Pesara jurutera tauke harumanis

Sebaik sahaja bersara sebagai perunding jurutera di Subang Jaya Selangor, beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Beliau segera kembali ke kampung halamannya di Beseri Perlis, untuk menceburi bidang pertanian dan tanaman yang dipilih untuk diusahakan adalah mangga harumanis.

“Pada mulanya saya hanya menganggap ia sebagai hobi dan hanya mencuba-cuba menanam harumanis yang berjumlah 30 pokok.

“Namun selepas tiga tahun, buah harumanis mula mengeluarkan hasil yang banyak dan jualan pada masa itu hanya RM5 sekilogram tetapi ia mendatangkan hasil yang lumayan, ‘’ ujarnya.

Menyambung cerita, Idris Aman 56, berkata, pada tahun 2012, beliau mula menceburi bidang penanaman harumanis secara sepenuh masa dengan keluasan 1.09 hektar dan mula membuka tanah baharu dan terbiar.

Ketika itu, beliau mengeluarkan, modal pelaburan awal berjumlah RM20,000 bermula dengan kerja-kerja pembukaan tanah, benih, baja dan upah.

Beliau bermula dengan diri sendiri selain didorong oleh minat dengan penanaman harumanis dan disokong oleh keluarga serta Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

“Saya tiada pengalaman secara langsung dalam bidang (penanaman) harumanis dan banyak merujuk kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis tentang buah ini, ” ujarnya.

Beliau mengusahakan tanaman seluas 1.5 hektar dengan jumlah pokok 200 pokok yang berusia di antara tujuh hingga 14 tahun.

Namun beliau bertuah kerana mendapat bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Perlis sejak tahun 2012 bermula daripada awal penanaman kebun baharu yang terletak di Beseri.

Beliau mengusahakan ladang di Kelompok Harumanis Tanah Pasir, Batu 8 ½ Jalan Kaki Bukit, 02400 Beseri perlis.

Beliau juga tidak membuat apa-apa pinjaman daripada bank ataupun mana-mana agensi.

Sebaliknya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Perlis berbentuk peralatan dan perkakasan serta input pertanian.

Namun begitu, beliau tetap perlu mempunyai ilmu mengenai penjagaan pokok kerana cabaran utama dalam penanaman harumanis adalah dari segi penjagaan pokok yang memerlukan pengawasan sepanjang tahun.

Rutin seperti membaja, pemangkasan pokok, meracun, meracun rumpai, menebas rumput, penjagaan sistem pengairan harus dilakukan sepanjang tahun tanpa henti demi mendapatkan hasil berkualiti.

Ini kerana sekiranya berlaku masalah kurang perhatian dalam aspek penjagaan akan menyebabkan kualiti dan kuantiti buah merosot.

Sebagai usahawan, beliau juga berdepan dengan cabaran berkaitan lain adalah faktor kualiti buah dan faktor pemasaran yang tidak menentu serta kes kecurian buah pada musim pengeluaran.

Ketika ini, pengeluaran ladangnya untuk setiap musim mencapai empat hingga enam tan semusim manakala harga semasa masih kekal pada RM25/kg yang mdijual terus dari ladang.

“Harumanis keluaran saya dipasarkan di sekitar Perlis. Saya juga ada menjual buah melalui pembeli yang menempah menerusi Jabatan Pertanian Negeri Perlis, ‘’ ujarnya.

 Namun, ada masa beliau juga turut memasarkan buah harumanis ke luar dari Perlis mengikut permintaan.

Dengan kejayaan yang beliau capai ketika ini, Idris

Untuk perancangan masa hadapan, Idris yang juga setiausaha dalam Kelompok Harumanis Tanah Pasir, Beseri, Perlis, berkata, beliau akan lebih berinovasi dalam memajukan ladang di samping menjaga kualiti buah serta memajukan industri tanaman tersebut harumanis.

Sebagai contoh, Idris menggunakan kemudahan ATV untuk kerja-kerja meracun pokok, menebas rumput serta kerja-kerja mengangkut buah.

Dengan adanya inovasi tersebut kerja-kerja di ladang amat menjimatkan masa serta kos dan tenaga buruh dapat dikurangkan.

Kualiti buah juga dapat dipertingkatkan memandangkan rutin penjagaan menjadi lebih mudah dan efisyen.

“Saya juga sedang melatih anak-anak serta anak buah saya dalam bidang penanaman harumanis agar tanaman ini diteruskan kelak memandangkan ia merupakan satu perniagaan yang mampu menjamin masa depan.

“Saya juga dalam proses membangunkan Kelompok Harumanis Tanah Pasir, Beseri menjadi kelompok contoh untuk penanaman harumanis dan ia  akan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi perserta-peserta kelompok saya, ujarnya.

Dengan adanya bimbingan daripada Jabatan Pertanian Negeri Perlis, ia memudahkan lagi pembangunan harumanis. Kursus dan latihan yang dianjurkan amat membantu dalam memajukan penanaman harumanis.

Idris berharap , agar penanaman buah tersebut diteruskan sampai bila-bila dan bertambah maju.

Selain itu beliau berharap kerajaan mahupun swasta dapat menstabilkan harga pasaran harumanis yang setimpal dengan penjagaan pokok yang rumit.

“Selain itu, saya harap dari segi promosi dapat berteruskan sepanjang masa memandangkan buah harumanis ini hanya setahun sekali dan hanya boleh diperoleh di Perlis atas jenama Mangga Harumanis Perlis, ‘’ ujarnya lagi.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Idris Aman di talian 019-5586521

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *