UMP kerjasama syarikat Qatar bangunkan produk pertanian

Kejayaan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) bukan sahaja berjaya memenangi pelbagai anugerah di peringkat domestik tetapi lebih membanggakan,  ia turut mendapat perhatian syarikat antarabangsa untuk menjalin kerjasama.

Terbaru, UMP bekerjasama dengan Syarikat Agrico, Qatar dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk, pengkomersialan serta pertukaran kepakaran bagi kegunaan pertanian yang akan diguna pakai di rumah hijau (green house milik syarikat berkenaan.

Sinergi tersebut terjalin menerusi pemeteraian ikatan kerjasama strategik dengan Agrico yang merupakan sebuah syarikat pembekal sistem dan hasil tanaman dari kaedah rumah hijau di negara berkenaan.

Hadir menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini adalah Naib Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Pengerusi Pembangunan Projek Antarabangsa Agrico Agricultural Development, Qatar, Ahmed Hussain Al-Khalaf dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad dan Duta Qatar ke Malaysia,  Fahad Mohammed Kafoud.

Menurut Ir. Dr. Wan Azhar, pihaknya mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak Agrico dan berharap agar kerjasama ini dapat memanfaatkan UMP dalam berkongsi kepakaran bagi menepati keperluan industri pada masa hadapan, bukan hanya di dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff

Dengan jalinan kerjasama tersebut juga, pastinya akan meningkatkan kredibiliti UMP dalam menerajui program  Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

Selain formulasi baru yang akan dibangunkan, kerjasama tersebut akan turut melibatkan penerokaan peluang pengkomersialan produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto pada skala besar. Produk tersebut telah diguna pakai oleh Agrico pada skala kecil sebelum ini dan hasilnya adalah sangat baik.

“Saya amat berbangga dengan hasil dan usaha yang telah dan sedang dijalankan oleh penyelidik UMP, Dr. Noormazlinah Ahmad dan Dr. Siti Hajar Noor Shaarani daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) yang terlibat dalam kerjasama ini.

“Semoga lebih ramai penyelidik di UMP berusaha untuk menerokai peluang kerjasama di peringkat antarabangsa terutamanya di negara-negara Islam seluruh dunia bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

Berkongsi tentang pencapaian universiti dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, UMP sebagai universiti yang telah memenangi Malaysia’s Research STAR Award 2019 bagi kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi bagi kategori universiti bukan penyelidikan telah berjaya menghasilkan lebih daripada 600 harta intelek (IP) sejak 10 tahun lalu dengan 28 produk bagi produk dengan nilai jualan melebihi RM20,000 telah berjaya dikomersialkan.

Mengenai MOU tersebut, Ir. Dr.Wan Azhar berkata, ia adalah susulan kerjsama yang dimulakan sejak April 2019 dan kini diteruskan untuk peringkat kedua dengan penggunaan baja organik yang diminta oleh Agrico.

Katanya, sebagai sebuah universiti gunaan dan negara ini kaya dengan air , maka adalah wajar penyelidikan pertanian dibangunkan dengan penggunaan teknologi moden berbanding tradisional.

“Kita menggunakan teknologi moden ini untuk mengeluarkan hasil tanaman yang berkualiti dan sihat untuk dimakan, ‘’ ujarnya.

Dalam pada itu, secara keseluruhannya, pendapatan hasil pengkomersialan di UMP telah menjangkaui RM6 juta sepanjang lapan tahun yang lepas, tidak termasuk hasil daripada aktiviti perundingan dan perkhidmatan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts.Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pengkomersialan, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi manakala Pengurus Projek, Dr Fahad Saleh dan Pengurus Pengeluaran, Khairil Gibran Yahaya daripada Agrico.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan AntiNasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pegawai Daerah Cameron Highlands Datuk Ishak Md Napis.

Ahmed Hussain

Sementara itu menurut Ahmed Hussain , pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan menerusi MOU tersebut kerana ia sejajar dnegan hasrat syarikatnya untuk membangunkan teknologi pertanian yang mengeluarkan hasil berkualiti dan selamat.

“Kami membangunkan teknologi pertanian dengan pelaburan jutaan dolar sejak beberapa tahun lepas dan kini kami memilikinya di Qatar.

“Pada yang sama, kami meneroka pasaran di luar negeri termasuk di Malaysia bagi membangunkan teknologi pertanian menghasilkan (tanaman) makanan, ‘’ ujarnya,

Malaysia merupakan negara strategik dan mempunyai pasaran yang luas dan negara ini boleh menggunakan peluang tersebut untuk meneroka pasaran makanan berkualiti tinggi di Qatar dan Timur Tengah.

Pihaknya kata beliau, kini memiliki teknologi pengeluaran tanaman berkualiti tinggi yang dibangunkan dalam negara dan mungkin lebih baik berbanding yang ada di negara lain dan kini berhasrat untuk mengeluarkan makanan organik yang lebih selamat.

Justeru kata beliau , penggunaan baja organik yang dihasikan hasil kerjasama dengan penyelidik UMP itu akan memungkinkan pengeluaran makanan yang organik dan lebih sihat.

Ini kerana hanya penggunaan baja seumpama itu sahaja yang menghasilkan makanan organik.

Dr. Noormazlinah Ahmad

Sementara itu bercakap kepada jurnal.my, Dr. Noormazlinah berkata, kerjasama tersebut bermula apabila beliau dibawa melawat projek Agrico di Qatar oleh Khairi Gibran pada April 2019.

“Kami dijemput ke ladang di Qatar bagi menguji pakai baja yang kami hasilkan dan daripada dana RM20,00 untuk pembangunan dua formulasi penyelidikan dan menggunakan bahan organik bagi kegunaan di rumah hijau .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *