Cerita dari dua gunung

Oleh Mohd Lutfi Ngah

Misi pendakian baru-baru ini dirasakan sedikit janggal apabila aktiviti meneroka dua gunung di Negeri Sembilan bermula di puncak, bukan seperti kebiasaan di kaki gunung.

Sebaik sahaja mendaftar dan membayar permit masuk sebanyak RM5 di kaki Gunung Berembun, kami dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda menyusuri laluan bertar ke puncak Gunung Telapak Buruk, gunung tertinggi di Negeri Sembilan.

Sejam juga kami berada di belakang kenderaan pacuan empat roda, mendaki laluan ke puncak yang menempatkan stesen pemancar telekomunikasi dan kem tentera. Terasa sengal-sengal badan sebaik sahaja turun daripada kenderaan akibat laluan rosak teruk yang tidak memungkinkan pendaki untuk memandu sendiri ke puncak.

Sememangnya puncak gunung tidak pernah gagal menyajikan panorama mengasyikkan meskipun hanya meluangkan masa seketika. Dari situ, kami meneruskan penerokaan laluan ke puncak Gunung Berembun.

Aktiviti kali ini disertai lapan pendaki dengan ditemani jurupandu yang mesra dipanggil Apak, menyusuri trek menuju ke puncak Gunung Berembun yang berada pada ketinggian 1,014 meter (m).

Pada awal pendakian, kebanyakan trek lebih banyak menurun. Terus terbayang kesengsaraan pendaki yang menjejaki puncak Gunung Telapak Buruk pada ketinggian 1,193 m dari kaki Gunung Berembun.

Daripada riak wajah pendaki yang bertembung dengan kami, kebanyakannya tidak mengetahui akses ke Gunung Berembun boleh juga bermula dari puncak Gunung Telapak Buruk. Itu kelebihan jika misi turut disertai jurupandu berpengalaman.

Laluan antara Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun terkenal dalam kalangan pendaki sebagai lokasi bersejarah yang menempatkan bangkai pesawat pengebom RAF B24 Liberator yang terhempas ketika Perang Dunia Kedua.

Pesawat malang itu dikatakan terhempas pada 23 Ogos 1945. Ketika pesawat itu berlepas dari Cocos Island, Australia untuk misi resupply kepada pasukan Force 136 yang berhadapan kemaraan penjajah Jepun di Tanah Melayu.

Sejarah juga merakamkan seramai enam kru pesawat itu terkorban. Serpihan bangkai pesawat yang berselerak boleh ditemukan dengan menuruni kawasan curam dan anak sungai.

Sebahagian bangkai pesawat ditemukan pada 1996, sebelum pencarian rasmi dijalankan pada 22 Disember 2006. Ketika ini, agak sukar merakam gambar serpihan pesawat kerana terlindung akibat dihempap pokok tumbang.

Jika pendaki dari puncak Gunung Telapak Buruk, tapak bersejarah itu menjadi lokasi persinggahan awal sebelum pendakian ke puncak Gunung Berembun.

Tahun lalu, Gunung Berembun menjadi lokasi pencarian seorang remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang dilaporkan hilang daripada hotel penginapan keluarganya. Pencarian berakhir tragedi apabila mangsa ditemukan meninggal dunia pada hari ke-10 kehilangannya.

Misi ke puncak Gunung Berembun diteruskan selepas menikmati segelas kopi O panas. Laluan ke puncak juga tidak begitu sukar dengan trek turun naik yang sesekali menguji stamina. Meskipun tiada pemandangan indah di puncak, aktiviti lazim bergambar tetap diteruskan.

Sebaik sahaja ground dibentang, masing-masing cekap membuka bekalan makanan. Sama ada mi goreng, bihun goreng, atau nasi lemak yang siap ada sambal kerang dibeli di gerai berhampiran Masjid Pantai, semuanya dijamah dengan berselera sekali.

Seperti biasa Apak dengan dapur kecilnya, kali ini kopi 0 panas. Memang layan dapat menghirup air panas di puncak gunung. Sedar tak sedar, dua gelas air berjaya dihabiskan.

Selepas hampir sejam berada di puncak, kami bergerak ke Gua Kambing. Walaupun trek menurun, ia benar-benar menguji kerana laluan curam apatah lagi bagi pendaki yang mempunyai masalah lutut.

Sebelum menempuh trek itu, ada niat untuk kembali dengan meneroka trek bermula dari kaki Gunung Berembun. Ingin sekali mengharungi kepayahan pendaki yang bertembung pada awal pendakian. Namun, niat semakin pudar apabila berada di sepanjang trek berkenaan.

Gua Kambing menjadi lokasi persinggahan pendaki untuk berehat selain menunaikan tanggungjawab kepada pencipta sebelum bergerak ke Lata Berembun.

Selepas lebih 10 jam berada di trek, kami menamatkan aktiviti dengan tiba di kaki Gunung Berembun sebelum pukul 7 malam.

Kumpulan pendaki ceria berada di puncak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *