UMT hasilkan cecair pembasmi kuman

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang prihatin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak ketinggalan ingin menyumbang sesuatu kepada masyarakat menerusi hasil penyelidikan pensyarahnya.

Untuk tujuan itu, UMT menyertai beberapa universiti tempatan menghasilkan cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer.

Idea penghasilan cecair pembasmi kuman itu tercetus apabila stok atau bekalan sanitizer di sekitar bandar Kuala Terengganu dan sekitar UMT pada satu ketika berkurangan atas sebab penularan penyakit COVID-19 yang semakin meningkat.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar yang memberikan tugasan serta cabaran tersebut kepada sekumpulan  penyelidik di Institut Bioteknologi Marin (IMB) UMT untuk hasilkan hand sanitizer sendiri untuk kegunaan warga UMT.

Pengarah IMB, Prof. Dr. Yeong Yik Sung Bernays, pihaknya berjaya menghasilkan cecair pembasmi kuman tersebut meskipun diberi masa yang cukup singkat dan berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan.

Walaupun universiti berkenaan dikenali sebagai sebuah universiti yang nic utamanya ialah oseanografi dan sains marin, UMT juga mempunyai bidang dan kepakaran dalam penghasilan produk-produk neutraseutikal yang berasaskan ‘natural produk’ dan sebatian  berguna daripada sumber marin.

Sebelum penghasilan hand sanitizer itu, IMB berjaya menghasilkan produk-produk seperti ubat-ubatan tradisional daripada herba untuk diabetes, arthritis, krim kecantikan tangan dan muka, essential oil serta kit-kit pengesanan toksin yang dihasilkan daripada darah belangkas.

“Dengan kepakaran yang ada di IMB, maka penghasilan cecair pembasmi kuman oleh UMT ini tepat pada masanya, terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, cecair pembasmi kuman keluaran UMT itu mempunyai bahan aktif yang berasaskan 70 peratus alkohol.

Kepekatan alkohol ini diguna meluas dalam banyak jenama hand sanitizer kerana kemampuannya membunuh pelbagai jenis kuman seperti bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit.

Cara penyediaan cecair pembasmi kuman ini adalah mengikut saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dengan sedikit perubahan daripada segi komposisi bahan yang digunakan.

“Pihak kami juga mengikuti perkembangan saintifik tentang kaedah nyahaktif coronavirus melalui penerbitan jurnal berimpak tinggi dan mengambil kira dapatan saintifik di dalam proses penghasilan komposisi cecair pembasmi kuman,’’ ujarnya.

Bahan tambahan seperti gel aloe vera digunakan bagi tujuan pelembap, minyak essential berasaskan tea tree sebagai pengharum dan peroksida sebagai kesan antikuman.

Penggunaannya amat mudah, iaitu sama seperti hand sanitizer yang lain, cuma semburkan dua atau tiga titik cecair di atas tapak tangan dan gosok selama antara 15 hingga 20 saat hingga meresap ke dalam kulit.

Katanya lagi , pada masa ini, produk tersebut hanya untuk kegunaan dalaman sahaja dan bukan untuk dijual.

Sebanyak 2000 botol dihasilkan pada fasa pertama untuk edaran kepada petugas barisan hadapan dan pelajar UMT yang menetap di dalam kampus.

Namun begitu, pihak UMT turut bercadang untuk mengagihkannya kepada masyarakat dan komuniti di sekitar UMT nanti.

Namun beliau tidak menolak produk berkenaan berpotensi untuk dikomersialkan dan memandangkan produk ini baru sahaja dihasilkan, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk proses pendaftaran harta intelek (IP) dan sebagainya.

Adalah amat penting untuk kajian yang lebih mendalam diteruskan; dalam menentukan sejauh manakah cecair pembasmi kuman ini efektif ke atas jenis bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit.

Dapatan saintifik fundamental menerusi penerbitan ilmiah yang berimpak penting juga penting dalam menyokong pemasaran produk tersebut kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *