Formulasi hand sanitizer USM ada limau purut

Umum mengetahui permintaan tinggi terhadap hand sanitizer khususnya ketika negara berdepan penularan wabak pandemik COVID-19 menyebabkan bahan tersebut sukar didapati dalam pasaran ekoran kehabisan stok.

Menyedari hakikat itu dan sebagai menampung permintaan semasa, Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk memformulasikan hand sanitizer tersendiri yang unik dan memenuhi standard serta piawaian khusus bagi membunuh virus dan bakteria pada permukaan kulit.

Lebih unik, limau purut turut digunakan sabagai bahan wangian dalam formula berkenaan, menjadikan ia berbau lebih segar, selain tidak melekit, serta turut dicampur dengan bahan pelembap bagi mengelak berlakunya kesan kekeringan kulit jika digunakan dengan kerap.

Pensyarah Kanan  PPSF, Dr. Amirah Mohd. Gazzali yang turut terlibat dalam projek itu berkata, idea asal untuk menghasilkan hand sanitizer USM disuarakan oleh Dekan PPSF, Profesor Dr. Habibah A. Wahab dan ia direalisasikan melalui sokongan penuh daripada pelbagai pihak termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Datuk Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

“Pasukan kami terdiri daripada lima orang staf akademik, dua kakitangan makmal dan dua pelajar pascasiswazah PPSF.

“Sehingga kini kami berjaya menghasilkan lebih 140 liter hand sanitizer dalam tempoh dua hari untuk diagihkan kepada komuniti USM bagi menggalakkan amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hand sanitizer itu dihasilkan mengikut standard yang diperlukan untuk membunuh virus atau bakteria berdasarkan kajian sedia ada, iaitu mengandungi sekurang-kurangnya 65 peratus alkohol etanol (ethyl alcohol).

Menurut beliau lagi,  sesuatu hand sanitizer yang berkualiti perlu mengandungi sekurang-kurangnya 65 peratus alkohol (ethyl alcohol)  atau isopropyl alcohol (IPA).

“Pastikan bukan metanol yang juga sejenis alkohol, tapi tidak selamat untuk digunakan pada kulit,’’ ujarnya.

Pasukan penyelidik menggunakan limau purut sebagai pewangi, dengan itu bau lebih menyegarkan dan tidak melekit. Mereka mengambil masa satu hari untuk menghasilkan cecair berkenaan dan  sehari lagi untuk kerja- kerja pembotolan dan pelabelan.

“Sanitizer kami memenuhi standard ini, dengan memasukkan pelembap untuk mengelakkan tangan kering jika penggunaan terlalu kerap kerana ada bahan etanol, ‘’ katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha PPSF untuk sama-sama membantu meringankan beban dan keperluan komuniti USM dalam tempoh sukar seumpama ini.

“Kami turut berharap orang ramai khususnya warga USM sentiasa peka dengan perkembangan semasa daripada kerajaan, Kementerian Kesihatan dan USM khususnya.

“Jaga kesihatan dan kebersihan diri, amalkan penjarakan sosial, sentiasa mencuci tangan dan bawa sanitizer ke mana anda pergi,” ujar beliau lanjut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *