Industri tenusu diperkasa

Industri tenusu tempatan berdepan cabaran kerana pelbagai faktor. Pada masa ini, negara mempunya antara 20,000 hingga 30,000 ekor lembu tenusu

Jumlah berkenaan masih belum mencukupi bagi menampung permintaan produk tenusu yang meningkat kira-kira lima peratus setahun.

Keperluan susu cair negara sebanyak 50 juta liter setahun dan daripada jumlah itu sebanyak 34 juta liter dihasilkan dalam negara manakala  16 juta liter lagi diimport dari Australia dan New Zealand.

Oleh itu, bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada susu import, Pusat Penyelidikan dan Inovasi Tenusu Muadzam Shah (MSCRIC), Pahang  akan dijadikan sebagai pemangkin penubuhan hab lembu tenusu dan menerajui pembangunan industri tersebut.

MSCRIC memfokus kepada penghasilan baka lembu tenusu tempatan yang berkualiti  dengan produktiviti yang tinggi untuk bekalan di pasaran tempatan. Kelompok ini mempunyai matlamat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap susu import dan mempertingkatkan industri tenusu negara.

Untuk tujuan itu, MSCRIC meletakkan sasaran untuk mempunyai 5,000 baka lembu tenusu pada tahun ini. The Holstein Milk Company merupakan Syarikat Induk bagi mengendali dan menguruskan MSCRIC.

Syarikat ini juga telah melabur sebanyak RM30 juta dan dijangka mewujudkan seramai 100 peladang satelit (satellite farmers) menjelang tahun in sebagai sebahagian daripada rangkaian sokongan operasinya manakala Bahagian penyelidikan dan pembangunan MSCRIC pula fokus kepada aspek kesihatan ternakan, nutrisi, pembiakbakaan dan makanan ternakan.

Sehingga kini, kelompok yang beroperasi di ladang ternakan lembu tenusu seluas 248 hektar yang merangkumi ladang nukleus ini telah membawa masuk sebanyak 2133 ekor lembu tenusu.

PROJEK SATELIT MSCRIC

Sebagai galakan kepada masyarakat setempat berjinak-jinak dalam bidang penternakan, projek petani satelit dilaksanakan di bawah pemantauan The Holstein Milk Company.

Projek ini dijangka akan dapat mewujudkan 100 peladang satelit menjelang tahun depan  sebagai sebahagian daripada rangkaian sokongan operasinya.

Kini seramai 15 petani terdiri daripada peneroka FELDA, penduduk kampung tradisi sekitar Rompin dan Muadzam Shah serta Orang Asli sudah dikenal pasti sebagai perintis kepada usaha mewujudkan ladang lembu mengikut piawaian antarabangsa itu.

Menerusi projek tersebut , The Holstein akan membeli semula susu daripada pembekal (peladang satelit) itu pada harga yang menguntungkan berdasarkan perjanjian jual beli.

Sarannya adalah peladang satelit ini boleh memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *