Alhamdulillah, mereka yang membaca al-Quran akan mendapat banyak manfaat di dunia dan akhirat serta dia alam kuburnya nanti. Justeru budaya membaca al-Quran disemarakkan dalam kalangan umat Islam.
Namun d isebalik semua kebaikan yang kita cuba sebarkan, terdapat kalangan mereka yang berniat jahat dengan tujuan tertentu. Maka dikhuatiiri ada yang membaca ayat ayat suci tersebut bukan yang asal.
Justeru, terdapat keperluan untuk memeriksa keaslian ayat-ayat Al-Quran. Menyedari akan kepentingan memastikan ayat ayat suci al-Quran itu terpelihara dan dilindungi keasliannya, sekumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif bergabung tenaga menjalankan penyelidikan bagi menentukan kesahihan ayat ayat suci al-Quran.
Bagi tujuan tersebut, kumpulan berkenaan yang dianggotai dua pensyarah kanan dan seorang profesor dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM, Dr. Amirrudin Kamsin dan Dr. Mohd. Yamani Idna Idris serta Prof. Dr. Abdullah Gani dengan dibantu pelajar doktor falsafah Saqib Iqbal dan jurutera perisian kanan Java Enterprise Web App Tech Arch, Mohsin Iqbal Hakak terlebih dahulu menjalankan kaji selidik berkaitan keaslian al-Quran.
Menurut Dr Amirudin selaku penyelidik utama, kajian telah dijalankan oleh UM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM)
Berdasarkan kaji selidik tersebut, majoriti responden tidak dapat memastikan sama ada mereka membaca ayat al-Quran dalam bentuk asalnya atau sebaliknya. Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam salah satu jurnal yang terkenal (Tahap 1), journal akses Institut Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (IEEE).
Daripada 500 responden yang mengambil bahagian dalam kajian berkenaan, kira-kira 98 peratus peserta menyatakan bahawa, terdapat keperluan untuk membangunkan sistem yang dapat mengesahkan kesahihan al-Quran Digital. Ini menjadi pendorong bagi kumpulan tersebut untuk menjalankan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada umat Islam.
“ Penyelidikan kami berkaitan dengan sistem pengesahan al-Quran. Inovasi ini memeriksa secara automatik kesahihan ayat al-Quran dan memperbetulkannya,’’ ujarnya lagi.
Menurutnya, seperti yang kita ketahui, terdapat banyak laman web (sesawang) dan platform media sosial, iaitu ayat-ayat al-Quran palsu atau dialihkan diteruskan dan disebarkan dalam kalangan orang ramai.
Pada masa ini, pihaknya memberi tumpuan kepada versi Uthmani al-Quran. Pihaknya juga akan meneroka gaya-gaya penulisan al-Quran yang lain seperti Varsh, Non-Uthmani.
Berkongsi lebih lanjut beliau memberitahu, inovasi tersebut adalah sistem automatik sepenuhnya yang mengesan mana-mana ayat Quran yang telah diubah atau rosak.
Seorang pengguna dikehendaki memasukkan ayat yang perlu diperiksa. Sebaik sahaja input dimasukkan, sistem secara automatik akan membetulkan ayat yang telah diubah dan menunjukkan bahagian palsu atau yang rosak dalam warna merah.
Oleh itu, sistem tersebut boleh digunakan untuk memelihara integriti kandungan al-Quran digital dan menyemak ayat-ayat al-Quran yang disebar di Internet.
“Kami telah menerbitkan hasil awal menerusi artikel jurnal dan kertas persidangan antarabangsa dan tempatan.
“Selain itu, kami menyertai pertandingan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Reka Bentuk (IIDEX) 2017 dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi (Pecipta) 2017 untuk mempamerkan ciptaan kami, ” katanya.
Pihaknya juga bekerjasama dengan Universiti Taibah, Arab Saudi untuk memaju dan mengkomersialkan produk berkenaan.
Produk tersebut boleh digunakan oleh orang awam yang berminat untuk membaca versi sahih al-Quran yang boleh didapati dalam talian.
Pada masa akan datang, pihaknya berhasrat membina dan memasukkan sistem pengesahan hadis. Ini akan menjadi sistem pengesahan penuh pertama yang dapat mengesahkan al-Quran serta hadis yang ada dalam talian.
Penyeldikan yang dimulakan pada 2014 itu siap pada 2018 menggunakan dana Geran Penyelidikan Universiti Malaya (UMRG) 2014 dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) 2016 dengan jumlah keseluruhan RM216,667. – Laupa Junus