Anggur subur di bumi Sabah

Ramai mungkin tidak menyangka tanaman anggur boleh hidup subur  di Sabah . Sebelum ini pendedahan mengenainya banyak berkisar tentang kejayaan penanaman anggur di Semenanjung sahaja. Apatah lagi ada pengusaha yang mampu tersenyum lebar kerana berjaya mengusahakan tanaman tersebut.

Cuaca menjadi masalah memandangkan anggur hidup subur di kawasan beriklim sejuk, sama seperti strawberi.

Namun kegigihan pengusaha nampaknya mampu mengatasi masalah cuaca dan mereka membuktikan bahawa tanaman anggur juga mampu hidup subur di kawasan yang lebih panas.

Salah seorang pengusaha yang telah membuktikan kemampuannya adalah  Jontih  Engghihon. Beliau bukan orang biasa biasa kerana kini sedang menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Selangor/Wilayah Persekutuan.  

Berkongsi mengenai pembabitannya Jontih , 57, berkata, beliau  terlibat dalam  penanaman anggur semasa bertugas di Ipoh.

“Pada mulanya saya menanam anggur secara sambilan ketika berkhidmat dengan Jabatan Mineral dan Geosains di Ipoh, Perak pada 2005 hingga 2013,’’ ujarnya berkongsi cerita kepada jurnal.my.

Bertitik tolak daripada minat tersebut , Jontih mula mengusahakan tanaman anggur bermula dengan hanya 10 pokok di Kampung Bantayan Tamparuli, Tuaran Sabah. Beliau meneruskan hobi tersebut apabila kembali bertugas dengan jabatan sama di Kota Kinabalu pada 2014 dengan memanfaatkan ruang kosong halaman rumahnya.

Pada masa yang sama, beliau juga cuba menanam buah tin atau fig sebanyak 80 pokok.

Tidak lama kemudian, beliau menubuhkan Nursery JonGrapevines & Figs Garden (JGFG) , Kampung Bantayan dengan menanam 60 jenis anggur dalam rumah hijau.

JGFG merupakan syarikat yang dimiliki oleh Nonie Bansunin sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat manakala Jonovan Jontih Enggihon sebagai pengurus. Beliau bertindak sebagai penasihat teknikal.

Usaha beliau tidaklah semudah yang disangka, malah Jontih mengeluarkan wang sebanyak RM5,500 sebagai modal awal membeli ranting-ranting figs daripada Sepanyol, Amerika Syarikat dan Itali pada akhir 2013.

Anak pokok anggur

“Tiada siapa yang mendorong saya (melakukan semua ini) kerana  ia hanyalah self motivated, ‘’ ujarnya.

Malah beliau tidak pernah mendapat bimbingan daripada mana mana pihak, sebaliknya mendapat ilmu menerusi pembacaan , belajar sendiri, praktikal sendiri dan banyak melakukan eksperimen. Untuk tujuan itu, beliau membaca banyak sumber seperti laporan teknikal dan tesis luar negara mengenai pokok anggur dan buah tin.

Bagi memajukan projek tersebut, beliau juga tidak mendapat bantuan dana daripada mana-mana agensi.

Semua infrastruktur yang dibina iaitu sebanyak lapan buah rumah hijau, tiga bersaiz besar, satu bersaiz sederhana dan sebuah yang kecil, rumah pekerja, tanki, pam dan paip serta pemasangan wayar elektrik dan peralatan kebun seperti mesin shredder, mesin pemotong rumput dan kanopi menggunakan wang pusingan hasil jualan anak pokok dan buah tin.

Malah beliau pernah menyertai program yang dianjurkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)   pada 2014 dan 2015 bagi mendapatkan geran projek tetapi gagal memasuki pertandingan akhir.

Kini , kawasan penanaman projek beliau telah berkembang kepada satu ekar yang ditanam dengan 132 pokok anggur daripada 90 varieti dan 500 pokok buah tin daripada 200 varieti.

Jontih memberitahu ketika ini , ladangnya mampu mengeluarkan antara dua hingga tujuh kilogram buah tin sehari yang hasilnya dijual kepada pelawat.

Buah anggur pula tidak dijual, sebaliknya untuk memberi peluang kepada pelawat menguji rasanya.

Berkongsi mengenai cabaran dalam penanaman anggur Jontih berkata, masalah penyakit antara yang meresahkan beliau.

Penyakit tersebut biasanya melibatkan serangan kulat dan serangga perosak manakala cabaran lain adalah menyediakan infrastruktur yang mahal serta mendapatkan pekerja yang tetap.

Beliau yang kini Presiden Persatuan Figs dan Anggur Sabah berkata, projek tersebut akan dikembangkan lagi dengan membina dua buah rumah hijau tambahan selain kemudahan pejabat dan kafeteria.

Pihaknya juga sedang dalam proses menandatangani kontrak perjanjian dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), untuk membuka kebun anggur di situ.

Beliau turut berkongsi nasihat kepada mereka yang berminat menceburi projek tanaman anggur supaya memanfaatkan tanah terbiar.

“Jangan mudah putus asa, perbaiki kesilapan, banyak membaca untuk menambah pengetahuan, sertai kursus yang dianjurkan oleh JGFG iaitu  satu-satunya bentuk kursus yang lengkap tentang anggur di Malaysia ” ujarnya.

Sebelum ini, beliau telah menganjurkan 16 Kursus Asas Penanaman dan Penjagaan Pokok Anggur sejak 2017 iaitu satu diadakan di Shah Alam (2018) dan 15 kursus di Tamparuli.

Jontih Enggihon menunjukkan salah sebuah rumah hijau yang terdapat di ladang JGFG di Tuaran, Sabah

“Pada masa ini  JGFG sedang menjalankan kursus dalam talian (online)  menggunakan aplikasi Telegram, ‘’ ujarnya.

Kata beliau, Kursus Asas Penanaman dan Penjagaan Pokok Anggur melibatkan 118 peserta daripada seluruh negara selain Brunei dan Indonesia.

Kursus tersebut diadakan dalam tempoh tiga bulan, yang diadakan hanya waktu malam, tiga  kali seminggu.

Info

  • JGFG mempunyai 90 varieti anggur yang benihnya diperoleh daripada Amerika Syarikat, Sepanyol, United Kingdom, Russia, China dan Jepun.
  • Kebiasaannya anggur yang ditanam di negara ini hanya akan matang selepas tiga tahun diusahakan.
  • Penggunaan rumah hijau bertujuan supaya benih pokok anggur dilindungi daripada hujan.
  • Penganjuran kursus

-Menganjur empat kursus dalam talian (online) menggunakan aplikasi Whatsapp cara menyemai ranting pokok tin pada 2015-2016.

JonGrapevine & Figs Garden
Lokasi: Kg. Bantayan, Tamparuli
❤❤🍁🍁🍁🍇🍇🍇❤❤

Produk:

  • Lawatan agropelancongan dengan tiket masuk melihat pokok anggur dan pokok buah tin.
  • Bibit anggur/buah tin/malberi
  • Buah tin
  • produk Ken Mikrob
  • baja DI Grow
  • Kitosan
  • Peralatan rumah hijau (greenhouse)
  • Kursus Penanaman Anggur

Masa melawat:
Pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang
Dibuka setiap hari kecuali Khamis.
Dibuka semasa cuti sekolah.

Tiket masuk:

  1. Kadar A (semasa banyak buah anggur)
    *Umur: 18 tahun ke atas – RM10
    *Warga tua RM7
    *Umur: 6 hingga 17 tahun – RM5
    *Umur : 5 tahun ke bawah – Percuma
    *OKU – Percuma
  2. *Bukan warga negara – RM20 (kadar kekal tidak ikut umur kecuali 5 tahun ke bawah percuma.
  3. Kadar B
    Umur: 18 tahun ke atas – RM7
    Warga tua – RM5
  4. *Umur : 6 hingga 17 tahun – RM3
    *Umur: 5 tahun ke bawah – Percuma
    *OKU – Percuma.
  5. *Bukan warga negara – RM20 (Kadar kekal tanpa ikut umur kecuali 5 tahun ke bawah percuma).
  6. Kadar C (sedikit buah anggur)
    *Umur: 18 tahun ke atas – RM5
    *Warga tua – RM3
    *Umur: 6 hingga 17 tahun – RM2
    *Umur : 5 tahun ke bawah- Percuma
    *OKU – Percuma
  7. *Bukan warga negara RM20 (kadar sama tanpa ikut umur kecuali 5 tahun ke bawah – percuma.

Pertanyaan:

Pn. Nonie (0195515810)

Jontih Enggihon (0195934746)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *