Penyakit onchocerciasis, atau turut dikenali sebagai river blindness, merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh cacing parasit Onchocerca volvulus yang disebarkan oleh lalat hitam.
Penyakit ini dikategorikan sebagai endemik di Afrika, dan beberapa wilayah khusus di Amerika Selatan dan Yemen. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di benua Afrika sahaja, lebih 20 juta individu direkodkan menghidapi penyakit ini, dengan anggaran 500,000 daripadanya telah disahkan buta.
“Lalat hitam betina dari genus Simulium yang bersaiz antara tiga hingga enam milimeter (mm) merupakan serangga penghisap darah, dan menjadi vektor kepada penularan cacing parasit Onchocerca volvulus yang menyebabkan penyakit onchocerciasis. Spesies lalat hitam ini membiak di kawasan air bersih yang sentiasa mengalir, seperti air sungai dan air terjun, menyebabkan komuniti di persekitaran sebeginilah yang selalunya banyak dijangkiti.
Pensyarah kanan di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, Dr. Zubaidah Ya’cob berkata, jika tidak dikesan dan diubati, penderita penyakit ini boleh menjadi buta secara kekal.
“Kerana itulah nama penyakit ini turut dikenali sebagai ‘river blindness’,” katanya.
Menurut Dr. Zubaidah, disebabkan ancaman penyakit berjangkit ini yang sudah pun menjangkiti lebih 20 juta mangsa, ramai penduduk di benua Afrika yang terjejas telah berpindah jauh dari kawasan yang mempunyai sungai serta kawasan tanah yang subur.
“Penghijrahan mereka ke kawasan yang tandus merumitkan lagi keadaan. Secara langsung, keadaan ini telah mengakibatkan kekurangan makanan dan ancaman kebuluran kepada komuniti mereka,” katanya lagi.
Pada tahun lalu Dr. Zubaidah telah diberikan tanggungjawab sebagai ketua penyelidik bagi melihat keberkesanan teknik pengesanan cacing parasit Onchocerca volvulus yang terkini melalui geran penyelidikan Global Challenge Research Fund (GCRF), kelolaan Biotechnology and Biological Sciences Research Council (BBSRC), United Kingdom.
Penyelidikan ini merupakan kerjasama strategik di antara makmal-makmal penyelidikan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Cameroon, dan TICREC. Teknik pengesanan tersebut menggunakan teknik molekul terkini yang dibangunkan oleh New England Biolabs dari Amerika Syarikat.
“Tujuan utama penyelidikan ini dijalankan adalah bagi melaksanakan ujian lapangan untuk teknik pengesanan ini yang diharapkan mampu mengurangkan kos pengurusan penyakit onchocerciasis di negara-negara yang terlibat. Buat masa ini kos yang tinggi diperlukan bagi mendapatkan bekalan antibiotik khusus yang mampu mengekang penularan sekitar dua tahun sahaja.
“Buat masa ini, kaedah yang digunakan adalah dengan memberikan antibiotik ini kepada setiap penduduk. Oleh kerana cacing parasit ini mampu hidup di dalam tubuh manusia sehingga 10 tahun, dengan adanya teknik pengesanan yang tepat dengan kos yang rendah akan membantu pihak pemerintah mengurus penyakit ini dengan lebih baik,” kata Dr. Zubaidah.
Lokasi penyelidikan adalah di Institut Recherche Agricultur for Development (IRAD), yang terletak di Ngaoundéré, sebuah kawasan pedalaman hampir 1,500 kilometer ke utara dari Youndae, ibu negara Cameroon. Ngaoundéré adalah bandar utama daerah Adamawa yang merupakan kawasan penternakan utama lembu di Cameroon. Majoriti penduduknya yang berjumlah hampir mencecah sejuta orang adalah beragama Islam.
Dr. Zubaidah telah menghabiskan masanya bersama penyelidik tempatan dan antarabangsa di IRAD, melakukan ujian pengesanan dengan mendapatkan sampel lalat hitam dari ladang penternakan lembu yang berhampiran.
“Kami terpaksa menggunakan khidmat petani tempatan yang mahir mendapatkan lalat hitam yang hinggap di permukaan kulit lembu untuk menghisap darah,” katanya ketika menerangkan kaedah pelaksanaan penyelidikannya di Cameroon.
Menurut Dr. Zubaidah, kaedah sedia ada memerlukan seseorang yang mempunyai kemahiran khusus untuk mendapatkan sampel cacing parasit dari tubuh manusia, dengan melakukan torehan kecil.
“Sampel ini kemudiannya perlu menjalani proses pengesanan menggunakan teknik molekul yang rumit yang hanya boleh dilakukan oleh makmal termaju dan memakan kos yang tinggi. Dengan adanya teknik terkini ini, pihak berwajib hanya perlu mendapatkan sampel cacing parasit dari lalat hitam, dan melakukan ujian yang ringkas, murah, dan tetap jitu,” katanya.
Menariknya, tempoh penyelidikan di Cameroon ini bertembung dengan fasa penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia sekitar suku pertama dan kedua tahun 2020.
Walaupun diduga dengan cabaran tambahan untuk memutuskan rantaian jangkitan pandemik, di samping cabaran sedia ada melaksanakan penyelidikan di negara asing, Dr. Zubaidah dan pasukannya tetap berjaya melaksanakan apa yang dirancang di IRAD.
“Selain masalah untuk mendapatkan tiket penerbangan pulang setelah menamatkan penyelidikan, kami juga berdepan dengan cabaran melakukan pengumpulan sampel lalat hitam dari ladang-ladang penternakan lembu disebabkan kawalan pergerakan yang dikenakan pihak berwajib Cameroon,” tambahnya lagi.
Kerjasama penyelidikan sebegini secara tidak langsung telah membuktikan penyelidik dan saintis Malaysia mampu menyumbang secara signifikan, terutamanya dalam bidang penyakit berjangkit tropika.
“Benua Afrika boleh diibarat sebagai ‘syurga’ bagi penyelidik berkaitan penyakit berjangkit yang ingin mendapatkan sampel sebagai bahan kajian. Dengan adanya sumber sampel yang banyak, di samping kepelbagaian jenis penyakit tropika berjangkit, seseorang penyelidik mampu melakukan apa jua jenis penyelidikan yang dimahukan, dari semudah-mudah pemantauan sehinggalah serumit-rumit pembikinan vaksin.
“Lebih menarik, banyak agensi dan institusi yang juga menyediakan dana yang besar untuk melakukan penyelidikan di benua Afrika, seperti Bill and Melinda Gates Foundation, National Institute of Health, dan BBSRC.”
“Kejayaan paling manis dari penyelidikan ini adalah apabila lebih ramai pelajar sekolah akan teruja untuk mengambil jurusan sains, dan seterusnya memasang cita-cita untuk menjadi saintis dan penyelidik yang mampu menyumbang kepada dunia secara signifikan tanpa menghiraukan cabaran yang bakal mendatang,” kata Dr. Zubaidah
Maklumat lanjut mengenai penyelidikan ini boleh didapati melalui Dr. Zubaidah Ya’cob di [email protected]