Pertanian lestari untungkan petani

Sehingga kini, usaha global dalam mencapai pertanian lestari melalui produktiviti optimum tanaman dan tanah menggunakan input minimum yang membawa kepada peningkatan ketara dalam kehidupan sosioekonomi dalam kalangan petani dan negara masih menjadi cabaran yang memberangsangkan.

Salah satu punca utama hasil tanaman dan pendapatan ekonomi yang rendah adalah disebabkan oleh kesihatan atau kualiti tanah yang kurang baik.

Masalah tersebut sangat biasa di kawasan tropika melibatkan sebahagian daripada kualiti tanah yang rendah yang berpunca daripada kandungan bahan organik yang rendah, keasidan tanah yang tinggi, serta ketumpatan toksik yang tinggi daripada aluminium, besi dan mangan.

Justeru bagi mengatasi masalah tersebut, sepasukan penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan penyelidikan bertajuk Rejuvenasi Produktiviti Tanaman dan Tanah.

Penyelidikan tersebut dimulakan pada 2011 dan selesai pada  2015.

Ahli kumpulan tersebut dianggotaiolehProf. Dr. Ahmed Osumanu Haruna, Prof. Datuk Dr. Nik Muhamad Ab. Majid, Prof. Dr. Mohd. Razi Ismail, Dr. Latifah Omar, Dr. Palanivell Perumal, Dr. Chng Huck Ywih, Ali Maru dan  Nathaniel Maikol

Isunya adalah keasidan tanah serta toksik berpunca daripada aluminium, besi, dan mangan khususnya, bukan sahaja merosakkan akar tanaman tetapi juga menghalang nutrien penting (contohnya, N, P, K) daripada diambil oleh tanaman.

Tambahan lagi, hidrolisis aluminium dan besi menjadikan tanah lebih berasid dan menjejaskan kesuburan kebanyakan tanah.

Justeru, kumpulan tersebut berpendapat petani menjalankan kerja-kerja  pengapuran diikuti dengan penggunaan baja kimia yang tidak seimbang, namun tidak berkesan dalam meningkatkan hasil tanaman dan kesuburan tanah.

Mereka memberi contoh, purata keluaran beras negara ketika ini adalah di antara 4.5 hingga 5 tan/sehektar (ha) berbanding potensi yang dijangka iaitu mengeluarkan 10 t/ha di Malaysia.

Dalam pada itu, pengeluaran padi menghasilkan sejumlah besar bahan buangan seperti jerami dan sekam.

Dianggarkan kira-kira 1.3 dan 0.5 juta metrik tan jerami dan sekam dikeluarkan setiap tahun di negara ini.

Menurut salah seorang  ahli kumpulan tersebut Datuk Dr. Nik Muhamad,  jerami padi biasanya dibakar di ladang selepas tuaian.

“Amalan ini menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Pembakaran sisa pertanian atau organik membebaskan gas rumah hijau dan zarah berbahaya ke atmosfera.

“Ini menimbulkan banyak masalah kesihatan dan persekitaran.

“Untuk memanfaatkan sisa pertanian, kami telah mengubah sisa agro-perindustrian seperti sekam padi dan jerami padi menjadi bahan organik (bahan humik dan fulvik) yang dapat memulihkan produktiviti tanah dan tanaman

“Ia akan memelihara atau menyahtoksifik tanah daripada kesan negatif keasidan tanah, toksisiti aluminium, besi, dan mangan, dengan itu meningkatkan kesihatan atau kualiti tanah, “ ujarnya.

Apa yang unik tentang teknologi tersebut kata beliau adalah setelah mengguna pakai pendekatan semasa penyediaan tanah untuk penanaman padi, jagung dan sayur-sayuran, pendekatan berjaya menggandakan hasil tanaman dan mengurangkan penggunaan baja kimia, pengapuran, kos buruh, dan masa penuaian.

Penggunaan pendekatan tersebut juga meningkatkan pengisian bijirin dan kualiti tanah selain daripada mengurangkan pencemaran alam sekitar menerusi penggunaan baja bukan organik yang berlebihan.

