Intan, Baiduri di angkasa lepas

Planetarium Negara yang menyambut ulang tahun penubuhannya ke-25 pada tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengangkat nama INTAN sebagai Bintang dan BAIDURI sebagai Planet menerusi pertandingan peringkat antarabangsa di Perancis, pada 17 Disember lalu.

Kejayaan mengangkat kedua-dua nama tersebut diraih menerusi Pertandingan Nameexoworlds Malaysia yang julung kali diadakan bermula 1 Julai hingga 27 Oktober lalu.

Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari berkata, pertandingan tersebut dianjurkan dengan kerjasama ApaDiLangit sempena sambutan ulang tahun ke-100 Kesatuan Astronomi Antarabangsa ((IAU).

“Pelajar yang terpilih membawa nama negara ke name exoworld ialah Kong Yi Lerk, dari SJK (C) Mun Choong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ” ujarnya.

Anita Bahari

Kata beliau nama pemenang telah diumumkan melalui siaran langsung pada 17 Disember lalu pada sidang akhbar Reveal Nationally-selected Names of 100+ Exoplanet Systems oleh Jawatankuasa Pemandu IAU yang berpangkalan Paris, Perancis, ” ujarnya.

Menurut beliau lagi , pertandingan tersebut terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah bagi menamakan sebutir bintang dan sebuah planet yang akan mewakili negara di alam semesta. Malaysia merupakan salah sebuah daripada 112 buah negara yang telah tersenarai untuk menyertainya.

Pertandingan tersebut menyediakan peluang unik dan memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya generasi muda bagi menyumbang kepada penerokaan astronomi dan sains angkasa.

Sebanyak 1,435 penyertaan daripada seluruh negara telah diterima dan sebanyak 45 penyertaan telah disenarai pendek manakala lima penyertaan terbaik telah dipilih oleh ahli panel penilai peringkat kebangsaan bagi mewakili negara dalam pertandingan.

Planetarium Negara yang merupakan agensi Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC) mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya menempa nama ke peringkat antarabangsa dan membawa nama INTAN dan BAIDURI terpeta di angkasa seluas alam semesta.

“Seterusnya pertandingan ini juga diharapkan dapat memberi impak secara langsung kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada golongan generasi muda yang akan meneruskan legasi astronomi dan angkasa lepas Malaysia ke persada antarabangsa, ” ujar Anita.

Pertandingan berkenaan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri MESTECC, Yeo Bee Yin pada 13 Jun lalu sempena lawatan rasmi bekas Ketua Pengarah Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Amerika Syarikat, Charles Bolden ke Planetarium Negara. – Laupa Junus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *