Di Malaysia, sayuran merupakan komoditi utama selepas buah-buahan dengan keluasan bertanam hampir 67,000 hektar (ha) yang menyumbang kepada hampir 1.1 juta tan metrik kepada pengeluaran sektor pertanian negara pada tahun 2018.
Terdapat lebih daripada 50 jenis sayuran ditanam termasuk tanaman semi temperate seperti kubis, brokoli, asparagus, tomato dan sebagainya.
Pahang merupakan negeri terbesar pengeluaran hasil sayuran negara terutamanya kubis bulat iaitu menyumbang lebih 68,000 tan metrik iaitu hampir 100 peratus disumbangkan daripada Cameron Highlands. Hasilan ini juga menyumbang kepada nilai eksport negara sebanyak lebih RM500,000 ke negara-negara Asia terutamanya ke Singapura.
Aktiviti pertanian secara intensif (berterusan) di tanah tinggi dengan keluasan kawasan bertanam yang terhad akan mudah terdedah kepada isu atau masalah hakisan tanah serta penggunaan racun makhluk perosak yang meluas.
Tragedi tanah runtuh dan banjir besar pada Oktober 2013 merupakan kesan daripada salah satu daripada aktiviti penerokaan tanah untuk pembangunan dan pertanian yang tidak seimbang dan berterusan terutamanya di lereng-lereng bukit.
Selain itu, penolakan sayuran Malaysia seperti tanaman krusifer terutamanya kubis oleh negara pengimport akibat pengesanan sisa racun yang berlebihan adalah kesan daripada penggunaan racun makhluk perosak yang tidak mematuhi pengesyoran yang sepatutnya. Dalam kes ini, pengusaha dan seterusnya negara akan mengalami kerugian yang besar.
Timbalan Pengarah Program Kawalan Biologi , Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Rozietah Laboh berkata, kubis adalah tanaman krusifer yang utama ditanam di Pahang berkeluasan melebihi 2,700 ha terutamanya di tanah tinggi Cameron Highlands diikuti oleh Sabah dan Kelantan.
“Antara isu dan cabaran utama yang dihadapi adalah masalah serangga perosak utama tanaman krusifer terutamanya kobis yang dikenali sebagai Rama-Rama Intan ataupun Diamondback Moth (DBM) atau nama saintifiknya Plutella xylostella.
“Perosak ini amatlah sukar dikawal kerana mudah rintang atau kebal terhadap racun perosak dan mampu membiak dengan cepat.
“Kerugian akibat daripada serangan perosak DBM ini boleh mencecah 100 peratus dan pasti merugikan petani dan negara.
“Kebiasaannya apabila petani mendapati semburan racun makhluk perosak yang digunakan tidak berkesan mengawal serangan perosak tersebut, maka petani akan membuat semburan racun yang berlebihan.
“Situasi ini mengakibatkan terjadinya kerintangan/kekebalan perosak terhadap hampir setiap jenis racun, ‘’ ujar beliau.
Akibat kerintangan yang tinggi perosak DBM terhadap racun-racun makhluk perosak yang berada di pasaran maka sekitar tahun 1970-an beberapa spesies agen kawalan biologi termasuklah Diadegma semicalusum dan Cotesia vestalis daripada jenis parasitoid telah dibawa masuk ke Malaysia dari luar negara.
Namun katanya, akibat penggunaan racun makhluk perosak masih diamalkan secara berleluasa kerana lebih mudah dan murah, maka hanya tinggal beberapa spesies utama yang ditemukan masih kekal hidup dan menjalankan peranan dan fungsinya sebagai agen kawalan biologi di ladang bertaraf organik Cameron Highlands.
Ini berlaku terutama penanam sayur yang mengamalkan pengawalan perosak secara bersepadu (Integarated pest management) yang telah berjaya mengurangkan penggunaan racun perosak dan hasil tanaman yang berkualiti dan selamat dimakan.
Justeru, MARDI dengan kerjasama Jabatan Pertanian menemukan satu lagi agen kawalan biologi iaitu sejenis lalat yang dikenali sebagai Tiger Fly atau nama saintifiknya Coenosia exigua.
Agen biologi ini agak berbeza dengan dua parasitiod iaitu Diadegma semicalusum dan Cotesia Vestalis yang menyerang perosak di peringkat larva.
Tiger fly menyerang hendap perosak di peringkat dewasa iaitu pelombong daun ataupun leafminer ataupun nama saintiknya Liriomyza spp. pada tanaman krusifer berdaun termasuklah kubis dengan mencucuk dan menggigit mangsa menggunakan sistem proboscis yang mempunyai prestomal seumpama gigi.
Akibat daripada pelombong daun ini mula menjadi resistan atau tahan terhadap racun makhluk perosak maka Tiger fly mula diperkenalkan pada tahun 2010 di Cameron Highlands bagi mengawal populasi pelombong daun yang boleh mengakibatkan kehilangan hasil sayuran sehingga 100 peratus.
Perbandingan dengan dua parasitiod tadi, Tiger fly perlu disediakan tempat pembiakannya bagi meningkatkan populasinya di ladang. Tempat pembiakan terdiri daripada bekas yang mengandungi pulut atau nasi yang diletakkan ke dalam campuran substrat iaitu kompos, tanah halus, tempurung kelapa, kulit kacang dengan nisbah 1:1:2:2 yang akan menghasilkan miselium kulat.
Miselium kulat akan menarik sejenis lalat kecil yang sering dijumpai sebagai pengurai organik dikenali sebagai fungus gnat. Fungus gnat ini akan memakan miselium kulat dan akan bertelur dan mengeluarkan larva. Larva fungus gnat ini adalah merupakan sumber makanan kepada Tiger fly, secara tidak langsung menarik Tiger fly untuk hadir di ladang dan memakan larva fungus gnat tersebut.
Tiger Fly akan bertelur dan membiak ke dalam campuran substart tadi dan dapat meningkatkan populasinya .
Selain itu,Tiger fly juga akan memakan pelombong daun. Begitulah kitaran hidupnya bagi mengawal serangan pelombong daun secara berkesan. Kebanyakan ladang organik yang mengamalkan Tiger fly sebagai kawalan biologi berjaya mengawal serangan pelombong daun.
Justeru beliau berharap supaya pengusaha tanaman sayuran krusifer terutamanya kubis untuk membuka mata dan minda terhadap perubahan yang berlaku di negara-negara pertanian yang maju seperti di Sepanyol yang dapat mengurangkan 100 peratus penggunaan racun perosak bagi pengeluaran sayuran di bawah struktur pelindung hujan dengan mengamalkan penggunaan agen kawalan biologi.
Katanya, pertanian di negara kita perlu mengambil contoh kejayaan negara tersebut iaitu mengeluarkan sayuran yang berkualiti, selamat dimakan dan sudah tentu kualiti alam sekitar yang lebih terjamin untuk generasi kini dan akan datang.
MARDI kata Dr. Rozietah, bersama-sama dengan Jabatan Pertanian dan petani akan terus bekerjasama sama bagi mencapai hasrat kerajaan untuk jaminan keselamatan makanan dan alam sekitar yang bersih serta terpelihara bukan untuk kita sahaja malah untuk generasi akan datang.
“Kalau bukan sekarang bila lagi? Kalau bukan kita siapa lagi? Marilah sahut cabaran ini demi negara kita Malaysia yang tercinta, ‘’ ujarnya.
Pelancaran penggunaan agen kawalan tersebut dilancarkan di Cameron Highlands pada Jun 2019 lalu.
Terdapat acara pengagihan agen kawalan biologi kepada wakil petani serta pelancaran buku ‘Teknologi Pembiakan dan Pemuliharaan Agen Kawalan Biologi (Diadegma semiclausum dan Cotesia vestalis) bagi mengawal Plutella xylostella.
Kelebihan teknologi
Kelebihan yang pertama: Parasitoid bertindak sebagai agen kawalan biologi dengan melengkapkan kitaran hidupnya (life cycle) di dalam hos/perumahnya (iaitu DBM) dengan menyuntik telur ke dalam larva DBM dan secara tidak langsung membunuh secara semula jadi DBM tersebut.
Hasil kajian mendapati Diadegma semiclausum dan Cotesia vestalis menyuntik telur ke larva DBM lebih daripada 100 kali sepanjang kitaran hidupnya. Kebiasaannya semua telur akan menetas daripada larva DBM yang dicucuk oleh parasitoid betina, dan apabila telah menetas parasitoid-parasitiod tersebut akan memakan larva DBM sebagai sumber nutrisi untuk perkembangan hidupnya. Perkembangan kitaran hidup parasitoid daripada telur hingga
ke pupa) dipengaruhi oleh perubahan suhu namun secara puratanya adalah antara 14 hingga 25 hari pada suhu antara 20 hingga 25°C.
Kelebihan kedua: Parasitiod ini kebiasaannya lebih tahan terhadap semburan racun makhluk perosak dan dalam keadaan yang ideal (cukup makanan, ruang dan air) kesemua telur yang disuntik ke dalam larva DBM akan menetas.
Daripada rekod, sebanyak 10,000 ekor parasitoid mampu dihasilkan dalam tempoh 6 bulan di dalam sangkar membela dan dalam sebulan anggaran antara 1000 hingga 1500 ekor dihasilkan.
Dengan kemampuan agen kawalan biologi iaitu parasitoid tersebut membiak secara melengkapkan kitaran hidupnya dengan memparasit DBM maka adalah amat sesuai kedua-dua agen biologi ini digunakan sebagai agen kawalan biologi bagi mengawal DBM yang lebih mesra alam. Daripada rekod kajian terdahulu, penggunaan racun mahkluk perosak dapat dikurangkan sehingga melebihi 50 peratus sekiranya mengikut amalan yang betul.
Kelebihan ketiga: Parasitiod Diadegma semiclausum adalah bersifat spesifik iaitu menyerang DBM sahaja berbanding Cotesia vestalis yang lebih bersifat umum (generalist). Kedua-dua parasitoid ini juga adalah dominan di tanah tinggi Cameron Highlands dan masih wujud sehingga kini walaupun telah 4 dekad diperkenalkan di Malaysia.