Tambahan pula, intervensi tersebut tidak menjejaskan amalan pertanian yang sedia ada (dari segi aktiviti agronomi) malah lebih mempertingkatkannya

 Dengan itu, pendekatan tersebut membolehkan petani mengoptimumkan input ladang mereka bagi memaksimumkan output mereka pada kos yang lebih rendah.

“Apa yang lebih menggalakkan ialah kami berjaya menyalurkan pendekatan ini kepada sesetengah petani padi di Sebauh dan Sugai Asap, Sarawak, dan Pekan, Pahang melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Bersepadu (IADA), Pekan, Pahang, yang membolehkan mereka memperoleh hasil tanaman kepada  lapan hingga 10 t/ha berbanding dengan purata kebangsaan sebanyak empat hingga lima tan sehektar (ha),’’ katanya.

Kejayaan tersebut sekali gus membolehkan petani terbabit dapat meraih keuntungan bersih sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 setiap ha.

Keuntungan tambahan daripada pendekatan tersebut juga memastikan kitaran semula jerami padi dan sekam dalam penanaman padi.

Matlamat utamanya adalah untuk menyumbang kepada pencapaian keselamatan makanan di negara ini selain peningkatan yang ketara dalam pendapatan petani dan taraf hidup serta berupaya mengurangkan bil import baja.

Ia dapat dilakukan dengan mengurangkan penggunaan baja kimia yang tidak seimbang dan mengelakkan pembakaran terbuka bahan buangan yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar (air, udara, dan tanah).

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, penggunaan nutrien tanaman yang penting dan tidak mencukupi terutamanya, fosforus dalam tanah asid di negara ini adalah berkaitan dengan kandungan aluminium dan ion besi yang tinggi dalam tanah yang mana fosforus tidak tersedia dalam tanah sebab diikat oleh ion ini.

Walau bagaimanapun, kaedah konvensional untuk menguruskan permasalahan tersebut seperti contoh pengikatan fosforus oleh ion aluminium dan besi adalah melalui penggunaan baja kapur dan fosfat secara berlebihan untuk menyerap ion aluminium dan besi.

Disebabkan pengawalan pengikatan nutrien melalui penggunaan baja kimia fosfat dan pengapuran yang berlebihan tidak boleh diperbaharui dan tidak berdaya maju, adalah elok mempraktikkan penggunaan bahan organik yang berdaya maju dari segi ekonomi dan mesra alam.

Bagaimana ia berfungsi

Kumpulan tersebut telah mengubah beberapa sisa agro-industri seperti sekam dan jerami padi menjadi bahan organik atau pemulih tanah yang kaya dengan sebatian organik seperti asid humik, asid fulvik, dan humin.

Apabila bahan organic atau pemulih tanah digunakan semasa penyediaan tanah untuk penanaman padi.

Sebagai contoh, sebatian organik yang mengandungi cas negatif yang tinggi dapat bertindak balas dengan ion aluminium dan besi yang berlebihan dalam tanah dan mengikat ion-ion ini serta menghalang daripada memusnahkan akar tanaman disebabkan oleh ketoksikan.

Maka pendekatan tersebut juga dapat menghalang ion aluminium dan besi daripada mengikat nutrien tanaman yang penting seperti N, P, dan K yang tidak tersedia untuk tanaman menjadi lebih tersedia untuk kegunaan tanaman.

Selain itu, pendekatan tersebut mampu menyahaktifkan ion daripada menyebabkan keasidan tanah melalui hidrolisisnya.

Dengan teknik pengkondisian atau detoksifikasi atau pemulihan tanah (pemulihan kesuburan/ kesihatan tanah), petani juga dapat mengurangkan penggunaan kapur yang kerap dan mahal, dan pada masa yang sama membantu dalam peningkatan yang signifikan dalam hasil tanaman dan pendapatan mereka tanpa merendahkan kualiti persekitaran (tanah, air, dan udara).

Pendekatan ini merupakan inovasi penjimatan kos dari segi buruh, penggunaan baja, penggunaan sisa, dan masa penuaian (tuaian awal).

Guna bahan sisa pertanian

Kejayaan kumpulan tersebut menggunakan bahan organic atau perapi tanah sebagai salah satu daripada intervensi projek Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS) yang bertajuk Memaksimumkan hasil beras dan daya maju ekonomi dengan menggunakan bahan humik yang diaktifkan daripada jerami dan sekam.

“Kami telah mempatenkan inovasi kami di Malaysia, Thailand, Indonesia, Eropah, dan Amerika Syarikat, dan juga mencadangkan aplikasi, kesan, kegunaannya dan potensi pasaran kepada masyarakat secara menyeluruh,” ujarnya.

Dalam pada itu penyelidikan tersebut kini berada di peringkat pelanjutan pelesenan dan pengkomersialan teknologi bersama sebuah syarikat tempatan.

Pengarah Taman Sains Putra dan pegawai juga terlibat dalam memudahkan proses pelesenan dan pengkomersialan teknologi tersebut.

Dengan kejayaan tersebut beliau berharap isu kos pengeluaran tanaman termasuk beras di Malaysia dan di tempat lain yang ketikaagak mahal kerana produktiviti setiap pekerja yang terlibat adalah rendah akan dapat diatasi.

Isu tersebut perlu diatasi bagi memastikan keselamatan makanan, khususnya, keselamatan beras yang menjadi keperluan bagi Malaysia perlu dipertingkatkan bukan sahaja dari segi hasil tetapi juga harus mengurangkan kos pengeluaran, supaya pendapatan dan kesejahteraan ekonomi penanam padi dan tanaman lain dapat ditingkatkan dengan ketara.

Oleh itu, sangat penting untuk mempertingkatkan amalan pengeluaran padi semasa seperti penggunaan baja kimia yang berlebihan, penjagaan kualiti tanah atau produktiviti yang lemah, dan hasil pengeluaran padi yang rendah.

Projek ini melibatkan beberapa peringkat yang disokong oleh geran penyelidikan seperti Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS), Skim Geran Penyelidikan Asas (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS), Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia dan Geran Putra, UPM.

Kelebihan teknologi

*Menggandakan hasil tanaman seperti beras jagung, dan sayur-sayuran.

*Meningkatkan pendapatan bersih petani.

*Mengurangkan kos buruh

*Menuai tanaman seawal 10 hingga 20 hari.

*Merapikan tanah dari ketoksikan aluminium dan besi khususnya

  • -Sebagai ejen pengapuran untuk mengurangkan keasidan tanah dan mengurangkan pengikatan fosforus

*Meningkatkan kecekapan penggunaan nutrien dan agronomi

-Kitar semula sisa pertanian dan industri melalui pengeluaran bahan organik yang mudah

-Intervensi ini tidak mengganggu amalan pertanian yang sedia ada (dari segi aktiviti agronomi) malah mempertingkatkannya oleh yang demikian, penerimaannya membolehkan petani mengoptimakan input ladang mereka untuk memaksimakan output mereka pada kos yang lebih rendah

*Pengurangan penggunaan baja bukan organik

Perlindungan harta intelek

• Paten yang dianugerahkan di Amerika Syarikat: US 9,139,485B2

• Paten yang dianugerahkan di Indonesia: IDP 000045539

• Paten yang difailkan di Eropah: EP 12822678.4

• Paten yang difailkan di Malaysia: PI 2011003712

• Paten yang difailkan di Thailand: 140100682

Sasaran pengguna

  • Peladang, termasuk pihak estet
  • Industri pembuatan baja dan industri yang berkaitan
  • Pihak pengurusan dn penggunaan sisa
  • Penggiat alam sekitar

Pengiktirafan

  • Pingat emas, PRPI, UPM 2016
  • Empat buku
  • Beberapa jurnal dalam penerbitan berwasit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *