Tiga matlamat utama penubuhan MySA

Kerajaan baru-baru ini mengambil langkah drastik menggabungkan  Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) bagi membentuk Agensi Angkasa Malaysia (Malaysian Space Agency) atau  MySA.

Penggabungan dua agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar  dan Perubahan Iklim (MESTECC) itu mengariskan tiga matlamat utama yang perlu dicapai oleh  MySA dalam tempoh dua tahun.

Tiga matlamat utama tersebut adalah  pertama, MySA perlu memastikan ketersediaan data satelit dan penggunaan data yang lebih komprehensif dalam pelbagai agensi supaya kerajaan boleh mentadbir dengan lebih efektif dalam bidang berikut: –

  • Keselamatan makanan – food security (seperti sistem pengurusan pertanian dan perikanan);
  • Pengurusan sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim (seperti sistem pemantauan hutan, air, guna tanah, perladangan, pengauditan dan kesan perubahan iklim);
  • Pengurusan bencana (seperti sistem pemantauan banjir, kebakaran hutan dan pembangunan kawasan cerun); dan
  • Keselamatan (seperti sistem pemantauan sempadan negara, dan kawalan infrastruktur strategik negara).

Matlamat kedua adalah MySA perlu berusaha untuk berkongsi data dengan para penyelidik dan sektor swasta supaya keupayaan data satelit kerajaan boleh ditingkatkan dengan memangkin peningkatan harta intelek (intellectual property) industri dan pertumbuhan ekonomi. Ini juga adalah selaras dengan inisiatif MESTECC dalam menerajui open data policy.

Matlamat ketiga pula adalah MySA perlu berusaha untuk meningkatkan asset sweating bagi fasiliti yang sedia ada, iaitu meningkatkan kadar penggunaan fasiliti dengan tujuan meningkatkan pendapatan.

Sebagai contoh, kerajaan sebelum ini telah melabur lebih daripada RM 200 juta untuk membina fasiliti di ANGKASA tetapi sehingga kini kadar penggunaan fasiliti adalah rendah.

Menurut Ketua Pengarah MySA, Azlikamil Napiah terdapat, beberapa peralatan dan fasiliti di ANGKASA boleh disewa kepada pihak swasta dengan lebih meluas lagi untuk menjana pendapatan tambahan.

“Pendapatan ini boleh digunakan bagi menampung sebahagian kos penyelenggaraan fasiliti dan dengan ini menurunkan beban perbelanjaan kerajaan, ‘’ ujarnya sambil memberitahu penggabungan tersebut diluluskan kerajaan menerusui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Februari 2019

Beliau berkata, penggabungan tersebut adalah salah satu langkah permulaan kerajaan dalam melaksanakan Dasar Angkasa Negara 2030 dengan teras pertamanya ialah mengukuhkan tadbir urus kerajaan dalam sektor tersebut.

Sebelum ini, ANGKASA memfokus kepada teknologi angkasa huluan (upstream) manakala ARSM memfokus kepada hiliran (downstream).

Beliau yang sebelum itu adalah Ketua Pengarah ARSM berkata, penggabungan dua agensi itu akan mengoptimumkan penggunaan sumber dan fasiliti yang sedia ada di ANGKASA dan ARSM.

Selain itu ia, dapat  meminimumkan pertindihan fungsi dan peranan agensi, sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Selaras dengan teras kedua Dasar Angkasa Negara, MySA akan memberi tumpuan kepada teknologi, infrastruktur dan aplikasi angkasa yang strategik dan signifikan kepada negara sahaja, iaitu bidang yang mempunyai impak langsung kepada ekonomi, sosial, keselamatan dan kedaulatan negara.

Dengan itu, tumpuan utama akan diberikan kepada usaha untuk memperkasa pemilikan data dan maklumat bumi berasaskan satelit, terutamanya dalam tiga bidang utama – penderian jauh (remote sensing), komunikasi dan navigasi. .

Implikasi penggabungan ANGKASA dan ARSM

Proses penggabungan ANGKASA dan ARSM mengambil masa lebih kurang enam bulan bergantung kepada perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Ia tidak akan melibatkan penurunan penjawatan atau pun peningkatan penjawatan baru.

MESTECC menjangka penggabungan ANGKASA dan ARSM akan memberikan penjimatan kos lebih RM 20 juta kepada kerajaan.

Anggaran penjimatan berkaitan adalah seperti berikut:

  • Mengoptimumkan penggunaan infrastruktur sedia ada di kedua-dua agensi seperti sistem kawalan misi satelit, makmal kalibrasi optik dan fasiliti pemasangan serta integrasi dan pengujian satelit yang dijangka menjimatkan perbelanjaan pembangunan sehingga RM17 juta secara oneoff;
  • Mengelakkan pertindihan penggunaan sumber dan aktiviti, di samping menjimatkan kos pembangunan sistem aplikasi dan pangkalan data berasaskan teknologi angkasa tanpa perlu melaksanakan perolehan baharu yang dianggarkan bernilai RM3.5 juta; dan
  • Memperluaskan penggunaan aplikasi teknologi angkasa kepada sektor-sektor baharu seperti sektor tenaga dan sumber boleh diperbaharui melalui peningkatan pembangunan aplikasi secara in-house yang dapat mengurangkan kos sebanyak RM500 ribu hingga RM1.5 juta bagi satu aplikasi bergantung kepada saiz aplikasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *