Ujian tanpa musnah bantu industri

Ujian Tanpa Musnah (NDT)) merupakan kaedah pengujian untuk mengesan kecacatan (defect) atau ketidakselanjaran (discontinuities) tanpa merosakkan atau memusnahkan komponen dan sistem yang diuji.

Secara umum, NDT digunakan untuk meningkatkan tahap keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan sesuatu produk atau sistem.

Oleh itu, NDT wajib dilaksanakan semasa pembinaan, penyelenggaraan dalam perkhidmatan dan pembaikan sistem.

Semenjak tahun 1970-an lagi, NDT digunakan secara meluas di negara ini  dalam industri minyak dan gas, pembuatan, petrokimia, penjanaan kuasa, aeroangkasa, automotif, pengangkutan, kejuruteraan awam, kawalan kualiti dan pengurusan jangka hayat loji (plant life management).

Lima kaedah utama NDT adalah Pengujian Radiografi (Radiography Testing), Pengujian Ultrasonik (Ultrasonic Testing), Pengujian Arus Pusar (Eddy Current Testing), Pengujian Magnet (Magnetic Testing) dan Pengujian Penembus (Penetrant Testing).

Berdasarkan kepada keperluan kod dan standard industri, NDT hanya boleh dilaksanakan oleh pegawai yang berkelayakan dan diiktiraf.

Sebelum industri NDT tempatan berupaya untuk memberikan perkhidmatan pengujian tersebut, PETRONAS (minyak dan gas) dan pemilik loji yang lain seperti TNB (penjanaan kuasa) terpaksa bergantung kepada penyedia khidmat NDT dari negara luar, atau syarikat tempatan yang mengambil personel yang mempunyai sijil dari luar negara untuk melaksanakan tugas-tugas NDT.

Ini bukan sahaja telah mengakibatkan aktiviti NDT menjadi sangat mahal, ia juga telah mengakibatkan industri tempatan bergantung kepada tenaga kerja dan kepakaran luar.

Atas keperluan ini, Agensi Nuklear Malaysia telah mengambil tanggungjawab dan memainkan peranan penting dalam membantu mempunyai keupayaan dalam bidang NDT iaitu dari segi kepakaran, kemudahan dan sistem persijilan, dan mempromosi untuk menggalakkan kemajuan teknologi tersebut pada industri di ngara ini.

Dengan bantuan dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dan kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), SIRIM Berhad dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA), Nuklear Malaysia yang merupakan agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  telah melakar sejarah dengan menganjurkan kursus latihan NDT yang pertama pada tahun 1986.

Sejak itu, Malaysia mempunyai kebolehan untuk melahirkan pegawai berkelayakan dan diiktiraf untuk melaksanakan NDT bagi industri tempatan, sekali gus telah banyak menyumbang ke arah daya saing industri untuk pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Selain menyediakan perkhidmatan pengujian menggunakan tenaga kerja tempatan, NDT juga telah meningkatkan prospek pekerjaan dalam kalangan siswazah dan bukan siswazah.

Kewujudan mereka telah menjadikan syarikat NDT tempatan mampu untuk bersaing bukan sahaja di peringkat nasional, bahkan sebahagian besar dari syarikat-syarikat ini turut memberikan khidmat mereka di pasaran antarabangsa seperti di Sudan, Yemen, Vietnam, C

Kemboja, Bangladesh dan berbagai-bagai lagi.

Pada masa ini terdapat lebih dari 80 syarikat NDT tempatan yang memberikan khidmat NDT kepada pihak industri.

Di samping itu, sebagai sebuah pusat NDT ulung negara, Nuklear Malaysia turut mempunyai pensijilan ISO/IEC 17020 dalam menawarkan perkhidmatan untuk kelima-lima kaedah NDT tersebut kepada pihak industri.

Kejayaan Nuklear Malaysia dalam memajukan NDT di Malaysia turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Pada tahun 2015, IAEA telah mengiktiraf Nuklear Malaysia sebagai IAEA Collaborating Centre (ICC) dalam bidang NDT, yang mengiktiraf pencapaian yang signifikan dalam bidang NDT, serta kerjasama yang erat dan berharga antara Malaysia dan IAEA dalam pelbagai aktiviti serantau, termasuk penyelidikan, pembangunan dan latihan.

Pengiktirafan ini membuka peluang kepada negara untuk mengembangkan program NDT di rantau ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *