SERDANG : Perisai multilayer adalah sistem perlindungan peribadi yang cekap terhadap ancaman senjata kinetik bertenaga tinggi. Secara umumnya, perisai multilayer ini terdiri daripada seramik (SiC), komposit (kevlar/epoxy) dan logam (alumunium).
Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohammad Jawaid yang juga pakar hibrid bertetulang dan bahan pendahuluan dari Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan berkata, menggantikan kain aramid dengan bahan eko-semulajadi dan mudah tanpa menjejaskan prestasi balistik adalah sebagai pendekatan penyelidikan yang menarik pada perisai multilayer.
Berkenaan teknologi perisai multilayer yang diketuai sendiri oleh beliau, teknologi yang diberi nama Techno Economic Hard Body Armour (Perisai Badan Keras Tekno Ekonomi) ini berkonsep menggantikan fabrik kevlar dengan tekstil semula jadi yang dipanggil helaian sarung Cocos nucifera (CNS). Perisai multilayer dikaji dan dibangunkan dengan menggunakan CNS dan diuji mengikut piawaian tertentu serta mengikut spesifikasi NIJ.
‘’Inovasi dari penciptaan ini adalah dengan menggantikan kain Kevlar dalam perisai multilayer dengan sisa buangan agro. Helaian sarung semulajadi Cocos nucifera telah dipilih sebagai alternatif yang dilihat berpotensi bagi fabrik Kevlar dengan menggunakan proses hierarki analiitk (AHP)’’, kata beliau.
‘’ Daripada analisis yang dijalankan ini mendapati bahawa perisai badan tekno ekonomi dapat menjimatkan kos sehingga 44 peratus daripada jumlah kos fabrikasi berbanding dengan perisai multilayer berasaskan kevlar’’, ulas beliau lagi.
Tambahan lagi, perisai badan multilayer yang berasaskan helaian Cocos nucifera bermanfaat mengurangkan isu alam sekitar dan meningkatkan biodegradasi. Kos alat perisai yang kuat dan ekonomi ini lebih rendah berbanding dengan sistem perisai multilayer berasaskan serat sintetik.
Oleh itu, perisai badan tekno ekonomi dapat digunakan dengan cekap sebagai perisai alternatif kepada perisai badan kevlar dan ianya juga sedia untuk dikormesialkan kepada masyarakat sebagai salah satu langkah proaktif untuk membantu menggunakan inovasi daripada bahan hijau dan mesra alam.