pada masa hadapan, pelbagai produk penjagaan rawatan dan penyembuhan luka mengikut tahap keseriusan luka pesakit akan dikaji dan dikeluarkan supaya proses rawatan menjadi sangat berkesan dan menjimatkan masa dan kos kepada pesakit tersebut.

Justeru beliau berharap, kajian tersebut akan menghasilkan  satu produk tempatan yang menjadi pilihan pesakit kerana harga yang lebih murah dan sangat berkesan.

Pihaknya berharap produk tersebut dapat dikomersialkan selepas menjalani proses kajian peringkat praklinikal dan klinikal pada 2022.

Geran prototaip sebanyak RM250,000 telah dipohon daripada Kementerian Pendidikan manakala  geran daripada program InnoHub UPM juga akan dipohon bagi mengkaji pasaran semasa produk tersebut.

InnohHub UPM adalah makmal inovasi pertama yang disasarkan untuk memupuk usahawan teknologi yang menterjemahkan teknologi dan inovasi UPM menjadi produk berdaya maju pasaran dengan membangunkan produk terbaik dan pelan pemasaran daripada pelaksanaan pengesahan pasaran yang dijalankan.

Selain itu, sebuah syarikat bioteknologi antarabangsa terkenal dari Perancis iaitu Procelys juga telah berminat dengan kajian dan produk ini.

Penyelidikan tersebut juga kata beliau menerima RM50,000 dan seorang pelajar doktor falsafah antarabangsa dari Iran, Mona Moniri telah bergraduat dan seorang pelajar sarjana tempatan, Muhammad Izzuddin Zahimi sedang menyiapkan kajian mengenai penghasilan bionanoselulosa secara lebih jimat kos menggunakan sisa-sisa buangan terutamanya daripada sisa buah-buahan seperti nenas, tembikai, mangga dan belimbing yang terdapat di pasar.

Sesiapa yang berminat boleh membeli teknologi dan inovasi ini untuk pengeluaran produk tempatan yang bermutu dan berdaya saing. Proses penghasilan adalah sangat mudah dan telah didapati sangat berkesan melalui bukti kajian santifik di makmal UPM. Dianggarkan kos adalah kurang dari RM1 untuk setiap gram produk ini manakala produk komersial melebihi RM2 bagi setiap gram produk.

“Produk ini diharap dapat menyumbang kepada penerokaan sumber ekonomi baharu, meningkatkan kualiti kehidupan pesakit terutamanya pesakit kencing manis dari golongan rakyat Malaysia B40 dan menjadi produk baharu yang sangat berdaya saing dengan produk penyembuh luka lain terutamanya yang diimport. ,’’ ujar Dr. Rosfarizan.

Kelebihan /manfaat teknologi

  • Lebih murah, menggunakan teknologi tempatan
  • Proses penyediaan yang sangat mudah
  • Hasil yang sangat berkesan
  • Menggunakan teknologi dan inovasi yang mesra alam kerana menggunakan sumber semula jadi tempatan.

Pengiktirafan

  • Anugerah merit dan pingat emas pada  Pertandingan International Invention, Innovation & Technology ITEX 2019
  • Paten hasil kajian ini juga telah difailkan, tiga artikel penemuan kajian telah diterbitkan di dalam jurnal antarabangsa berindeks dan bermutu tinggi, dan pembentangan kajian telah dibentangkan di peringkat kebangsaan, dan juga antarabangsa seperti di Kongres Antarabangsa Persatuan Mikrobiologi Malaysia.
  • Hasil kajian juga telah memenangi pertandingan kertas pembentangan kajian terbaik di kongres tersebut.
  • Paten kaedah penghasilan bahan baharu ini telah berjaya difailkan (PI2019000741) oleh UPM di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan produk ini kini dalam proses penyediaan protaip.

Kumpulan penyelidik

  • Prof. Dr. Rofarizan Mohamad (Ketua Penyelidik)
  • Prof. Dr. Raha Abdul Rahim
  • Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad
  • Dr. Mohamad Ridzuan Yahya
  • Zulhilmi Masri
  • Dr Mona Moniri
  • Dr. Amin Boroumandmoghaddam

3 thoughts on “Produk cuci luka diabetes ciptaan kumpulan penyelidik UPM menakjubkan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *