Merbau pokok kebangsaan

Malaysia telah mengangkat merbau sebagai pokok kebangsaan kerana ketahanan kayu pokok ini melambangkan keutuhan integriti hutan negara.

Ia hasil daripada pengurusan secara lestari serta usaha pemuliharaan khazanah kepelbagaian biologi hutan di negara ini.

Perisytiharan merbau sebagai pokok kebangsaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 23 Ogos 2019.

`Saya mengumumkan bahawa pokok merbau telah dipilih sebagai pokok kebangsaan dan berharap dengan kekuatan semula jadinya rakyat Malaysia akan menjadikan pokok ini simbol kebanggaan negara,” ujarnya.

Majlis pelancaran tersebut diadakan sempena Majlis Perasmian Pameran ‘Hutan Kita’ di Menara Kuala Lumpur.

Perisytiharan tersebut menambahkan lagi simbol negara berasaskan alam sekitar seperti bunga raya sebagai bunga kebangsaan.

Yang menariknya pokok merbau tumbuh subur di negara ini dan terdapat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ia juga merupakan simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.

Pokok merbau, daripada keluarga Fabaceae, yang juga dikenali sebagai malacca teak, borneo teak, moluccan ironwood, ipil, kwila dan mirabow adalah salah satu spesies pokok kayu keras tropika yang mempunyai kualiti tinggi.

Kayunya tahan lama serta tahan serangan anai-anai. Ketahanannya terbukti dengan penemuan artifak-artifak purba diperbuat daripada kayu merbau di Gua Ago Batu Tulug, Kinabatangan, Sabah yang berusia hampir 900 tahun dan masih berada dalam keadaan kukuh.

Pokok merbau biasanya bersaiz sederhana besar hingga besar, berbatang lurus, tumbuh hingga 50 meter tinggi dan berakar banir hingga empat meter tinggi. Merbau adalah pokok kayu keras tropika yang berkualiti tinggi.

Spesies pokok merbau didapati secara meluas di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia juga mudah ditemukan di hutan Malaysia. Merbau tumbuh di hutan tanah pamah terutamanya di pinggir sungai hingga ketinggian 1000 meter dari aras laut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, pemilihan pokok merbau sebagai pokok kebangsaan amat signifikan sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan kekayaan biodiversiti negara serta membangkitkan semangat cintakan khazanah hutan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod

Ketahanan kayunya melambangkan keutuhan integriti hutan negara, hasil daripada pengurusan secara lestari serta keberkesanan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi hutan Malaysia.

Merbau juga adalah simbol kepentingan khazanah hutan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.

“FRIM sebagai sebuah institusi R&D (penyelidikan dan pembangunan) membuka pintu kampusnya kepada orang ramai untuk menikmati keindahan hutan buatan manusia.

Kebanyakan aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung adalah berasaskan pendidikan alam dan ekopelancongan seperti treasure hunt, amazing race, termasuk jelajah ke denai-denai alam di FRIM serta lawatan berpandu ke taman botani dan arboreta yang menempatkan koleksi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang dilindungi atau dipulihara daripada kepupusan,” ujarnya.

FRIM juga menawarkan kemudahan tapak perkhemahan dan perkelahan; serta dikenali sebagai kawasan yang sesuai untuk menjalankan kegiatan riadah seperti berjoging, bersukan atau sekadar berbasikal.

Stesen Penyelidikan FRIM di seluruh negara.

Bagi memupuk semangat cintakan hutan dan alam sekitar, FRIM juga menganjurkan program tahunan seperti sambutan Hari Hutan Antarabangsa, Hari Alam Sekitar Sedunia, serta BioD-Talk sempena International Day of Biodiversity yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat; selain menyelaras program tanggungjawab soail korporat (CSR) seperti gotong royong dan aktiviti menanam pokok di kampus FRIM.

Selain itu, FRIM juga telah menghasilkan setem komemoratif bagi meraikan pelancaran merbau sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia.

Pasukan Barisan Hadapan FRIM yang terdiri daripada staf Pusat Informasi Pelawat (VIC) serta petugas-petugas aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti menanam pokok juga dibekalkan dengan kemeja-T Pokok Kebangsaan sebagai salah satu usaha memperkenalkan serta mempromosi pokok ini kepada pelawat dan pengunjung FRIM.

Keunikan pokok kebangsaan ini turut dikongsi dengan masyarakat melalui media massa seperti sesi temuramah dan saluran media sosial.

Oleh itu inisiatif Perbadanan Filem Nasional (FINAS) untuk menguar-uarkan keistimewaan pokok merbau sebagai pokok kebangsaan kepada masyarakat melalui dokumentari amat penting dan dialu-alukan.

Apa yang menarik dalam ucapan perasmian Perdana Menteri adalah beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan negara ini dilitupi hutan seperti janji Malaysia pada Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Bumi di Rio de Janaero, Brazil pada 1992.

Keluasan hutan di Malaysia kata Dr. Mahathir adalah 55.3 peratus daripada keluasan negara ini atau 18.28 juta hektar. – LAUPA JUNUS

info

Setem kenang -kenangan sempena perisytiharan merbau sebagai pokok kebangsaan.

*Nama saintifiknya adalah Intsia palembanica.

*Ekstrak daun merbau digunakan dalam perubatan tradisional dan buah yang muda boleh dimakan setelah dipanggang dan direbus.

*Batang pokoknya berwarna putih keperangan. Anak daunnya tebal, berkilat serta berbentuk bujur. Bunganya berwarna putih kekuningan

*Buahnya leper, bujur panjang, licin, coklat kehitaman apabila masak dan mengandungi tiga atau lebih biji yang rata dan tebal berukuran antara 34.5 sm panjang dan 1.5–3 sm lebar.

Kayu merbau yang tahan lasak dan berharga, popular sebagai bahan untuk membuat lantai.

*Lantai kolam renang, misalnya, tidak mudah rosak dan tahan kereputan. Bintik-bintik berwarna emas di sepanjang ira kayu merbau kelihatan menarik dan sesuai dijadikan pelbagai produk hiasan serta kelengkapan rumah seperti meja, kerusi dan hiasan taman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *