Teknologi satelit bantu urus bencana

Bencana alam merupakan salah satu fenomena yang sering menjadi  perdebatan di arena antarabangsa. Setiap pihak menuding jari  ke arah pihak lain tentang punca-punca bencana tetapi tak ada siapa yang berani menyahut kritikan tersebut. Ironinya, isu kekal isu dan debat semakin hangat di merata tempat. Apakah kesudahannya? Adakah wajar semua pihak mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat? Jika ia, maka kita sedang melakukan suatu kesilapan besar dan bakal mengundang bahaya kepada seluruh manusia di muka bumi. Bagaimana mengatasinya?  Natijah, rakyat perlu sedar tentang apa dia bencana, apa puncanya, siapa yang bertanggung jawab serta bagaimana mengatasinya?

Isu pemanasan global yang sering diperkatakan pada masa kini adalah berpunca daripada sikap acuh tak acuh orang ramai terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar. Malahan, keadaan semakin meruncing apabila isu ini telah menyumbang kepada perubahan suhu yang tidak stabil, dan sekaligus menyebabkan berlakunya fenomena alam, iaitu bencana alam. Fenomena alam ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir kilat, kebakaran hutan, tsunami, kemarau serta lain-lain lagi adalah sebahagian daripada contoh bencana alam. Malaysia juga tidak ketinggalan dilanda bencana. Namun begitu, sejak dua puluh tahun kebelakangan ini  bencana yang paling kerap direkodkan dinegara adalah tragedi banjir besar serta kejadian tanah runtuh. Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004) diantara bencana alam yang berlaku serta mendapat liputan meluas media dalaman serta luar negara.Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya keadaan ini. Namun, aktiviti seharian penduduk di muka bumi inilah diantara pendorong utama kepada kemusnahan alam. Kesan daripada bencana alam ini bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa malah, ia juga menyumbang kapada kemusnahan harta benda, perpindahan penduduk, penyebaran penyakit dan paling penting mendorong kepada kemerosotan ekonomi sesebuah negara. Sebagai contoh, kejadian tsunami yang melanda di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2004 telah mengejutkan Malaysia dan juga seluruh dunia di mana ia dilaporkan lebih daripada 300,000 orang terkorban, ribuan lagi masih hilang dan cedera dalam tragedi ini. Negara pesisir yang mengalaminya juga seperti Banda Achech musnah sama sekali akibat daripada peristiwa ini.

                Peristiwa yang berlaku, telah memberikan iktibar serta pengajaran tentang bahaya yang terjadi tanpa mengira waktu. Tidak perlu menunding jari untuk mempersalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya, satu cabaran besar perlu dihadapi iaitu perancangan yang rapi perlu dibuat bagi aspek seperti pengurusan amaran awal, persediaan, usaha menyelamat, pemulihan dan pembinaan semula. Secara asasnya, pihak kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan telah mengambil pelbagai inisiatif  dengan menyediakan infrastruktur-infrastruktur amaran awal sebagai persediaan menghadapi bencana. Sebagai contoh, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membangunkan sistem ramalan dan amaran awal banjir di mana maklumat-maklumat ini disalurkan kepada agensi tindak balas dan juga kepada orang awam. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula bertindak sebagai pemantau, pengkaji dan peramal cuaca sekaligus bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat berkaitan cuaca atau kejadian tsunami kepada orang ramai. Jabatan Kerja Raya pula berperanan dalam melaksanakan penyelenggaraan serta pemantauan sebelum dan selepas bencana.

Di zaman serba maju dan moden ini, penggunaan serta adaptasi teknologi dilihat banyak membantu serta memudahcara bagi sesuatu aplikasi. Ini terbukti serta telah di implimentasi  di kebanyakkan negara maju, dimana “teknologi satelit” begitu berperanan serta memberikan impak dalam menangani serta menghadapi isu bencana. Dalam satu resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang diadakan pada 2006, menyatakan bahawa penggunaan teknologi satelit adalah amat perlu dalam menyokong pengurusan bencana bagi membantu mengurangkan masa reaksi dan membekalkan maklumat yang tepat terutama semasa menjalankan operasi menyelamat.

Beberapa jenis teknologi satelit yang boleh digunapakai dalam aspek pengurusan bencana; seperti satelit komunikasi, satelit pencerapan bumi, satelit cuaca, satelit navigasi serta satelit mencari dan menyelamat (search and rescue). Keperluan satelit terhadap analisis bencana, adalah bergantung kepada potensi satelit tersebut serta kepenggunaannya dalam membekalkan maklumat. Ini kerana, pembangunan satelit pada masa kini semakin berkembang maju sehingga berjaya menghasilkan satelit yang lebih bersaiz kecil, seperti satelit mini yang beratnya dalam lingkungan antara 200 hingga 500 kg, satelit mikro 10 – 200 kg dan yang terkini, satelit nano dengan seberat tidak lebih 10 kg.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa satelit komunikasi dibangunkan khas untuk tujuan telekomunikasi dan banyak lagi aplikasi di sebabkan kedudukannya terletak di orbit geo-pegun. Selain gelombang audio dan video, satelit jenis sedemikian berkemampuan memproses dan memancarkan data-data berguna ke pusat kawalan darat melalui gelombang mikro yang tidak mudah diganggu sewaktu bencana. Satelit cuaca atau meteorologikal pula mampu menjalankan pencerapan dan analisis sinoptik ke atas pengedaran awam hampir setiap masa dan data-data yang diperolehi ini merupakan elemen penting dalam proses peramalan cuaca dan iklim atas bumi. Ini secara tidak langsung membantu dalam menentukan ramalan awal bencana kepada masyarakat awam seperti kejadian ribut. Maklumat seperti ini amat berguna sekali kepada mereka-mereka penduduk dipesisir pantai, khususnya para nelayan bagi menjamin keselamatan mereka semasa mencari rezeki dilautan. Namun begitu, terdapat juga satelit yang dibangunkan khas untuk tujuan mencari dan menyelamat. Satelit Cospas-Sarsat membawakan satu sistem bantuan mencari dan menyelamat yang dibangunkan oleh empat buah negara, iaitu Perancis, Kanada, Amerika Syarikat dan Russia. Sistem yang beroperasi 24/7 ini mampu mengesan isyarat kecemasan (distress alert) daripada alat beacon yang tercetus dari mana-mana alat pengangkutan darat, laut ataupun udara. Isyarat yang dikesan ini kemudiannya akan dipancarkan ke terminal dan pusat kawalan berdekatan untuk diproses bagi mendapatkan lokasi tempat kejadian bagi tujuan penghantaran pasukan bantuan penyelamat. Teknologi satelit ini mampu mengurangkan masa serta waktu dalam melaksanakan operasi menyelamat. Berdasarkan kepada rekod pencapaian pada sepanjang tahun 2009, teknologi satelit berbentuk ini telah berjaya menyelamatkan lebih daripada 1500 orang awam daripada 478 kes kecemasan yang berlaku di seluruh dunia.

                Selain satelit Cospas-Sarsat, Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) berkebolehan serta membantu dalam misi pengurusan bencana. Fungsi utama GNSS adalah untuk memberikan maklumat kedudukan tepat sesuatu lokasi tempat kepada pengguna dalam apa juga keadaan cuaca, dan ini amat berguna kepada kumpulan operasi mencari dan menyelamat. Sehingga kini, terdapat lebih 50 buah satelit yang telah dilancarkan ke orbit serta berkemampuan dalam memberikan maklumat ketepatan lokasi kedudukan di atas permukaan bumi sehingga ke tahap milimeter. Perkhidmatan rangkaian GNSS ini didapati lebih praktikal dan ianya terbuka kepada semua pengguna di seluruh negara tanpa mengenakan apa-apa cas bayaran. Buat masa kini, GPS (keluaran Amerika Syarikat) merupakan satelit yang paling stabil serta beroperasi penuh. Glonass (Rusia) dan GALILEO (EU) kini dalam proses untuk melengkapkan sistem mereka.

                Adaptasi aplikasi GNSS dalam menghadapi dan menangani bencana tidak terhad kepada sesuatu bencana sahaja. Misalnya seperti di Malaysia, satu alat keselamatan iaitu “buoys with GPS system” telah dipasang di sekitar perairan negara bagi mengesan perubahan fizikal laut dan pertambahan ketinggian ombak yang menyumbang kepada berlakunya tsunami. Alat yang dilengkapi dengan alat penerima GPS ini berfungsi dengan mengeluarkan siren amaran sejurus apabila perubahan dapat dikesan pada data-data yang diterima melalui alat penerimanya. Begitu juga seperti di Jerman, satu alat pengesan banjir kilat Etamax dan G-Wale floater yang berteknologi GNSS telah dihasilkan dan berupaya memantau banjir secara bergerak dengan berbantukan GNSS. Alat ini digunakan untuk membantu pihak berkuasa dalam membuat persediaan bagi menghadapi bencana.


Alat Etamax floater yang digunapakai bersama GNSS untuk memantau banjir kilat                

G-WaLe floater berfungsi menyediakan kedudukan near-real time.
                                    
Cara sistem “mobile flood prediction” beroperasi

Sumber: http://www.esa.int/SPECIALS/TTP2/SEMQ170YUFF_0.html

Satelit berkedudukan orbit rendah iaitu satelit pencerapan bumi atau remote sensing (RS) pula digunakan untuk mencerap, pemetaan serta memantau fenomena alam sekitar di permukaan bumi. Satelit jenis ini berbeza dengan satelit cuaca kerana ia dilengkapi dengan teknologi optik yang canggih sehingga dapat menghasilkan imej-imej yang beresolusi tinggi sehingga ke tahap meter.Imej-imej RS amat berguna dalam kerja-kerja pengurusan bencana terutamanya kejadian banjir yang dikatakan kerap berlaku di Malaysia. Imej satelit yang diperolehi sewaktu pra-banjir, banjir dan pasca banjir boleh diintegrasikan bersama dengan maklumat topografi seperti hidrologi dan maklumat gunatanah untuk melihat kawasan yang cenderung banjir. Menerusi data visual ini juga, maklumat seperti saliran air sungai bagi pengaliran air semasa banjir dapat dikenalpasti. Di samping itu, Imej RS boleh digunakan pada masa akan datang bagi menghasilkan peta risiko banjir dan membolehkan langkah-langkah persediaan diambil dengan segera.

Penggunaan imej RS dari satelit berbentuk sensor optikal dan microwave seperti IRS, Landsat ERS dan Radarsat boleh digunakan untuk memetakan dan memantau kejadian banjir pada mod operasi dan hampir waktu sebenar. Walau bagaimanapun, memandangkan kejadian banjir sering kali dikaitkan dengan keadaan yang liputan awan yang tebal di mana penggunaan imej satelit berbentuk sensor optikal secara bersendirian adalah yang tidak praktikal. Untuk menangani situasi ini, imej yang didapati dari satelit radar adalah lebih membantu kerana kebolehannya untuk menembusi awan dalam membuat pemantauan banjir, dan imej-imej sebelum, semasa dan selepas banjir bolehlah digabungkan bagi melihat perubahan yang dialami serta membuat anggaran kemusnahan harta benda.Penggunaan imej RS dilihat sebagai salah satu kaedah yang ekonomik serta optimum bagi suatu jangka masa panjang bagi sesebuah kawasan yang luas. Kesemua maklumat ini berguna untuk membantu pihak berkuasa meramal, mengatur serta menyusun strategi dalam menghasilkan sistem kawalan bencana yang berkesan.

Secara kesimpulannya,  isu bencana ini perlu dipandang serius oleh semua pihak. Dari masyarakat bawahan sehinggalah kepada pihak pengurusan tertinggi. Satu pengurusan yang lebih cekap serta berinfomatif perlu diwujudkan supaya semua pihak mengambil bahagian dalam menangani isu ini. Penggunaan serta adaptasi teknologi satelit yang sedia ada dalam membantu pengurusan bencana pada sebelum,semasa dan selepas tragedi merupakan satu usaha yang efektif. Di Malaysia, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi agensi penggerak utama di dalam pembangunan teknologi satelit serta menggalakkan penggunaan aplikasinya di semua sektor. Adalah diharapkan dengan inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu dalam aspek pengurusan bencana sekali gus dapat mengurangkan kematian dan kerosakan harta benda sewaktu bencana.

Disediakan oleh:

Pegawai Penyelidik

Nurfarhana Mohd Nor , Noor Azawani Abd Wahap, Ooi Wei Han

Unit Pembangunan Teknologi dan Aplikasi Angkasa (SATD)

Agensi Angkasa Negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *