‘Ratu penyu’ belum putus asa

Mukadimah : Hampir dua dekad terbabit dalam penyelidikan dan pemuliharaan penyu rupanya belum menjadikan Prof. Madya Dr . Juanita Joseph putus asa,  malah bertekad meneruskan usahanya sejak mengetuai Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebelum berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak dua tahun lepas. Beliau masih kekal sebagai penyelidik dalam kajian penyu dan hasratnya supaya spesies tersebut tidak pupus masih menjadi impiannya.Ikuti perkongsian yang menyentuh topik  berkaitan kepakarannya bersama  jurnal.my 

Apakah bidang kepakaran Dr.

Prof. Madya Dr. Juanita : Bidang kepakaran saya adalah biologi pemuliharaan penyu. Penyelidikan yang saya jalankan bertujuan untuk memahami dan mengetahui lebih lanjut mengenai biologi dan ekologi penyu. Informasi ini penting bagi meningkatkan  pemuliharaan dan perlindungan penyu, bagi mengelakkan kepupusan spesies ini.

Sejauh  mana  bidang  tersebut penting?

Prof. Madya Dr. Juanita : Bidang ini  penting kerana ia akan membantu dalam pemuliharaan dan perlindungan penyu. Penyu merupakan haiwan yang terancam, Jika penyelidikan dan pemuliharaan tidak dijalankan, maka penyu mungkin akan pupus. Penyu merupakan haiwan marin purba yang amat penting bagi keseimbangan ekosistem laut. Tanpa penyu di lautan, ekosistem seperti rumput laut dan terumbu karang akan terjejas.

Apakah kita mampu  melahirkan  ramai pakar  dalam  bidang  ini?

Prof. Madya Dr. Juanita : Pada masa sekarang,  kita telah melahirkan ramai pakar dalam bidang ini di Malaysia. Sebelum 2000, kepakaran dalam bidang ini agak kurang. Ini kerana sokongan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sangat prihatin dalam penyelidikan dan pemuliharaan penyu di Malaysia.

Sepanjang  penglibatan  Dr.,  apakah yang paling  mengecewakan?

Prof. Madya Dr. Juanita : Pada dekad 1990-an, apabila  memulakan penyelidikan penyu di Malaysia, kami menghadapi pelbagai cabaran. Pada masa itu, pengutipan telur penyu masih berleluasa dan orang ramai belum lagi mengerti mengapa penyu perlu dilindungi. Setelah lebih 25 tahun menjalankan penyelidikan dan pemuliharaan penyu, usaha ini semakin difahami oleh semua. Kerajaan juga telah melindungi pantai-pantai persarangan utama penyu di negara ini.

Pelbagai NGO  sama ada dalam negara atau antarabangsa telah mengambil inisiatif untuk melindungi dan memulihara penyu. Apa yang masih mengecewakan adalah sehingga kini belum ada lagi undang-undang untuk menghapuskan penjualan telur penyu di Semenanjung Malaysia. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku lagi kerana semua pihak sepatutnya sudah faham mengenai kepentingan penyu. Tambahan lagi,kita tidak mahu peristiwa seperti kehilangan penyu belimbing berlaku lagi.

Penyu Belimbing semakin berkurangan, tetapi penjualan telur penyu masih dibuat. Hanya pada 1987, baharulah penjualan telur penyu Belimbing diharamkan, tetapi sudah terlambat bagi menyelamat spesies ini. Penjualan telur penyu di Semenanjung Malaysia juga menyebabkan penyeludupan telur dari Sabah dan Sarawak meningkat.

Bagaimana kita hendak meningkatkan  minat dan kesedaran masyarakat dalam  bidang kepakaran Dr?

Prof. Madya Dr. Juanita : Kempen kesedaran penyu dan ekosistem marin perlulah dibuat dengan lebih kerap supaya masyarakat sedar tentang perlunya memulihara penyu ini. Selain itu, pengetahuan perlu juga diterapkan di sekolah-sekolah. Perlu juga dikeluarkan dalam media sosial supaya masyarakat lebih maklum mengenai perkara ini.

Apakah  yang Dr.  lakukan  sebagai  sumbangan setakat ini.

Prof. Madya Dr. Juanita : Saya telah berkecimpung dalam bidang ini sejak  1996 lagi. Sumbangan saya terbahagi kepada empat iaitu  penyelidikan, pengajaran, pemuliharaan dan program kesedaran awam.

Penyelidikan: Saya telah memulakan penyelidikan genetik penyu di Malaysia. Pada mulanya penyelidikan di Kawasan persarangan penyu, dan seterusnya ke Kawasan pemakanan penyu. Informasi dari penyelidikan ini banyak menyumbang dalam meningkatkan aktiviti pemuliharaan dan perlindungan penyu di Malaysia dan Rantau Asia Tenggara.

Pengajaran: Saya telah menghasilkan pelajar PhD dan sarjana dalam bidang penyelidikan mengenai penyu. Saya juga mengajar pelajar prasiswazah dan membawa mereka melakukan kerja lapangan mengenai penyelidikan dan pemuliharaan penyu.

Pemuliharaan: Saya telah menjalankan pemuliharaan penyu di Pulau Redang, Terengganu  semenjak 1998 lagi. Pada 2009 saya telah menjadi Ketua SEATRU dan telah meningkatkan unit ini sebagai pusat rujukan penyu di negara ini . Data biologi penyu yang dikutip di Pulau Redang telah membantu dalam penambahbaikan pemuliharaan penyu di Malaysia. Saya juga dilantik sebagai penasihat atau perunding bagi memastikan pemuliharaan penyu yang dijalankan di negara ini menggunakan teknik yang betul .

Apakah  perancangan Dr.  akan  datang?

Prof. Madya Dr. Juanita Saya ingin mempertingkatkan lagi penyelidikan penyu terutamanya informasi mengenai migrasi penyu. Kita masih belum ada data mengenai migrasi anak penyu. Kita tidak tahu, selepas anak penyu ini dilepaskan, ia akan ke mana? Kawasan pembesaran anak penyu ini perlu dijaga supaya kita dapat mempertingkatkan populasi penyu pada masa hadapan.

Biodata :

Nama :  Prof. Madya Dr. Juanita Joseph

Asal: : Penampang, Sabah

Pendidikan :

  • Diploma Perikanan Universiti Putra Malaysia (UPM) 1994
  • Bacelor Sains Perikanan (Marin), UPM 1997.
  • Sarjana (Perikanan dan Hidupan Liar) UPM, 2001 .
  • Doktor Falsafah: (Ekologi Molekular Penyu) University of London, United Kingdom (UK) 2006.

Bidang :  Biologi Penyu

Kerjaya : Pensyarah  Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) ,   Universiti Malaysia Sabah (UMS) , Kota Kinabalu, Sabah.

  • Penyelidikan yang sedang dijalankan:  Kajian genetik penyu di kawasan persarangan dan pemakanan penyu
  • Kajian penyakit penyu di kawasan pemakanan

Pengalaman kerjaya

  • Pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (2006-2017)
  • Pensyarah di UMS (2018-kini).
  • Menyelia pelajar sarjana dan kedoktoron (Ph.D) dalam bidang berkaitan dengan biologi dan pemuliharaan penyu.
  • Menerbitkan jurnal saintifik dan buku ilmiah berkaitan bidang kajian.
  • Merupakan penasihat teknikal kepada Malaysian Joint Committee for the Turtle Islands Heritage Protected Area (TIHPA).
  • Menganggotai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Indian Ocean Turtle Newsletter (IOTN), International Sea Turtle Society dan Society for Conservation Biology (SCB).

Aktiviti

  • Program Sukarelawan Penyu
  • Program Kem Si Penyu bagi kanak-kanak di Pulau Redang
  • Program Borneo Ocean Talk merupakan platform bagi saintis dan orang ramai menyampaikan usaha-usaha mereka dalam pemuliharaan ekosistem lautan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *