Gambar: MARINA ISMAIL (UPM)
Sebarang kemajuan dan perkembangan dalam bidang sains sewajarnya dikongsi kepada kumpulan sasar khususnya generasi muda atau lebih tepat lagi pelajar sekolah.
Ini kerana bagi tujuan memupuk minat dalam bidang sains, pelajar sewajarnya diberi keutamaan supaya mereka mendapat pendedahan awal dalam bidang tersebut.
Atas maksud yang sama, kumpulan pelbagai pakar daripada beberapa institusi dan fakulti Universiti Putra Malaysia (UPM) membentuk satu sinergi bagi membantu pelajar orang Orang Asli menerusi Program Kiddie Foodie and Waste Champ Murid Orang Asli di Pulau Carey baru-baru ini.
Program tersebut diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun (A) dengan empat matlamat utama.
Pertama, ia bertujuan untuk meningkatkan pemahaman berkaitan nutrisi makanan dan kaedah pelaksanaan dalam pembelajaran sains dan matematik.
Kedua, ia bertujuan bagi meningkatkan pemahaman berkaitan kitar semula dan ketiganya adalah meningkatkan minat kanak-kanak Orang Asli dalam pembelajaran sains dan matematik.
Tujuan keempat adalah merangsang pemikiran kreatif, kritis dan inovatif kanak-kanak dan komuniti dalam menggunakan bahan makanan dalam masakan.
Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Setia Datuk Dr. Aini Ideris berkata, program tersebut penting sebagai menyokong hasrat kerajaan Malaysia dalam memantapkan pembangunan modal insan dalam kalangan Orang Asli.
“Satu kerangka paradigma perubahan pendidikan telah dilaksanakan secara menyeluruh di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli yang menggariskan tujuh inisiatif untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang membanggakan negara.
“Oleh yang demikian, sejajar dengan hasrat ini sejumlah peruntukan telah disediakan dalam merencana program pendidikan supaya komuniti terpinggir ini mendapat peluang dan ruang yang sama’’ ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya sempena majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Senator Datuk Isa Ab. Malek di Pulau Carey, Klang, Selangor baru-baru ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.
Yang turut hadir Guru Besar sekolah berkenaan Norlela Hashim, Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr. Khalina Abdan, Pengarah Program yang juga pensyarah kanan fakulti berkenaan. Dr. Mohd. Salahuddin Mohd. Basri serta penyelidik Dr. Mohd. Roslan Rosnon.
Dalam pada itu beliau turut berkongsi beberapa kisah kejayaan UPM yang diraih di peringkat antarabangsa pada 2020.
Kisah- kisah kejayaan tersebut menambah legasi universiti berkenaan sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan yang utama di negara ini.
UPM kata beliau, berjaya menempatkan kedudukan 159 dalam senarai universiti terbaik dunia dan ke-33 universiti terbaik ASEAN.
UPM juga merupakan The Best Young University in Malaysia dan berada di kedudukan ke-12 universiti dunia.
Kedudukan universiti tersebut dalam QS World University Ranking 2020 pada tangga 159 merupakan pencapaian terbaiknya sekali gus menempatkan UPM pada kedudukan universiti terbaik di negara ini dengan mengambil kira sejarah penubuhannya.
Justeru kata Dr. Aini, bagi melonjakkan pencapaiannya, UPM memberi fokus bukan sahaja kepada penyelidikan tetapi juga pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Katanya, konsep University for Society merupakan inisiatif yang diambil bagi meningkatkan pencapaian UPM.
” Tanggungjawab ini dipikul oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Pusat Hubungan dan Jaringan Industri yang merupakan entiti di bawah UPM.
“Kedua-duanya diberi tanggungjawab memacu program komuniti dan industri berdasarkan matlamat universiti yang ke-3 iaitu melonjakkan perkhidmatan jaringan industri dan masyarakat, ” ujarnya.
Bagi mencapai matlamat tersebut, UCTC memainkan peranan untuk mendapatkan dana bagi menjayakan program komuniti melalui pemindahan ilmu dan pengembangan.
Salah satu sumber dana yang boleh dipohon oleh akademia di UPM untuk menjayakan aktiviti pemindahan ilmu dan pengembangan ialah Skim Geran Pemindahan Ilmu (KTGS) iaitu sumber dana adalah peruntukan khas daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC).
“ Oleh yang demikian, diharapkan murid-murid Orang Asli yang hadir dan terlibat dengan program ini mengambil peluang menimba pengalaman dan pengetahuan untuk bekalan dibawa pulang sebagai pedoman dan panduan hidup.
“Jadikanlah pengalaman di sini sebagai satu yang berharga dan sentiasa dikenang untuk dijadikan bekalan panduan hidup, ” ujarnya lagi.
Dalam pada itu dalam ucapan perasmiannya Isa berkata , inisiatif yang diambil oleh kerajaan bagi mengintegrasikan Orang Asli ke dalam arus perdana boleh dilihat sebagai langkah rangkuman sosial.
Kata beliau, inisiatif tersebut digariskan sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaya Kedua (1961-1965) sehingga Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020).
” Kerajaan percaya bahawa pendidikan adalah agenda utama dalam program pembangunan masyarakat Orang Asli dan mekanisme utama dalam meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan masyarakat tersebut,” katanya.
Menurut beliau lagi, di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh, sejumlah bajet yang besar diperuntukkan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan.
Pada tahun 2010 pula , Sekolah Model Khas dibentuk bagi membantu mengatasi kadar keciciran yang semakin meningkat di sekolah menengah yang disebabkan masalah penempatan mereka yang jauh di pedalaman.
” Dengan pelbagai insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan, bilangan pelajar Orang Asli yang hadir ke sekolah telah meningkat dari tahun ke tahun pada peringkat sekolah rendah dan menengah.
“Namun peratusan keciciran pelajar Orang Asli di sekolah menengah adalah pada tahap yang agak tinggi terutama daripada fasa peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah, ” katanya.
Beliau menambah, peratusan keciciran sekolah menengah adalah 49.2 peratus pada 2009 dan menurun kepada 41.05 peratus pada 2010.
Pada tahun 2015 pula, masalah keciciran pelajar Orang Asli adalah pada kadar 35.31 peratus.
Salah satu sebab utama masalah tersebut adalah pencapaian akademik pelajar yang lemah.
Menurut beliau, kadar keciciran dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli masih lagi menjadi satu kebimbangan yang perlu diberikan perhatian serius.
Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kadar keciciran tersebut juga adalah seperti perbezaan budaya, lokasi sekolah, kemiskinan, pedagogi dan banyak lagi yang semua ini ada kaitannya dengan sistem pendidikan untuk Orang Asli.
“ Walaupun program ini bermatlamatkan untuk merapatkan jurang pendidikan di antara masyarakat Orang Asli dan arus perdana namun usaha tersebut tersasar.
“Hal ini dapat dibuktikan melalui data laporan Jabatan Kemajuan Orang Asli menunjukkan peratusan keciciran Orang Asli yang menamatkan Darjah 6 tetapi tidak meneruskan persekolahan ke Tingkatan 1 adalah 17.16 peratus.
“Peratusan ini menunjukkan kegagalan usaha kerajaan bagi merapatkan jurang pendidikan antara masyarakat Orang Asli dan pelajar arus perdana, ” katanya.
Justeru kata beliau, menyedari hakikat kelemahan tersebut, kerajaan sekali lagi tampil dengan inisiatif baru dengan memperkenalkan Kurikulum Pendidikan Orang Asli/Penan (KAP) dalam memperbaiki dan mempertingkatkan sistem pendidikan yang sedia ada. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan masalah diskriminasi dan keterpinggiran masyarakat Orang Asli.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan dan pengurusan KAP telah gagal dan tidak mencapai hasil yang diharapkan.
Seperti yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), terdapat masalah dari segi pelaksanaan KAP. Ia dikatakan tidak menyeluruh dan juga terdapat kelemahan dari segi persediaan dan latihan para pendidik yang tidak komprehensif yang menyebabkan pelaksanaan kurikulum itu gagal.
“KAP pada asalnya dibangunkan dengan mengambil kira perbezaan budaya dan integrasi elemen-elemen alam sekitar bagi memastikan penglibatan masyarakat Orang Asli dalam sistem pendidikan.
“Saya dimaklumkan bahawa Program Kiddie Foodie & Waste Champ telah bermula pada tahun 2019 dan diteruskan bagi tahun 2020.
“Saya juga dimaklumkan bahawa daripada pemerhatian dan output program pada tahun lalu mendapati bahawa murid Orang Asli kurangnya keyakinan diri, kemahiran komunikasi yang lemah, pencapaian akademik yang kurang memberangsangkan, personaliti yang tidak utuh dan matlamat hala tuju masa depan yang tidak jelas, ” ujar beliau.
Menurut beliau, hal ini adalah kerana pemikiran yang terkepung (captive mind) telah membelenggu mereka dan latar belakang keluarga yang juga mempengaruhi tingkah laku mereka.
“Kita perlu sedar murid Orang Asli perlu pendekatan yang berbeza dengan masyarakat arus perdana.
“Ini kerana kita perlu memahami sosio budaya dahulu untuk menanamkan kepercayaan mereka kepada kita.
“Kepercayaan ini perlu dibina supaya memudahkan proses untuk merubah pemikiran mereka, ” ujarnya.
Beliau berharap program tersebut dapat terus meningkatkan pemahaman berkaitan nutrisi makanan dan kaedah implimentasi dalam pembelajaran sains dan matematik; meningkatkan pemahaman berkaitan kitar semula dan meningkatkan minat kanak-kanak orang asli dalam pembelajaran sains dan matematik.
Selain itu, ia dapat merangsang pemikiran kreatif, kritis dan inovatif kanak-kanak dan komuniti dalam menggunakan bahan makanan dalam masakan.
Dalam pada itu menurut Norlela, sekolah tersebut masih memerlukan kemudahan asas kerana banyak keperluan masih belum mencukupi.
Info
* Program kemasyarakatan Kiddie Foodie & Waste Champ Murid Orang Asli
*Lokasi : Sekolah Kebangsaan Sungai Bumbun (A) , Pulau Carey Klang Selangor.
*Dianjurkan oleh Fakulti Kejuteraan dan Fakulti Ekologi Manusia, UPM dengan kerjasama strategik bersama SK Sg. Bumbun (A), Nestle Products Sdn. Bhd., Restoran Ali Maju Sdn. Bhd dan Elite Gears Enterprise.
*Melibatkan empat fasa
*Program dimulakan pada penghujung 2019 dan dirasmikan pada 29 Januari 2020.
*Disertai oleh 100 pelajar Darjah Satu hingga Enam.
*Turut disertai oleh seramai 50 keluarga komuniti Orang Asli daripada suku kaum Mah Meri.