MARDiLAb tawar kemudahan analisis

Pihak industri dan mana-mana syarikat yang memerlukan perkhidmatan analisis berasaskan makanan dan pertanian sepatutnya mengambil peluang memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Ini kerana agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu mempunyai kemudahan yang sesuai untuk membantu kumpulan sasar menyelesaikan masalah mereka.

Kemudahan tersebut ditawarkan menerusi Program MARDILab atau Program Perkhidmatan Analisis.

MARDILab pada asalnya bermula dengan nama Central of Analysis Service, kemudiannya Analytical Laboratory and Quality Assurance Programme (ALQA), Makmal Analisis Makanan dan Pertanian, dan seterusnya pada hari ini dikenali sebagai MARDILab.

Objektif penubuhannya adalah untuk menawarkan perkhidmatan analisis produk makanan dan pertanian berdasarkan piawaian atau standard yang digariskan dalam Akta Makanan 1983 serta piawaian antarabangsa bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan global.

Pada tahun 2002, makmal analisis ini telah diakreditasi dengan pensijilan ISO/IEC 17025:2000 (SAMM 224) untuk Makmal MARDILab di ibu pejabat, manakala MARDILab di Sabah (SAMM 647) bagi ISO17025:2005 pada tahun 2014.

Pada Mac tahun lalu, MARDILab di ibu pejabat telah diaudit oleh Jabatan Standard Malaysia untuk peralihan versi 2005 ke 2017. MARDiLab di ibu pejabat telah berjaya mendapat pengiktirafan tersebut.

MARDILab Sabah pula telah diaudit  pada November tahun lalu.

Pegawai MARDiLab menerangkan sesuatu kepada pengunjung

Justeru penganjuran  MARDIlab Exploration Day 2019 oleh MARDI baru-baru ini tepat pada masanya serta mempunyai maksud besar bagi mempromosi perkhidmatan analisis makmal yang bertumpu kepada bidang kimia dan mikrobiologi.

Dalam pada itu  Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr.  Mohamad Roff Mohd. Noor pada ucapan perasmian MARDILab Exploration Day 2019 berkata, program tersebut memberi peluang kepada pengunjung atau peserta berinteraksi secara terus dengan warga MARDILab di samping menyertai aktiviti-akitiviti yang disediakan.

“Pelbagai pengisian aktiviti telah direncanakan pada hari ini untuk para pengunjung sertai antaranya penerangan dan demonstrasi perkhidmatan analisis yang ditawarkan.pameran Certified Reference Material (CRM)  daripada NMIM, pameran daripada pembekal-pembekal utama,  yang terlibat dalam perkhidmatan analisis di MARDILab di ibu pejabat.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor

“Saya berharap semua pihak dapat mengambil manfaat daripada penganjuran program ini dan dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama antara satu sama lain’’, ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh  Pengarah Pusat Pengkomersialan Teknologi dan Bisnes MARDI, Dr. Mohamad Kamal Abdul Kadir.

Beliau berkata, program tersebut yang pertama kalinya dianjurkan oleh MARDILab Ibu Pejabat selepas penjenamaan semula nama makmal daripada Makmal Analisis Makanan dan & Pertanian kepada MARDILab.

Program yang bersifat seperti hari terbuka ini merupakansatu inisiatif yang diambil untuk memberi hebahan kepada kumpulan sasar akan fungsi dan perkhidmatan yang disediakan oleh MARDILab termasuk memperkenalkan skop analisis dan teknologi dan peralatan saintifik makmal yang digunakan.

Selain itu, program tersebut  juga memberi peluang kepada pelanggan dan kumpulan sasar mendapat penjelasan dan maklumat mengenai perkara berkaitan analisis yang ditawarkan.

Kehadiran peserta iaitu kumpulan sasar dan pelanggan secara fizikal melalui program ini membolehkan mereka menyaksikan sendiri bagaimana perkhidmatan dijalankan, seterusnya menambah keyakinan akan kompetensi MARDILab.

Dalam  konteks promosi dan penjenamaan, program tersebut membolehkan MARDILab atau MARDI secara umumnya dikenali dengan lebih dekat kewujudannya sebagai sebuah institusi yang inklusif dapat dilihat, dirasai dan didengari.

“Seperti yang kita sedia maklum, produk makanan dan pertanian yang berada di pasaran perlu lengkap dari aspek jaminan kualiti dan keselamatan.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, MARDILab menyediakan perkhidmatan analisis yang berakreditasi bagi produk makanan dan pertanian di bawah skop analisis kimia dan mikrobiologi.

Sebagai sebuah makmal perkhidmatan analisis, pensijilan ISO 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia adalah amat penting kerana ia dapat memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap tahap kompetensi perkhidmatan dan keputusan yang dikeluarkan oleh MARDILab.

Dr Mohamad Kamal Abdul Kadir

Dalam pada itu menurut Dr Mohamad Kamal MARDiLab adalah pusat untuk menjalankan analisis kimia makanan dan pertanian.

“Kita ada dua tempat iaitu di ibu pejabat kita tumpukan kepada Makmal Analisis Kimia Makanan dan Pertanian serta Mikrobiologi manakala di Kota Kinabalu , Sabah hanya ada Makmal Analisis Kimia Makanan, ‘’ ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga menawarkan dua kaedah dalam usaha memanfaatkan perkhidmatan dan kemudahan yang dimiliki MARDiLAb.

Sebagai contoh kaedah pertama adalah  kontrak jangka panjang yang menawarkan perkhidmatan analisis mengikut keperluan pelanggan dengan tawaran diskaun tertentu.

Kaedah kedua adalah pegawai penyelidik MARDILAb dan pelanggan bekerjasama membangunkan kaedah baharu dan analisis dengan  cadangan pelanggan menyalurkan dana yang diperlukan.

Beliau turut mencadangkan supaya program seumpama itu diadakan secara tahunan dengan pendekaan yang lebih menarik dan kreatif .

Dalam pada itu menurut Timbalan Pengarah Program Perkhidmatan Analisis, Dr.Mohd. Nazrul Hisham Daud, program tersebut yang dihadiri lebih 100 peserta daripada industri dan pelbagai agensi kerajaan.

“Antara yang hadir pada program kali ini antaranya termasuklah Pusat Racun Negara, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) , Jabatan Standard Malaysia, “ ujarnya yang juga pengarah program tersebut.

Ringkasan struktur  MARDiLAB :

  1. Makmal Kimia Makanan
    i .Pelabelan
    ii. Halal
    iii. Vitamin
    iv. Pengawetan
  2. Kimia Mikribiologi Makanan
  3. Makmal Pertanian
    i. Baja
    ii. Racun Makhluk Perosak
    iii. Tanah
    iv. Herba
    v. Alam Sekitar
    vi. Foliar
    vii. Makanan haiwan

Antara kumpulan sasar utama perkhidmatan MARDILab ialah:

o Agensi kerajaan

o Para penyelidik (universiti dan institut penyelidikan, termasuk MARDI)

o Syarikat-syarikat swasta

o Usahawan

One thought on “MARDiLAb tawar kemudahan analisis”

  1. ASSALAMUALAIKUM TUAN/PUAN
    ADAKAH BOLEH PIHAK PERSEORANGAN UNTUK MENJALANI UJIAN KANDUNGAN TANAH UNTUK PERTANIAN.
    JIKA BOLEH DI MANA TEMPAT UNTUK KAMI MELAKUKAN UJIAN TERSEBUT.
    KAMI DARI KEMAMAN TERENGGANU.
    SEGALA KERJASAMA DAN PERHATIAN PIHAK TUAN/PUAN AMAT KAMI HARGAI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *