Graduan Politeknik Nilai buruan majikan

Terletak agak jauh daripada kebisingan jalan raya dan berada pada kedudukan tinggi di atas sebuah bukit, Politeknik Nilai Negeri Sembilan (PNS) kelihatan agak kondusif untuk menjana kesungguhan menimba ilmu.

Persekitaran tenang dengan dilengkapi dengan segala kemudahan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang sesuai, PNS kini berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang dari segala aspek.

Berdasarkan sejarah, PNS merupakan politeknik yang ke-23 ditubuhkan di Malaysia yang menawarkan pelbagai bidang pengajian di peringkat diploma.

Namun yang menariknya, pembelajaran di politeknik lebih kepada praktikal dan pembelajarannya seimbang secara teori dan praktikal .

Di sini pelajar akan didedahkan tentang realiti sebenar alam pekerjaan manakala penilaian dalam sistem semester di politeknik lebih memudahkan.

Sebagai contoh, modul am dan modul-modul yang tidak melibatkan peperiksaan akhir akan dinilai secara 100 peratus penilaian berterusan.

Modul yang melibatkan peperiksaan akhir akan dinilai berdasarkan kepada 50 peratus Penilaian Berterusan (PB) dan 50 peratus Peperiksaan Akhir (PA).

Di politeknik bukan sahaja hanya menawarkan pengajian dalam bidang teknikal tetapi terdapat juga program yang menawarkan pengajian dalam bidang pengurusan dan perdagangan.

Oleh kerana berniaga juga perlu ada ilmu, maka politeknik menawarkan program pengajian yang seimbang agar graduan lepasan politeknik akan lebih berdaya saing untuk menempuh alam pekerjaan kelak.

Lt. Kolonel Nazri Idris

Dalam pada itu Pengarah PNS Lt. Kol. Bersekutu Nazri Idris berkata, lepasan PNS kini menjadi rebutan pihak industri.

Ini kerana para majikan sukakan pelajar lepasan politeknik ini yang mempunyai kemahiran yang mereka perlukan kerana lepasan politeknik telah didedahkan kepada kerja-kerja realiti pekerjaan.

Dengan kata lain, lepasan PNS menjadikan  buruan majikan. Lepasan politeknik sukar untuk sambung belajar ? Sebenarnya kenyataan tersebut tidak tepat.

Terlalu ramai lepasan politeknik melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan tidak kurang juga yang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Jangan lupa,  politeknik Malaysia juga telah menawarkan program pengajian sehingga ke peringkat ijazah.

Oleh itu secara tidak langsung lepasan pelajar Politeknik Nilai akan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah.

“Kebolehpasaran graduan PNS mencecah antara 96 hingga 98.6 peratus dalam tempoh enam bulan disebabkan ramai majikan berminat  dengan bidang yang ada di politeknik, ” ujarnya kepada jurnal.my.

Kata beliau, dua sebab atau fakor adalah pelajar diberi nilai tambah dan kedua, mewujudkan sinergi dengan industri menerusi kerjasama erat.

Malah pihaknya kini bekerjasama melibatkan antara 19 hingga 22 industri menerusi nota kerjasama.

Perkara yang lebih membantu adalah politeknik diberi kebebasan untuk mengubah suai 30 peratus kurikulum pembelajaran mengikut keperluan industri setempat berdasarkan kepada program pengajian yang ditawarkan.

“Menerusi nota kerjasama, kami bekerjasama dengan rapat dengan industri dan ada situasi menang-menang

Malah ada industri mempunyai kelas angkat di politeknik ini dan mereka memberi bantuan kemudahan yang diperlukan.

“Malah kami kini menerapkan konsep place and train melibatkan pelajar dan industri dan kini hasilnya 60 peratus mudah mendapat pekerjaan, ‘’ ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut menerusi konsep peningkatan berterusan, pihaknya juga menawarkan subjek yang memenuhi permintaan industri bagi memudahkan pelajar memperoleh sijil CILT akan memudahkan mereka apabila sesi temu duga pekerjaan kelak, selain menghadiri kursus jangka pendek yang diminati oleh industri.

Dalam pada itu, bagi memberi pendedahan berterusan kepada pelajar, politeknik juga bekerjasama dengan negara luar antaranya Thailand yang membolehkan pertukaran ilmu antara politeknik dan sekolah vokasional  di negara berkenaan dalam bidang pertanian.

“Kami ada menghantar empat atau lima pelajar ke Thailand setiap tahun bagi menyertai persidangan pertanian di sana dan mereka juga menghantar pelajarnya ke sini untuk berkongsi pengetahuan, ‘’ ujar beliau sambal menambah, sekolah vokasional di negara berkenaan memiliki ladang mereka sendiri bagi meningkatkan pengetahuan praktikal pelajarnya.

Dalam pada itu menerusi konsep production based learning yang diperkenalkan, pihaknya memberi penekanan kepada beberapa elemen seperti kemahiran, pemasaran, pengedaran selain kualiti bagi melahirkan bakal-bakal usahawan dalam kalangan pelajar.

Ini termasuk menggalakkan pelajar menceburi bidang perniagaan atas talian yang kini semakin popular.

Apa yang penting kata beliau, adalah pelajar kini sudah boleh menjana pekerjaan dan bukan lagi pencari pekerjaan.

Justeru, proses pembelajaran di Politeknik Nilai yang begitu kondusif kerana dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas yang pelajar perlukan menjadikan mereka lebih berdaya saing dari semua aspek baik daripada kurikulum dan sukan.

Info  PNS

*Politeknik Nilai (PNS) merupakan politeknik yang ke- 23 di Malaysia.

  • Ditubuhkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (ketika itu) pada 1 April 2007 di bawah Rancangan Malaysia ke-9.
  • Mula beroperasi di Kompleks Perniagaan Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Disember 2008.
  • Pengambilan pelajar pertama pada sesi Jun 2008.
  • Berpindah ke kampus tetap di Kompleks Pendidikan Bandar Enstek pada September 2011.
  • Merupakan institusi pendidikan pertama yang beroperasi di Kompleks Pendidikan Bandar Enstek.
  • Keluasan PNS ialah 101.5 ekar
  • Bermula pendaftaran pertama di kampus tetap pada Disember 2011
  • Perasmian kampus baru PNS  oleh Menteri Pengajian Tinggi pada 13 September 2012

Visi

 Menjadi institusi  pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET)  dan Pusat Teknologi Bio-Industri yang dipacu industri pada tahun ini.

Misi

Menyediakan TVET  berpaksikan pengetahuan,pengalaman,kemahiran & penyelidikan bagi melahirkan graduan yang berkualiti,holistik, berciri keusahawanan serta beriltizam membangunkan negara.

JABATAN AKADEMIK

Tiga jabatan akademik menjadi tunjang sistem pembelajaran di Politeknik Nilai iaitu Jabatan Perdagangan (JP), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) dan Jabatan Agroteknologi dan Bio Industri (JAB) dan dibantu oleh dua jabatan sokongan iaitu Jabatan Pengajian Am (JPA) dan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK)

  1. Jabatan Perdagangan menawarkan :

-Diploma Pengajian Perniagaan (E-Dagang),

-Diploma Kewangan dan Perbankan Islam,

  • Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Perbekalan dan

-Diploma Pengurusan Peruncitan.

ii.Jabatan Mekanikal menawarkan

-Diploma Kejuruteraan Mekanikal

– Diploma Kejuruteraan Mekatronik.

iii. Jabatan Agroteknologi dan Bio Industri menawarkan:

-Diploma Hortikultur Lanskap

– Diploma Bioteknologi

iv. Ketiga-tiga jabatan tersebut dibantu oleh Jabatan Pengajian Am, Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Unit Hal Ehwal Pelajar, Unit ICT, Unit Pembangunan Instruksional dan Multimedia, Unit Pembangunan dan Penyenggaraan dan Unit Sukan.

Kemudahan  

* Asrama

* Bilik kuliah –  24 buah

* Dewan Kuliah – empat buah 

* Bilik Kuliah Teknologi  – 12 buah 

* Makmal –  35 buah

* Bengkel

* Dewan Serbaguna

* Pusat sukan serta kemudahan lain untuk pelajar beriadah dan bersukan.

*Pusat Sumber yang lengkap serta perkhidmatan Wi-Fi yang meliputi    

  seluruh kawasan kampus

*Koperasi dan kodai.my bagi memudahkan jual beli di dalam   

   kampus.

*Kamsis yang boleh menampung seramai 1,200 orang pelajar dilengkapi dengan Pusat Islam dan kafetaria, pusat asuhan kanak-kanak juga disediakan bagi kemudahan staf PNS.

*Pusat Sukan yang dilengkapi dengan gimnasium dan pelbagai gelanggang permainan sukan turut disediakan.

*Penginapan kepada pelawat menerusi Lodge Cemara Inn yang dilengkapi dengan 40 unit bilik yang selesa.

*Pelajar Politeknik Nilai bagi sesi Disember 2019 adalah seramai 3015 orang.

*Politeknik Nilai mempunyai 213 orang staf yang terdiri daripada 170 orang akademik dan 43 orang staf sokongan

*Daripada 170 orang pensyarah tersebut serama 14 orang mempunyai doktor falsafah, sarjana 62 orang, ijazah 94 orang dan seorang diploma.

*Yuran pengajian di Politeknik adalah yuran IPT yang paling murah.

*Yuran pengajian adalah serendah RM200 setiap semester.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *