Teknologi pertanian Green kit kurangkan kos belanja dapur

Kebelakangan ini, isu utama yang sering menjadi perhatian rakyat di media cetak terutama di dada- dada akhbar serta menjadi tular di media sosial adalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kenaikan harga keperluan asas memberi kesan besar terutama kepada golongan berpendapatan rendah di bandar mahupun di luar bandar. Sebahagian besar perbelanjaan isi rumah adalah untuk memenuhi keperluan asas terutamanya makanan.

Dalam usaha kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup yang kini menjadi isu nasional, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengambil tanggungjawab dan inisiatif bagi memperkenalkan sistem penanaman dalam takungan yang boleh membekal air secara sendiri tanpa perlu penyiraman yang kerap serta medium tanah dipanggil Green Kit.

Sistem ini dianggap satu alternatif menggalakkan masyarakat bercucuk tanam di rumah selain hasil tanaman yang yang dijamin kualiti dari segi kesegaran dan kebersihannya tanpa perlu mengeluarkan kos untuk membelinya.

Hasil ciptaan ini sebenarnya telah dicetuskan oleh sekumpulan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Hortikultur, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Serdang.

Penyelidiknya,  Ab Kahar Sandrang yang juga Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata,  Green Kit direka khas  untuk mengatasi masalah pemberian air (penyiraman) bagi penanaman menggunakan bekas (container).

Katanya, pasu yang biasa digunakan hanya dapat menampung air yang amat sedikit, cukup untuk satu hari atau kurang sehari.

“Ini menimbulkan masalah kepada individu yang suka bercucuk tanam menggunakan bekas dan menghadapi masalah sekiranya mereka tiada di rumah untuk berberapa hari selain berdepan dengan keluasan tempat tinggal yang terhad, ‘’ ujarnya.

Green Kit merupakan sistem atau bekas penanaman yang direka bentuk khas dengan tiga  bahagian utama terdiri daripada takungan air (reservoir), ruang kapilari (capillary chamber) dan ruang media. Ia tidak mempunyai lubang pada bahagian bawah tetapi mempunyai lubang saliran di bahagian tepi.

Air dari takungan naik ke bahagian media terdapat akar tanaman dan melalui ruang kapilari yang dipenuhi dengan partikel kapilari melalui aksi kapilari.

Tanaman akan mendapat bekalan air air yang berterusan selagi takung mempunyai air. Jumlah air yang terdapat dalam takungan selalunya cukup untuk empat hingga tujuh hari.

Sekiranya Green Kit ini diletakkan di luar, air hujan dapat dikumpul dan digunakan semasa ketiadaan hujan.

Menurut Ab Kahar lagi, konsep penanaman dengan Green Kit  adalah seperti pada penamanam di permukaan bumi.

Air di bumi (water table) naik ke permukaan dan dapat diguna oleh tanaman dengan aksi kapilari. Setiap Green Kit boleh menampung antara 10 hingga 12 liter (L) media dan 6 L air. Ia sesuai untuk kebanyakan tanaman jenis kecil seperti sayur, herba, ulam dan tanaman hiasan.

Menurut Ab Kahar lagi, kualiti sayuran atau tanaman yang terhasil daripada penggunaan sistem Green Kit lebih segar,subur dan berkualiti.

Ini kerana sistem ini boleh membekalkan air dan baja secara sendiri. Sistem ini berbeza dengan pasu biasa yang berada di pasaran kerana pasu biasa tidak membekalkan air secara berterusan dan perlu disiram setiap hari manakala sistem Green Kit boleh membekalkan air secara berterusan dan tidak perlu disiram setiap hari serta kesuburan tanaman lebih terjamin.

Apa yang membanggakan teknologi ini telah pun mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara sejak mula diperkenalkan pada awal tahun 2012 dan telah di rasmikan semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2012 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Tan Sri Noh Omar.

Teknologi Green Kit ini telah memenangi Hadiah Emas pada Pameran Teknologi Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa (ITEX) 2010 di Kuala Lumpur selain melonjakkan nama Malaysia apabila memenangi hadiah emas pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF)  2010 di Korea.

Beliau berharap setiap rumah perlu mempunyai sekurang-kurangnya seunit set Green Kit ini.

Setiap pengguna dapat menggunakan sistem Green Kit ini bagi menanam sayuran bagi kegunaan sendiri di rumah.

Ini bagi memastikan sayuran yang ditanam dalam keadaan selamat daripada racun yang berlebihan, bersih dan yang paling penting halal.

Antara kelebihan-kelebihan Sistem Green Kit ialah:

  • Tidak memerlukan penyiraman setiap hari.
    • Membolehkan aktiviti perkebunan dijalankan walaupun kawasan amat terhad seperti di balkoni apartmen.
    • Murah, mudah diguna dan dijaga.
    • Boleh digunkan dalam dan luar rumah. Dalam rumah tidak mendatangkan masalah air melimpah
    • Sesuai untuk berkebun di rumah (home gardening) dan perkebunan komuniti.
    • Sesuai sebagai alat pembelajaran di sekolah.
    • Sesuai juga untuk menjalankan penyelidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *