MPOB bangunkan teknologi poliol mesra alam berasaskan sawit

BANGI : Selepas lebih dua dekad penyelidikan berdedikasi dalam pembangunan bio-poliol daripada sumber minyak sayuran dan oleokimia, para penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya membangunkan lebih 10 jenis poliol berasaskan sawit baharu untuk diaplikasikan dalam bahan polimer, khususnya poliuretana yang mesra alam.

         Poliol berasaskan sawit yang dibangunkan termasuk poliol bersiri Pioneer atau poliol berasaskan olein sawit, poliol berasaskan asid lemak, poliol berasaskan minyak masak terpakai, poliol bersiri PolyFAME atau poliol berasaskan metil ester asid lemak, poliol minyak sawit terepoksida berakrilat dan ko-polimer poliol.

         Bagi meningkatkan penyelidikan berkaitan poliol, MPOB telah membangunkan tiga buah loji rintis dengan kapasiti 150 liter, 500 liter dan 1000 liter untuk menghasilkan poliol berasaskan sawit.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB telah melabur kira-kira RM2 juta untuk tiga loji rintis tersebut.

Justeru, MPOB menjemput penggiat industri poliol dan poliuretana untuk menggunakan kemudahan loji rintis poliolnya yang terletak di Ibu pejabat MPOB untuk ujian pra-komersial dan tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Loji rintis tersebut telah menerima sambutan menggalakkan daripada penggiat industri. Antara yang telah menggunakan kemudahan tiga loji rintis itu termasuk Magnechem Sdn Bhd, Rovski Sdn. Bhd, Rokisar Sdn. Bhd., Techbond Greentech Sdn. Bhd. dan Institut Jerman-Malaysia (GMI),” katanya.

         Menurutnya, penggiat industri boleh meneroka loji rintis poliol tersebut yang serba lengkap dengan kemudahan untuk menghasilkan bukan sahaja poliol berasaskan sawit tetapi juga produk lain seperti minyak sawit tereksoksida dan asid stearik dihidroksi (DHSA).

Semua loji rintis itu menawarkan kemudahan termasuk tangki suapan bahan tindak balas, dua reaktor utama untuk tindak balas epoksidasi dan alkoholisis, tangki pengendapan dan bekas pengeringan.

Utiliti yang menyokong loji rintis itu ialah menara penyejuk, dandang air panas, sistem minyak pemanas dan pemampat udara. Setiap reaktor, tangki dan vesel dilengkapi dengan pengacau bermotor.

“Kemudahan loji rintis poliol di MPOB mampu menghasilkan maksimum 80 peratus daripada jumlah kapasiti penuh (1, 650 liter) untuk ketiga-tiga loji itu,” katanya.

       

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *