Forensik kesan si peracun air

Kita telah meracuni sumber air dan lebih berbahaya, sungai yang menjadi nadi kehidupan selama ini juga diancam pencemaran yang berpunca daripada tangan manusia.

Malaysia mempunyai beratus-ratus batang sungai dan menurut laporan, kebanyakan sungai utama telah terancam. 

Isu pencemaran sungai memeranjatkan kerana berdasarkan rekod  Jabatan Alam Sekitar (JAS), terdapat 51 batang sungai tercemar dan ini memerlukan penyelesaian jangka panjang untuk  mengatasinya.

Usaha tersebut tentunya memerlukan kepakaran tertentu khususnya dalam bidang penganalisisan kualiti air, selain penguatkuasaan undang-undang.

Kerja kerja ini memerlukan kepakaran dan dan kerja di lapangan seperti tinjauan dan pengambilan sampel sebelum dibawa ke makmal untuk tujuan analisis bagi menentukan kualitinya.

Ini yang dilakukan oleh pakar forensik alam sekitar jika berdepan dengan masalah tersebut.

Forensik alam sekitar adalah bidang kepakaran khusus yang menggunakan kaedah dan teknik analisis yang bermatlamat untuk mengenal pasti komposisi dan identiti bahan cemar serta punca-puncanya.

Sungai yang tidak dijaga memberi kesan negatif jangka panjang kepada kehidupan manusia. Gambar hiasan

Kaedah ini juga mengggunakan peralatan khusus. Pendekatan forensik alam sekitar bermula daripada persampelan bahan cemar di lapangan, kaedah analisis di makmal dan seterusnya pengenalpastian bahan menggunakan kaedah yang diterima pakai pakar dan institusi di peringkat antarabangsa.

Menurut  Dekan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu  (UMT) Prof. Madya Dr. Marinah Mohd Ariffin  forensik alam sekitar ialah aplikasi kaedah-kaedah saintifik yang digunakan untuk merungkai persoalan berkaitan dengan sejarah pelepasan dan juga sumber pencemar alam sekitar.

” Dalam kata lain, forensik alam sekitar biasanya melibatkan pembinaan semula peristiwa alam sekitar yang lalu, seperti masa, jenis dan amaun, dan sumber pelepasan bahan kimia ke alam sekitar, ” ujarnya.

Prof. Madya Dr. Marinah Mohd Ariffin

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, secara prinsipnya, kaedah-kaedah penggunaan teknik forensik alam sekitar melibatkan beberapa disiplin ilmu sains seperti bidang kimia, fizikal dan biologi yang digabungkan untuk menyiasat sumber dan tahap pencemaran.

Hasil siasatan tersebut kata beliau,akan digunakan untuk menyokong sistem pengadilan di mahkamah untuk kes jenayah alam sekitar.

Selain digunakan bagi mengenal pasti sumber pencemaran, forensik alam sekitar juga boleh digunakan untuk mencari maklumat berkaitan sejarah proses alam sekitar dan juga rekod-rekod pencemaran terdahulu.

Kedua-dua maklumat ini adalah penting untuk menangani isu remediasi alam sekitar bagi kawasan-kawasan yang pernah mempunyai rekod pencemaran. 

Dalam pada itu  beliau menjelaskan, bidang forensik alam sekitar mula  diperkenalkan di Amerika Syarikat sekitar1980-an dan dikuti oleh negara-negara Eropah kemudiannya

Meskipun penggunaan disiplin ilmu ini masih tidak meluas di Malaysia, namun dengan meningkatnya kes-kes pencemaran alam sekitar, bidang ini semakin mendapat perhatian untuk diketengahkan sebagai salah satu kaedah untuk menyokong sistem pengadilan di mahkamah untuk mendakwa pesalah alam sekitar.

Walau bagaimanapun dalam konteks Malaysia, kepakaran dan kemudahan sedia ada dalam bidang ini belum mencukupi untuk membolehkan ia digunakan secara meluas dalam menangani isu-isu pencemaran alam sekitar.

Oleh kerana ia merupakan bidang pelbagai disiplin, kepakaran-kepakaran sedia ada perlu digemblengkan dan juga kemudahan-kemudahan seperti alatan-alatan saintifik yang canggih perlu disediakan untuk memgembangkan lagi bidang forensik alam sekitar  di negara ini.

Selain mendakwa pesalah, teknik forensik alam sekitar juga boleh digunakan untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk mengalami pencemaran.

Dengan data awal yang diperoleh, pencemaran yang serius dapat dielakkan jika langkah-langkah awal diambil terhadap kawasan yang berpotensi untuk berlaku pencemaran.

Forensik memang teknik alat yang digunakan dalam menyiasat mana-mana isu pencemaran, termasuklah isu baharu yang hangat di Pasir Gudang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, teknik forensik alam sekitar juga  sentiasa mengalami penambahbaikan dengan teknik terkini dari semasa ke semasa.

“Saya tidak merasakan ada kelemahan dalam teknik forensik, kerana ia sentiasa dibangunkan dengan teknik terkini dari masa ke semasa.

Walau bagaimanapun, diakui ada cabaran-cabran yang perlu dihadapi dalam menangani forensik alam sekitar. 

Pensampelan adalah antara yang paling mencabar apabila pencemaran berlaku di tempat yang berjauhan dari sumber pencemaran.

Pengambilan sampel dan analisis perlu mengambil masa yang lama kalau tidak dapat mengecam punca lokasi sumber pencemaran yang berkemungkinan.

Mengambil contoh pencemaran kimia, inventori industri adalah sangat penting untuk mengecilkan skop pemilihan bahan pencemar yang perlu dianalisis seterusnya menyingkatkan masa penyiasatan. 

Cabaran lain adalah pengkalan data mengenai industri, agrikultur atau aktiviti berkaitan yang boleh menyebabkan pencemaran perlulah diperkemaskan bagi memudahkan siasatan berkaitan dengan isu pencemaran alam sekitar.

Dunia kini berdepan dengan isu mencabar dalam isu alam sekitar, di air, darat dan udara. Teknik forensik akan semakin menjadi senjata dalam menangani isu alam sekitar

Bagi saya, inilah antara cara yang terbaik bagi menangani isu ini.  Teknik forensik alam sekitar perlu dibangunkan dan difahami bersama dengan penguatkuasa undang-undang.

Sekiranya bahan pencemar dan sumber pencemaran telah dapat dikesan, pihak berkuasa perlu bersedia dengan cadangan penalti bagi menggalakkan pengurangan dan pengawalan , seterusnya mampu mengelakkan daripada berlakunya pencemaran yang sama berulang kali.

“Tanggungjawab industri dan individu pun memainkan peranan yang penting, bak kata kalau bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

“Jenayah tidak akan berlaku sekiranya semua orang memperketatkan kawalan moral masing-masing.

Jejaki penjenayah alam sekitar

Selain pencemaran forensik alam sekitar juga digunakan dalam menangani isu lain berkaitan alam sekitar .

 Selain membantu mengenal pasti jenis bahan cemar dalam memperkuat proses pendakwaan kes pelanggaran undang-undang dan peraturan alam sekeliling, juga berfungsi mengemaskini senarai data bahan kimia yang dibawa masuk dari luar contohnya bagi tujuan rekod oleh agensi berkaitan khususnya.

Semakin banyak pihak swasta dan agensi kerajaan yang mengguna pakai pendekatan forensik alam sekitar sebagai sebahagian daripada strategi dalam pemantauan  alam sekeliling, pemantauan serta penilaian semula polisi masing-masing.

Forensik alam sekitar juga telah berjaya menarik perhatian para pembuat keputusan tentang kepentingan aspek kemampanan alam sekitar berteraskan tindakan penyelesaian terhadap mana-mana isu.

Prof. Madya Dr. Mohd. Tajudin Mohd. Ali

Pensyarah Fakulti Pengajian Alam Sekitar (FPAS) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusoff Ishak berkata, akibat kurang pendedahan menyebabkan bidang ini nampak seolah tidak pernah wujud.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS)  sebagai contoh menggunakan teknik ini bagi mengenal pasti kapal tangki minyak yang bertanggungjawab dalam insiden tumpahan minyak di laut seperti perairan Selat Melaka, ‘’ ujarnya.

Malaysia juga mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut termasukah antaranya yang terdapat di  agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi seperti FPAS, UPM yang membantu menangani isu pencemaran alam menggunakan kaedah forensik dengan kemudahan peralatan dan makmal yang bersesuaian.

FPAS juga telah mewujudkan pangkalan data  bahan kimia yang komprehensif untuk tujuan fingerprinting dan bakal menjadi hab kepada khidmat latihan dan pemindahan teknologi dalam bidang forensik alam sekitar.

Beliau berkata, forensik dapat membantu bagi membawa kes ke mahkamah kerana apabila sabitan bagi pesalah alam sekitar di mahkamah, ia  memerlukan sokongan bukti yang kukuh.

Pendakwaan hanya akan berhasil jika mahkamah yakin terhadap wujud elemen melampaui keraguan yang munasabah.

Sehubungan itu, forensik akan membantu tugas pendakwa dalam menentusahkan kewujudan bahan cemar di lokasi akibat tindakan sengaja oleh pihak pelaku terhadap bahan cemar tersebut.

Beliau memberi contoh, kes pencemaran tumpahan minyak di perairan Malaysia yang melibatkan analisis padanan bahan cemar yang sampai ke pantai-pantai berdekatan dibandingkan dengan identiti bahan yang berada di kapal-kapal sekitar lokasi kejadian semasa insiden berlaku dalam usaha mencari punca bahan tersebut.

Kaedah forensik juga berdepan dengan cabaran antaranya melibatkan logistik serta kekangan dalam menjalankan persampelan secepat mungkin jika berlaku sebarang insiden pencemaran .

Ini kerana jisim bahan cemar alam sekitar mudah berubah bentuk serta kepekatan akibat dedahan kepada pengaruh persekitaran yang mungkin menyukarkan pihak di lapangan untuk memperoleh  sampel yang terbaik bagi tujuan analisis di makmal.

Selain itu, kelemahan pihak penguatkuasa dalam memastikan wujud rekod bagi setiap jenis bahan yang dibawa masuk ke dalam negara juga sedikit sebanyak menyukarkan padanan menggunakan kaedah forensik alam sekitar.

Teknik forensik berupaya membantu mensabit pesalah dengan pertuduhan. Ini sedikit sebanyak berupaya menyelesaikan kes-kes pencemaran alam sekitar yang tertangguh akibat kekurangan bukti selain mendatangkan rasa gerun kepada sesiapa yang berniat jahat. Namun, dari segi jangka panjang, kaedah pencegahan masih merupakan langkah yang terbaik dalam menangani isu alam sekitar di mana-mana jua.

Agensi kerajaan banyak membantu

Jabatan Kimia Malayia juga antara agensi kerajaan yang membantu dalam menjalankan analisis terhadap sampel bagi mengenal pasti sama ada sungai tersebut tercemar atau sebaliknya.Forensik alam sekitar menggunakan pengetahuan sains dalam mengesan sesuatu yang berlaku sebelum ini dan  dikaitkan dengan keadaan asal.

Konsepnya adalah sama dengan forensik DNA iaitu mengesan sama ada sesuatu kejadian seperti tumpahan minyak oleh perbuatan pihak tertentu .

Profail sampel minyak tersebut dibandingkan dengan sumber dan adakah ia boleh dikaitkan untuk mensabitkan jenayah terhadap si pelaku.

Justeru bagi Jabatan Kimia, adalah penting untuk mengetahui komposisi satu bahan yang dianggap pencemar dan bertujuan untuk mencari punca bahan tersebut menerusi analisis kandugannya dan membandingkan dengan sumber lain.

Menurut jabatan tersebut teknologi forensik sebenarnya sudah digunakan sejak alam 2000

Analisis tersebut juga boleh digunakan untuk mengesan pembuangan sisa klinikal dengan menganalisis sama ada terdapat darah manusia dan kemudiannya mencari punca

Jabatan tersebut akan menjalankan ujian DNA darah ini adakah mengandungi darah manusia .

Hal yang sama juga digunakan dalam mengenal pasti pembuangan bahan buangan berjadual

Ini kerana ada pihak yang tidak mengikut peraturan dengan membuang bahan berjadual sewenang wenangnya tanpa mengikut peraturan yang antara lain disebabkan kos pelupusan yang mahal.

Bahan berjadual tersenarai dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling dan tidak boleh dibuang begitu sahaja  sebaliknya ada peraturan pelupusan yang perlu dipatuhi.

Justeru apa yang penting Malaysia perlu melatih lebih banyak  pakar bagi mengendalikan isu isu berkaitan pencemaran alam sekitar selain memperkemaskan hukuman yang ada supaya lebih berat.

Justeru, jabatan tersebut menjangka cabaran akan datang adalah berkaitan keupayaan menganalisis supaya dapat kenal pasti lebih baik.

Peningkatan kesedaran dalam kalangan orang ramai  yang semakin baik dalam penjagaan alam sekitar juga memberi petanda analisis dan penguatkuasaan akan semakin mencabar pada masa akan datang.

Bagi pensyarah Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam Prof. Madya Dr Mohd. Tajudin Mohd Ali, forensik alam sekitar secara asasnya adalah berkaitan dengan pengenal pastian susu galur atau sejarah tentang sumber berlakunya pencemaran Ia melibatkan penggabungan  aspek sains menerusi identifikasi, statitstik, terhadap pencemaran bahan kimia.

Dr. Yusoff Ishak

Aspek sains penilaian menerusi cap jari kimia variasi statistik analisis dan lain lain. Tujuan forensik alam sekitar adalah untuk penyiasatan tapak mengesan toksik

Beliau yang juga penyelidik dalam bidang Sintesis Kimia Organik berkata, tindakan undang-undang  pengenal pastian terhadap jenis jenis bahan kimia termasuk kepekatan daan piawaian prosedur pembersihan risiko pencemaran.

Justeru beliau mencadangkan supaya diwujudkan staf forensik di setiap zon industri di setiap negeri. Selain itu, bajet untuk tujuan analisis perlu ditambah di setiap  negeri dan menghantar petugas mereka untuk tujuan latihan di United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Menurut beliau, aliran bahan buangan  ke sungai melibatkan  banyak pihak seperti pihak berkuasa tempatan, industri, rumah kediaman sentiasa berubah pencemaran mengikut masa dan sebagainya.

“Kerajaan juga diharap menambah geran alam sekitar di universiti untuk membeli peralatan analisis, ” ujarnya.

Cadangan lain termasuklah  menganjurkan persidangan kebangsaan dan antarabangsa  berkaitan isu alam sekitar.

Apa pun, pendidikan sangat penting kepada pelajar tentang alam sekitar

Program kesedaran seperti penganjuran lawatan kesedaran ke tempat 3R (reduce, reuse, dan recycle) perlu kerap diadakan. – Laupa Junus

Info

  • Apakah forensik alam sekitar

Forensik alam sekitar adalah bidang kepakaran khusus yang menggunakan kaedah dan teknik analisis yang bermatlamat untuk mengenal pasti komposisi dan identiti bahan cemar serta punca-puncanya.

  • Bagaimana kaedah atau penggunaanya

Menggunakan peralatan khusus, pendekatan forensik alam sekitar bermula daripada persampelan bahan cemar di lapangan, kaedah analisis di makmal dan seterusnya pengenal pastian bahan menggunakan kaedah yang diterima pakai pakar dan institusi di peringkat antarabangsa.

Kualiti air sungai dikategorikan oleh JAS :

  • Kelas 1 (Dalam keadaan semulajadi),
  • Kelas 2A (Air memerlukan rawatan konvensional),
  • Kelas 2B (Air boleh digunakan untuk rekreasi),
  • Kelas 3 (Air memerlukan rawatan intensif),
  • Kelas 4 (Hanya untuk tujuan pengairan dan:
  • Kelas 5 (Air yang tercemar teruk).

— Pengkelasan tersebut berdasarkan kepada parameter seperti Permintaan Oksigen Biokomia (BOD), Permintaan Oksigen Kimia (COD), Oksigen terlarut (DO), kekonduksian, Amonia Nitrogen (NH3N), fosfat, minyak dan gris, suhu, tahap keasidan (pH), pepejal terampai (TSS), plumbum dan kadmium.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *