BANGI, : Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah membangunkan kaedah kawalan yang berkesan bagi pokok kelapa sawit yang dijangkiti penyakit kulat Ganoderma, yang menyebabkan reput batang bahagian atas.
Akibat peningkatan serangan penyakit reput batang bahagian atas, sekumpulan penyelidik MPOB telah membangunkan teknologi untuk mengawal penyakit tersebut.
Teknologi tersebut telah dilancarkan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021 yang diadakan secara maya, pada Julai 2021.
Teknologi itu menggunakan racun kulat sistemik hexaconazole adalah efektif kerana pokok yang diserang penyakit reput batang bahagian atas berjaya dipulihkan. Teknologi tersebut mengurangkan kadar jangkitan dengan membunuh kulat Ganoderma dalam batang pokok sawit.
Penggunaan teknologi MPOB ini mengesyorkan hexaconazole (4.5 gram bahan aktif) dilarutkan ke dalam tiga liter air yang kemudiannya disuntik sebanyak tiga kali selang enam bulan bagi setiap rawatan. Suntikan batang dilakukan dengan menggunakan alat penyuntik bertekanan.
Kulat Ganoderma menyebabkan dua penyakit utama pada pokok sawit iaitu, penyakit reput pangkal batang dan reput batang bahagian atas.
“Peningkatan serangan penyakit reput batang bahagian atas telah mendorong penyelidik MPOB untuk mengkaji langkah kawalan dengan kadar segera. Penggunaan kawalan racun kulat adalah disyorkan untuk mengurangkan serangan penyakit reput batang bahagian atas,” kata Ketua Pengarah MPOB Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Menurut Dr. Ahmad Parveez, racun kulat hexaconazole adalah baik untuk digunakan sebagai rawatan kuratif atau penyembuhan untuk pokok yang dijangkiti penyakit.
Racun kulat hexaconazole juga dapat memanjangkan jangka hayat pokok sawit yang dijangkiti penyakit, ujar beliau.
“Selain itu, tiada residu racun hexaconazole ditemui dalam minyak sawit dan ianya adalah selamat digunakan,” tambah beliau.
Jelas beliau, racun kulat itu juga dapat mengurangkan risiko penyebaran kulat Ganoderma di ladang sawit, sekaligus mengurangkan hasil kerugian akibat serangan kulat Ganoderma.
Selain dari menggunakan racun kulat kimia, penyakit Ganoderma dapat dikawal dengan kaedah atau pemusnahan sumber inokulum Ganoderma, penggunaan produk agen kawalan biologi atau mikroorganisma endofitik, kulat pengurai dan bahan tanaman sawit rintang terhadap Ganoderma.
Serangan penyakit Ganoderma telah menjejaskan 221,000 hektar estet kelapa sawit di Malaysia dengan anggaran kerugian RM1.5 bilion setahun.