Kejayaan dalam kategori Inovasi pada Success Award@ PNS 2020 anjuran Politeknik Nilai Negeri Sembilan (PNS) bukan diraih dengan cara yang mudah. Pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha berterusan sejak berada dalam pengajian di PNS.
Namun berkat kesungguhan itu , hasilnya kini dituai dan terasa kepuasan yang tidak ternilai.
Dua pelajar yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kepimpinan Inovasi pada malam anugerah Success Award@PNS 2020 baru-baru ini iaitu Muhammad Arif Mohmad Asri dan Nur Nadia Mohamad Noh berjaya menyerlahkan bakat inovasi mereka.
Muhammad Arif, 23, berkata, beliau tidak menduga mampu menghasilkan sesuatu yang memberi manfaat khususnya dalam bidang landskap yang mengindahkan alam.
Projek tahun akhir beliau semasa berada di PNS adalah berkaitan dengan reka bentuk dan ikon yang boleh dijadikan sebagai simbol kepada negeri Perak.
Penyelidikan tersebut kata beliau, mengambil masa selama lima bulan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelidikan dan penelitian dalam membuat elemen reka bentuk.
Katanya, idea bermula daripada mencari elemen terbaik untuk dijadikan sebagai salah satu simbolik untuk negeri Perak.
“Penyelidikan dijalankan menerusi bacaan jurnal dan kajian soal selidik terhadap orang Perak dengan tapak kajian di salah sebuah kawasan di dalam kampus PNS, ‘’ ujarnya kepada jurnal.my
Penggunaan labu sayong yang merupakan ikon negeri Perak dipecahkan kepada empat elemen untuk asas pembinaan taman tersebut.
Empat elemen tersebut kata beliau adalah tanah liat , air, bentuk labu sayong dan cara pembuatannya.
“Semua elemen digabungkan untuk dijadikan lapangan iaitu air merujuk kolam yang ada, bentuk labu sayong merujuk kepada bentuk pejalan kaki yang seperti sebuah bulatan, manakala tanah liat merujuk elemen yang digunakan untuk membuat laluan pejalan kaki tersebut.
“Cara membina laluan pejalan kaki menggunakan kaedah yang sama untuk membuat labu sayong manakala pokok sebagai elemen hijau yang ada dalam taman, ‘’ ujarnya.
Kata beliau, elemen- elemen tersebut penting bagi memberikan daya tarikan landskap yang dihasilkan.
Muhamad Arif berkata, beliau merancang untuk memanfaatkan elemen yang ada seperti tanah liat bagi memberi manfaat kepada industri landskap pada masa akan datang.
Landskap yang beliau hasilkan menarik perhatian apabila ia mecetuskan pemandangan dan perspektif yang lebih menarik dalam pembangunan taman yang bertemakan kenegerian dan dapat menambah nilai yang tinggi.
Mereka yang berminat boleh mewjudkan konsep taman tersebut dengan kos RM4000.
Beliau percaya teknologi sekarang lebih terarah kepada inovasi berkaitan reka bentuk yang melestarikan alam dan memastikan bidang landskap tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengenengahkan prinsip teknologi hijau.
Beliau turut berharap supaya bidang landskap dan hortikultur terus berkembang di negara ini sekali gus dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan pokok yang betul dan sempurna bagi mengelakkan pencemaran.
Pada masa sama, beliau berharap, generasi sekarang dapat berfikir bagaimana landasan terbaik untuk mengubah senario landskap di negara ini.
Menurut beliau, penyelidikan tersebut dibiayai menerusi pasukan projek akhir untuk kumpulan negeri Perak.
Projek tersebut mendapat tempat ketiga dalam kategori taman terbaik dalam pembentangan projek akhir pada tahun 2019 di Politeknik Nilai.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi mengenai kerja kerja penyelidikan menghasilkan makanan ayam menggunakan alga dan sisa organik menggunakan mikroorganisma berfaedah.
Penyelidikan tersebut bertujuan membantu mengurangkan beban penternak ekoran daripada kos makanan yang mahal.
Seorang lagi pemenang kategori inovasi pada malam Success Award@PNS 2020 adalah Nur Nadia Mohamad Noh yang merupakah graduan diploma Pengurusan Peruncitan.
“Saya (dan kumpulan) membangunkan website, tentang perniagaan Dr Retail bagi membantu mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan iaitu http://drretail17.wixsite.com/drretail17, ‘’ujarnya.
Beliau dan kumpulannya menjalankan penyelidikan bertujuan membangunkan perniagaan tersebut selepas membuat tinjauan dan hasilnya beliau mendapati ramai yang tidak mempunyai pengalaman mencukupi untuk memulakan perniagaan.
Penyelidikan tersebut dimulakan pada awal Julai hdan siap awal Oktober tahun lalu dengan kajian awal menerusi soal selidik yang dijalankan di beberapa kawasan.
Beliau yang bertindak sebagai pembantu ketua dalam kumpulan penyelidikan tersebut berkata, daripada keputusan yang diperoleh , menunjukkan bahawa majoriti responden mengatakan laman web perniagaan sedia ada tidak mempunyai maklumat yang cukup.
Sehubungan itu, mereka terpaksa membuka lebih daripada satu laman web untuk satu tujuan dan akhirnya memakan masa.
“Daripada situ, wujudlah DR.Retail dan dengan melayarinya , pengguna akan mendapat maklumat tentang perniagaan seperti, kewangan, aktiviti promosi, reka bentuk, penyimpanan, pengurusan inventori dan lain lain,’’ ujarnya.
Selepas menguji sistem tersebut, kebanyakannya mengatakan bahawa website tersebut bagus, dapat membantu mereka, dapat menambah pengetahuan dan sebagainya.
Justeru beliau berharap, website DR.Retail dapat membantu peniaga yang baharu hendak memulakan perniagaan, dan juga dapat menambah pengetahuan usahawan kecil mengenai perniagaan.
Selepas ini kumpulannya merancang untuk mengembangkan lagi konsep tersebut dengan menghasilkan platform dalam bentuk aplikasi.
Selain beliau, turut berada dalam kumpulan tersebut adalah Aida Izzati Mohamad Khairudin selaku ketua, Noraihani Halim, Zatunnazihah Hasin dan Nurul Anisa Zulkepli. Bagi menjalankan projek tersebut, mereka dengan rela hati mengumpul wang bersama-sama daripada sumber sendiri.
*Kelebihan inovasi
-Pengguna mendapat maklumat yang cukup tentang perniagaan dalam satu website.
-Pengguna tidak perlu membuka banyak website dan juga menjimatkan masa.
Biodata penerima anugerah
Nama penuh: MUHAMMAD ARIF MOHMAD ASRI
Umur: 21 tahun
Asal : Kulai Johor
Pendidikan: Diploma Landskap Hortikultur, Politeknik Nilai
Cita- Cita: Arborists
Pandangan ringkas mengenai bidang Sains atau Inovasi: Sains dan inovasi merujuk kepada perubahan atau penambahbaikkan sesuatu perkara untuk memberikan manfaat yang terbaik kepada masyarakat dan alam sekitar.
Nama penuh: NUR NADIA MOHAMAD NOH
Umur: 21 tahun
Asal : Batu Pahat Johor
Pendidikan: Diploma Pengurusan Runcit , Politeknik Negeri Sembilan
Cita- Cita: Pengusaha kedai
Komen mengenai bidang Sains atau Inovasi: Inovasi adalah sesuatu yang memudahkan dan menjimatkan masa. Seperti yang dilihat, pada tahun ini, banyak produk inovasi yang diperkenalkan yang akan memudahkan pengguna.