Masa depan industri perikanan terancam dengan `serangan’ virus COVID-19

Umum mengetahui perebakan COVID-19 telah berlaku dengan kadar yang sangat pantas sehinggakan kerajaan telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020.

Situasi yang pada mula dilihat sebagai masalah terpencil di Wuhan, China telah berubah menjadi perebakan pandermik di peringkat global. Melihat kepada situasi semasa satu respons secara serius dan holistik perlu digerakkan untuk meminimumkan kesan semasa dan pasca perebakan COVID-19.

Melihat kepada ruang lingkup negara, terdapat pelbagai sektor penting yang telah menerima impak langsung daripada COVID-19 ini dan sektor perikanan juga tidak terlepas daripada menerima tempiasnya.

Industri perikanan negara khusus pembekalan ikan dan produk makanan berasaskan sumber perikanan teruk terjejas disebabkan oleh perlaksanaan PKP. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pola permintaan daripada pengguna yang semakin menurun.

Terdapat satu kemungkinan yang jelas krisis kekurangan bekalan makanan berasaskan sumber perikanan akan semakin meruncing sekiranya tempoh PKP ini dilanjutkan disebabkan oleh peningkatan kes-kes jangkitan baharu. Oleh itu, beberapa langkah segera perlu diambil bagi melindungi rantaian bekalan sumber perikanan dan mengurangkan kesan langsung COVID-19 terhadap permain-permain industri perikanan negara.

Pengarah, Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Mhd. Ikhwanuddin Abdullah berkata,  PKP telah mengganggu aktiviti tangkapan ikan oleh nelayan, pasaran dan rantaian bekalan khususnya di kawasan yang teruk terjejas dengan COVID-19.

Walaupun, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah memberi jaminan bahawa tempoh PKP yang sedang berlangsung tidak akan menghalang segala aktiviti dan pembekalan produk pertanian, namun, tidak dapat tidak pelaksanaan PKP telah menghadkan akses orang ramai kepada sumber perikanan khususnya di zon merah COVID-19.

Selain itu, penutupan restoran-restoran makanan laut (tetapi hanya dibuka untuk makanan yang dibawa pulang sahaja), pasar tani, pasar nelayan dan pasar malam telah menyebabkan berlakunya pengurangan permintaan untuk hasil bekalan ikan segar di pasaran.

Beliau berkata, keadaan tersebut akan menjejaskan punca pendapatan pengusaha dan pembekal sumber perikanan, manakala, pengusaha akuakultur kecil dan nelayan persisir pantai yang bergantung kepada tangkapan harian adalah antara mereka yang sangat terkesan disebabkan oleh perebakan COVID-19.

            “Semestinya kita sudah maklum akan kesan semasa arahan kepada industri perikanan negara ketika berlangsungnya fasa PKP.

“Namun, kita seharusnya memikirkan juga akan kesan untuk tempoh masa yang lebih panjang iaitu bagi pasca COVID-19,’’ ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, permasalahan yang mungkin timbul ketika pasca COVID-19 adalah melibatkan gangguan pergerakan logistik bagi memindahkan stok perikanan yang terhad.

Ini bagi memenuhi permintaan yang boleh meningkat secara mendadak serta pengurangan tenaga kerja yang mampu menghalang pengusaha dari terus mengusahakan ternakan dan melakukan tangkapan perikanan.

Sebagai maklum balas awal UMT berhubung kesan COVID-19 terhadap pengeluaran sumber perikanan negara adalah menyediakan satu medium yang mampu membantu pengusaha dan penternak akuakultur serta nelayan mengatasi masalah teknikal semasa operasi ternakan akuakultur dan tangkapan perikanan akibat daripada PKP dan wabak COVID-19.

Pihaknya sebelum inin mengadakan satu forum yang dikenali sebagai Forum on Aquaculture Services)  (FORAS) oleh anjuran AKUATROP, UMT.

Forum tersebut berkaitan perkhidmatan akuakultur (termasuk menyediakan khidmat nasihat dan bantuan kepakaran) yang dibuat dalam talian menggunalan aplikasi Webex melibatkan  semua pengusaha, perternak akuakultur dan nelayan boleh bertanya soalan dan berinteraksi dengan pakar dan penyelidik dalam bidang akuakutur dan perikanan dari AKUATROP.

Sebagai makluman, FORAS bersiaran selama sejam di antara pukul 10.00 dan 11.00 pagi setiap hari Ahad dan Selasa. FORAS dijangka akan mula beroprasi dalam minggu ke-empat tempoh perlaksanaan PKP. Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan FORAS, pengusaha dan penternak akuakultur serta nelayan boleh menghubungi Profesor Madya Dr. Marina Hasan iaitu Ketua FORAS, AKUATROP di alamat email [email protected].

Dalam pada itu menurut Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah  (UMS) PKP amat memberi kesan terhadap industri akuakultur di negara ini.

Pengarahnya, Prof Madya  Dr. Sitti Raehanah Shaleh berkata, industri akuakultur amat terkesan di peringkat operasi pengeluaran apabila ramai pekerja atau buruh yang terpaksa tidak hadir bekerja kerana pelaksanaan PKP.

“Industri akuakultur negara masih memerlukan tenaga buruh yang ramai dalam semua peringkat operasi pengeluaran iaitu di hatceri (pusat penetasan), kolam-kolam ternakan dan sangkar ternakan,’’ ujarnya.

Kata beliau, pengeluaran benih ikan di pusat penetasan akan terjejas kerana di peringkat tumbesaran benih ikan yang kritikal memerlukan jagaan rapi dan memerlukan ramai tenaga kerja yang bertugas 24 sehari sepanajng minggu

Pengusaha-pengusaha pusat penetasan terpaksa mengangguhkan pengeluaran benih kerana kekurangan pekerja.

Selain itu, penternak turut menghentikan pembelian benih daripada pusat penetasan kerana mereka terpaksa menghentikan operasi ternakan dalam sangkar mahupun kolam.

Penternak ikan sangkar dan udang pula mengalami pengurangan permintaan sama ada untuk kegunaan domestik mahupun untuk eksport.

Tempahan daripada  restoran-restoran juga berkurangan kerana penurunan jumlah pengunjung akibat pelaksanaan PKP.

Pada masa yang sama, larangan kemasukan pelancong juga menyebabkan hotel-hotel mengurangkan tempahan ikan dan udang.

Menurutnya, lagi pengusaha ternakan ikan sangkar terpaksa terus memelihara ikan-ikan yang tidak dijual dan menanggung kos makanan ikan yang sangat tinggi.

Selain itu, ternakan ikan juga terdedah kepada risiko kematian dan kecurian jika tidak dipantau dengan rapi.

Sebagai rekod,  setiap rakyat Malaysia secara purata makan 57 kilogram ikan setahun  dan berdasarkan statistik industri akuakultur pula ketika ini menyumbang kira kira 30 peratus dalam pengeluaran ikan tempatan dan 70 peratus lagi datang daripada  hasil tangkapan.

Perkara ini tidak begitu lestari kerana paling ideal, akuakultur perlu menyumbang sekurang-kurangnya 50 peratus  .

Justeru seperti mana yang dinyatakan dalam laman sesawang Jabatan Perikanan,  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, semasa Majlis Taklimat pada 3 Jun 2013, telah mengarahkan jabatan tersebut supaya menyediakan pelan tindakan bagi menggalakkan pembangunan akuakultur sehingga mampu menyumbang 50 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2020.

Sasaran baru sebanyak 1.443 juta tan metrik telah dijadikan salah satu inisiatif utama di bawah Program Transformasi Agromakanan bagi memastikan subsektor perikanan terus menyumbang kepada kecukupan bekalan makanan negara, meningkatkan pendapatan pengusaha dan menjadikan bidang agromakanan sebagai perniagaan yang berdaya saing dan mampan.

Sasaran pengeluaran akuakultur di DAN adalah sebanyak 794,000 tan metrik pada akhir tahun 2020.

Satu lagi isunya adalah kilang-kilang pemprosesan hasil akuakultur juga terpaksa menghentikan operasi kerana penurunan hasil daripada ladang-ladang ternakan serta ketiadaan pekerja .

Dario segi eksport, pasaran udang dan ikan juga menurun apabila negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Hong Kong juga mengalamai kesan pandemik covid-19 dan menghentikan import dari Malaysia.

“Akibat daripada penangguhan pembelian dari pengguna, ia secara langsung menyebabkan penangguhan pengeluaran dan pemprosesan hasil.

“Jika keadaan ini berterusan untuk beberapa bulan lagi, ramai pengusaha akuakultur yang akan mengalami kerugian dan akan gulung tikar,’ katanya.

Justeru, intervensi kerajaan dalam membantu pengusaha-pengusaha akukultur perlu dilaksanakan segera sebaik sahaja PKP ditamatkan bagi memastikan kelestarian industri akuakultur negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *