Bagi mereka yang biasa berada di dapur, menyediakan juadah untuk dinikmati, kemungkinan berdepan beberapa masalah semasa memasak atau menggoreng.
Misalnya, kerap kali berlaku lebihan tuangan minyak masak ke dalam kuali. Masalah lain termasuklah antaranya untuk memotong kertas bakeri atau mengaplikasikan lapisan minyak pada permukan loyang kek serta biskut.
Ketiga, masalah menggunakan minyak pada air-fryer, wafel dan takoyaki pan dan permukaan keluli gril. Isu keempat adalah kesedaran penjagaan kesihatan yang semakin baik pada hari ini menekankan gaya hidup sihat dalam pengambilan lemak.
Itu antara masalah yang biasa dihadapi dan bukan semuanya mudah untuk diselesaikan.
Namun bagi penyelidik daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP) Dr. Izan Izwan Misnon, yang menyedari isu tersebut, mempunyai penyelesaiannya tersendiri.
Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Industri UMP itu menjalankan penyelidikan Palm-O-Lite: Aerosol berasaskan minyak sawit untuk aplikasi kulinari.
Berkongsi lebih lanjut kepada wartawan jurnal.my beliau berkata, idea kajian bermula dengan permasalahan penggunaan perkakasan masakan.
“Pertama, kerap kali berlaku lebihan tuangan minyak masak ke dalam kuali. Sebagai contoh, untuk memasak jejari (nugget) menggunakan air-fryer tanpa memberikan lapisan nipis minyak menyebabkan lekatan dengan lapik besi dan menyukarkan proses mencuci perkakas masakan tersebut.
`Pemerhatian di pasar raya yang menjual produk aerosol masakan menggunakan minyak sayuran berasaskan kanola, zaitun, bjii bunga matahari dan soya.
Justeru, inisiatif pembangunan Palm-O-Lite menggunakan minyak sawit sebagai minyak asas dilihat berpotensi untuk dibangunkan,” ujarnya.
Beliau berkata, sebatian minyak masak berasaskan sawit dengan bahan aditif (mengikut piawaian makanan, E-number) dibotolkan ke dalam botol yang mengandungi propellent.
Tekanan tombol pada botol menghasilkan aerosol minyak dan diserakkan ke perkakasan masakan menghasilkan lapisan nipis antilekat.
Menurutnya, secara purata, sekitar 0.3 dan 0.5 gram minyak digunakan pada setiap penggunaan.
Katanya lagi, kelebihan menggunakan minyak sawit berbanding minyak lain termasuklah ia bukan bahan yang diubah secara genetik (non-GMO), bebas kolestrol, bebas lemak-trans, mengandungi 52 peratus lemak tepu, 38 peratus lemak mono tak tepu (monounsaturated) dan 10 peratus lemak poli tak tepu (polyunsaturated).
“Ia juga mempunyai indeks kestabilan minyak (OSI) lebih baik berbanding minyak sayuran lain, amat sesuai untuk aplikasi masakan pada suhu tinggi.
“Analisis nutrisi Palm-O-Lite mendapati ia sama seperti produk-produk yang telah ada di pasaran,” ujarnya.
Penyelidikan yang dimulakan pada 2017 dan selesai pembangunan prototaip pertama pada 2018 merupakan hasil kerjasama bersama rakan penyelidik lain iaitu Dr. Saifful Kamaluddin Muzakir dan Dr. Nazikussabah Zaharuddin.
Perbincangan dan penghasilan produk menggunakan bahan-bahan dan peralatan mengisi minyak sawit ke dalam botol yang terdapat di UMP.
Kejayaan Dr. Izan Izwan dan kumpulannya itu sesungguhnya memberi nilai tambah kepada industri sawit tempatan sekali gus menyokong usaha kerajaan
mempromosi minyak sawit.
Pada Januari 2019, Kementerian Industri Utama melancarkan kempen ‘Sayangi Minyak Sawitku’ dengan menumpukan penggunaan lebih tinggi minyak sawit negara bagi kepentingan sosio-ekonomi, kesihatan, pemakanan dan aplikasi makanan.
Ini berikutan kempen anti-sawit yang menyebabkan harga pasaran menurun seterusnya menjejaskan ekonomi pekebun.
Menurut Dr. Izan Izwan, Palm-O-Lite sepenuhnya menggunakan minyak sawit bagi menyokong inisiatif tersebut.
“Sebagai negara pengeluar, bekalan minyak boleh didapati dengan mudah dan murah berbanding minyak sayuran lain, ” katanya.
Kata beliau, Palm-O-Lite dilihat berpotensi dipasarkan sebagai alat bantuan masakan di rumah, keperluan bakeri, aktiviti luar seperti perkelahan, trak sajian makanan (food truck) serta industri perhotelan.
Malah kata Dr. Izan Izwan, berdasarkan laporan oleh Mordor Intelligent pasaran minyak sayuran ialah sekitar USD 190 billion (RM 773 billion) pada 2020, memulakan sasaran pasaran Palm-O-Lite pada 0.1 peratus boleh dianggap realistik.
Sebagai latar belakang beliau menjelaskan, pengeluaran minyak sawit pada 2018 mencatatkan jumlah sebanyak 74.3 juta tan metrik iaitu menyumbang kepada 33.7 peratus minyak sayuran dunia.
Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar terbesar dengan pecahan 39 peratus daripada hasil tahunan minyak sawit global.
Minyak sawit bukan sahaja kaya dengan karotenoids, ia juga sumber vitamin E yang membantu mengurangkan kesan penuaan.
Banyak produk hiliran dari minyak ini telah dihasilkan termasuk makanan dan minuman, kosmetik, kesihatan dan biodiesel.
Dalam usaha meningkatkan nilai tambah alternatif minyak sawit dalam masakan, ia diformulasi dan dibotolkan sebagai aerosol masakan yang sesuai digunakan dalam masakan ringkas, membuat kek dan barbeque.
Palm-O-Lite berasal dari dua suku kata, pertama Palm-O- iaitu palm oil (minyak sawit) dan kedua ialah Lite, iaitu light, merujuk kepada pengambilan lemak (fat) yang rendah.
Ia dihasilkan untuk memudahkan kerja memasak yang mementingkan gaya hidup yang cepat, mudah dan selesa.
Aplikasi produk kepada peralatan masakan bertindak sebagai agen anti-lekat (non-stick), meminimumkan konsumsi lemak dan meningkatkan persembahan masakan.
Dalam pada itu beliau menjelaskan buat masa ini, Palm-O-Lite diformulasi untuk aplikasi non-stick, baking dan barbeku.
Fungsi produk boleh ditambah baik dengan formulasi minyak dengan perisa lain seperti lemon (untuk penyediaan salad), panas dan berempah untuk menambah rasa makanan dan lain-lain.
Buat masa ini, projek ini masih di peringkat prototaip sekunder. Ia juga telah menerima geran Lab2Market dari Universiti Malaysia Pahang untuk pembangunan produk dengan ciri komersial.
Selain itu, kerjasama juga dilakukan bersama Symbiotech PLT, syarikat simbiosis di bawah Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) untuk meneroka segmen dan kajian pasaran yang bersesesuaian di dalam dan luar negara. Kami berharap usahasama ini akan memberikan hasil yang positif seterusnya Palm-O-Lite dapat diterima untuk pasaran negara.
Beliau memberitahu, bagi mereka yyang berminat mendapatkan produk tersebut bagi fasa awal, Palm-O-Lite dibotolkan dengan kapasiti 150 mL dengan harga pasaran sekitar RM 11 dan RM 13.
Beliau berkata, inovasi, teknologi bag-on-valve (BOV) ialah pilihan yang baik dalam membotolkan produk.
“Ia tidak memerlukan propellent (butana atau propane) yang bercampur terus dengan minyak.
“Selain itu, kami berhasrat untuk menambahbaik rekabentuk botol yang lebih mesra pengguna serta mendapatkan pensijilan yang sesuai seperti Halal dan GMP.
“Kami juga mengharapkan kerajaan akan dapat mengatasi sekatan oleh negara Eropah dengan pelaksanaan penuh akreditasi Minyak Kelapa Sawit Lestari Malaysia (MPSO) selaras dengan Deklarasi Amsterdam supaya minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dapat menembusi pasaran global,”ujar beliau.
Ini sedikit sebanyak akan membantu Palm-O-Lite dikenali dan diterima dengan lebih baik lagi jika dapat memulakan pengeluaran produk di pasaran.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, selain Palm-O-Lite, beliau turut menjalankan beberapa projek kajian lain.
Penyelidikan tersebut adalah kajian bahan storan tenaga elektrik iaitu superkapasitor bateri ion lithium.
Kajiak keduaadalah bioplastik daripada selulosa sisa tandan sawit. Ia bertujuan menghasilkan plastik yang boleh terdegradasi dan mesra alam sekitar. –Laupa Junus
Pengiktirafan Palm-O-Lite:
*Pingat emas pada Pameran Reka Cipta , Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke- 29(ITEX 2018)
*Pingat emas pada Pameran Kreativiti, Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (CITREx 2018)
*Pingat gangsa pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF 2018).
*Dipatenkan oleh UMP pada 2018.