Tiga punca utama fenomena cuaca ekstrem

BANGI : Tiga punca utama kejadian fenomena cuaca ekstrem yang mengakibatkan kejadian hujan lebat dan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di empat buah negeri khususnya Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Fredolin Tangang berkata, punca utama adalah Malaysia khususnya Pantai Barat ketika ini mula memasuki musim peralihan Monsun yang menyediakan keadaan kondusif bagi sistem perolakan yang yang biasa berlaku pada petang dan lewat petang membawa hujan lebat, ribut petir dan kilat.

Katanya, situasi cuaca yang dirasai di negara ini hari ini adalah akibat peralihan keadaan angin di bahagian atas semasa musim peralihan monsun yang biasanya menjadi lemah dan ini kondusif bagi sistem perolakan, pembentukan awan komulonimbus dan ribut petir serta hujan lebat.

“Angin pada bahagian atas pada peralihan monsun tidak berapa kuat, tidak seperti semas Monsun Timur Laut atau Barat Daya dan ini menyebabkan proses perolakan cuaca berlaku dengan mudah.

” Apa yang berlaku ini memerlukan haba yang diserap oleh permukaan bumi dan terkumpul dari sebelah pagi hingga ke petang. Udara panas di sebelah petang akan mengembang dan menjadi lebih ringan dan teranjak ke atas bersama kelembapan tinggi yang menjana perolakan dan pembentukan awan.

Proses ini juga akan menjana ribut petir dan hujan yang lebat. Maka proses ini memerlukan haba dan kelembapan”.

“Bagaimanapun intensiti curahan hujan dan ribut petir yang berlaku dalam tempoh ini juga turut dipengaruhi dengan faktor lain”

“Pada ketika ini fenomena La Nina masih aktif dan berkategori sederhana di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik dengan penurunan suhu permukaan laut yang lebih rendah berbanding dengan suhu normal.

” Prof Fredolin menambah, keadaan ini membawa kepada pengukuhan angin timuran yang bertiup ke rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia dan pengukuhan ini membawa peningkatan kelembapan ke kawasan ini. Kehadiran kelembapan di rantau ini akibat fenomena La Nina meningkatkan kebarangkalian berlakuknya fenomena ribut petir dan hujan lebat semasa musim peralihan monsun.

Prof. Fredolin menambah kajian yang beliau lakukan menunjukkan fenomena hujan lebat melebihi 50mm perjam meningkat terutama di kawasaan pantai barat Semenanjung Malaysia apabila La Nina berkategori sederhana berlaku.

Beliau berkata, faktor perubahan iklim juga boleh menyumbang dan menjadikan keragaman cuaca meningkat.
Pemanasan global boleh memperkukuhkan kesan fenomena La Nina di Negara kita dengan peningkatan jumlah kelembapan di udara akibat peningkatan suhu dunia.

” Kita boleh melihat ia mengakibatkan kerapnya berlaku ribut petir yang disebabkan peningkatan jumlah kelembapan global dan tidak nafikan situasi ini berlaku disebabkan perubahan iklim dunia,” katanya.

Di Kuala Lumpur sudah ada kajian menujukkan bahawa kekerapan dan intensiti hujan ekstrim meningkat 30% sejak 30 tahun lalu dan ini berkemungkinan besar disebabkan oleh pemanasan global yang bukan sahaja meningkatkan haba tetapi juga kelembapan yang diperlukan untuk pembentuan perolakan dan ribut petir.

Mengulas mengenai kejadian banjir kilat yang mengejutkan ramai warga Lembah Klang semalam, beliau menjelaskan perkara itu tidak mustahil akan berlaku. Hujan dan ribut petir memang biasa berlaku pada musim peralhian monsun dan keadaan ini akan berterusan sehingga bulan Mei sebelum musim beralih ke monsun barat daya.

Banjir, bagaimanapun dipengaruhi oleh faktor lain bukan hanya kadar curahan hujan.

“Apabila hujan lebat turun di lokasi yang pesat membangun dan tidak mempunyai infrastruktur yang terancang seperti sistem saliran yang lemah, tipikalnya banjir kilat akan berlaku.

“Ini juga terjadi apabila air yang turun tidak mampu diserap tanah dan diburukkan lagi dengan saliran yang tersumbat, ia menyebabkan air bertakung,” katanya.

Kecenderungan pengukuhan ribut petir dan hujan ekstrim seperti ini akan berterusan seiring dengan peningkatan suhu dunia akibat pemanasan global dan pihak berkuasa harus bersedia menangani isu, beradaptasi dan mengurangkan risiko impak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *