Pensyarah daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan baru-baru ini mengambil inisiatif menghasilkan cecair hand sanitiser bagi memenuhi keperluan kakitangan dan pelajar universiti berkenaan sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penyebaran virus dan bakteria berbahaya terutamanya semasa penularan COVID -19.
Pensyarah USIM yang bergerak di bawah Laboratory in a Box FST (FaST LaB) menyatakan, usaha mereka menghasilkan hand sanitiser bukan bertujuan komersial tetapi untuk membantu warga kampus kerana ia diberi percuma di samping menyedari pada masa kini terdapat kesukaran untuk mendapatkan cecair pembasmi kuman tersebut di pasaran.
Produk tersebut dihasilkan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan turut melalui ujian dalam makmal penyelidikan USIM bagi memastikan keberkesanannya terhadap mikroorganisma.
Ketua FaST LaB, Dr. Muhammad Zamir Othman yang merupakan pensyarah kanan Program Teknologi Kimia Industri FST berkata, penghasilan kumpulan pertama bahan tersebut bermula pada 16 Mac lalu secara berperingkat dan sebanyak 70 liter hand sanitiser berjaya dihasilkan.
Ia kemudiannya dibotolkan dalam botol mini berkapasiti 60 mililiter (ml) supaya lebih mudah dibawa apabila perlu berada di luar.
Proses pembuatan hand sanitiser tersebut kata beliau, melibatkan beberapa penggunaan bahan kimia seperti isopropanol, gliserol, hidrogen peroksida selain air.
Katanya, menerusi pengawalan keselamatan yang tinggi di dalam makmal, proses akhirnya yang amat penting bagi mereka iaitu untuk memastikan campuran bahan-bahan ini menghasilkan kepekatan bahan aktif pada paras 75 peratus Isopropanol.
Kos bagi setiap botol hand sanitiser yang dihasilkan ini adalah tidak melebihi RM3.50 dan projek ini juga sebenarnya turut mendokong aspirasi USIM dalam konteks prosumerism.
“Sebanyak 300 botol mini bahan ini 60 ml dapat disiapkan dalam produksi kumpulan pertama dan telah siap diedarkan kepada warga USIM di kampus induk di Nilai, Kampus USIM Pandan Indah dan pelajar yang berada kolej kediaman dan yang tinggal di luar kampus.
“Malah ia juga dijadikan bahan isian semula dalam botol sedia ada di Pusat Kesihatan Universiti dan Klinik Pakar Universiti bagi memastikan bekalan hand sanitiser sentiasa mencukupi, ” ujar Dr. Muhammad Zamir.
Produk ini turut dibekalkan ke jabatan-jabatan kritikal USIM yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antaranya termasuklah Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti dan Pusat Komunikasi Strategik.
Mereka turut menyumbangkannya kepada komuniti setempat yang memerlukan dan terkini kepada Balai Polis Nilai untuk kegunaan anggotanya yang terlibat dalam kawalan dan rondaan sepanjang tempoh PKP di sekitar bandar ini.
Kekangan yang dihadapi kini adalah untuk mendapatkan bahan mentah yang mencukupi dalam tempoh PKP ini bagi memenuhi permintaan tinggi yang diterima tetapi perkara itu sedang diatasi dengan pihak pembekal kerana mereka mensasarkan pengeluaran sebanyak 100 liter selepas ini.
Usaha Dr. Muhammad Zamir yang mendapat sokongan sepenuhnya pengurusan universiti ini turut dijayakan bersama oleh Dr. Syaza Azhari, Mohd Nazarali Ali, Muhammad Izzat Redzuwan, Siti Nazurah Md. Jusoh, Sharifah Shahirah Syed Shaharuddin dan Anis Suraya Mohamed Rasdi.
Turut membantu di peringkat awal dua orang siswa iaitu Muhammad Luqman Asnawar (USIM) dan Tengku Nur Anis Fitri Tengku Yahaya Anis (UiTM Perlis).