Dilema rumput padang stadium

Isu kualiti rumput di stadium di negara semakin mendapat perhatian  bukan sahaja pemain bola sepak tetapi juga penganjur kejohanan  tertentu.

Kualiti rumput yang tidak sempurna bukan sahaja mengundang  rasa tidak pua hati dalam kalangan penganjur tetapi mencetuskan kebimbangan atlet yang terdedah kepada kemungkinan cedera.

Masalah tersebut menurut pakar penyelidikan rumput tempatan Prof Dr. Shukor Juraimi  berpunca daripada tiga punca utama.

Berkongsi isu tersebut kepada jurnal.my dalam satu pertemuan di pejabatnya baru- baru ini beliau berkata, tiga punca utama adalah reka bentuk padang stadium , kerja kerja pembinaan yang terdiri daripada mereka yang mahir dan ketiga, isu penyelenggaraan atau penjagaan.

Ketiga-tiga faktor tersebut kata beliau perlu diberi perhatian kepada pembina atau pemilik stadium bagi memastikan kualiti rumput stadium terpelihara.

Faktor reka bentuk padang dan stadium menentukan sama ada rumput yang ditanam boleh tumbuh subur.

Perkara penting dalam isu ini termasuklah antaranya apakah jenis atau  varieti rumput yang digunakan, ketebalan spesifikasi padang dan peruntukan.

“Spesifikasi yang saya maksudkan antaranya apakah media tanah yang digunakan, ketebalan rumput, pengairan yang sesuai dan pengudaraan dalam stadium .

Aspek kedua yang tidak kurang pentingnya adalah perlunya kontraktor pembinaan yang mahir bukan sahaja dalam pembangunan struktur stadium tetapi juga padang.

“Kontraktor mesti ada peruntukan besar untuk projek penanaman rumput yang sesuai, dan reka bentuk stadium yang mengambil kira kepentingan rumput yang ditanam seperti pengudaraan dalam stadium dan pencahayaan dan sebagainya, ‘ ujarnya kepada jurnal.my.

Aspek ketiga yang tidak kurang pentingnya adalah penyelenggaraan khususnya kepada rumput stadium. Rumput biasanya mempunyai medianya sendiri , panjang akar minimum lima inci dan lebih baik sekiranya melebihi panjang tersebut.

Penjagaan rumput amat penting kerana aset utama stadium adalah rumput yang digunakan, dipijak dan disepak , maka penjagaannya sangat penting. Maka kos penjagaan rumput juga perlu disediakan.

Rumput boleh digunakan sekurang-kurangnya empat bulan selepas ditanam, dan lebih elok sekiranya selepas enam bulan.

Jika tidak dijaga sebaik-baiknya, maka ada kemungkinan rumput rosak hanya selepas enam bulan atau setahun selepas itu.

“Rumput juga organisma hidup perlu makanan dan bernafas, maka, perlu dijaga sebagai benda hidup, ” ujarnya.

Mengenai jenis rumput yang popular digunakan oleh stadium bola sepak beliau berkata, antaranya adalah cowgrass dan Bermuda selain zoysia .

Kata beliau, antara punca rumput rosak berpunca daripada masalah air bertakung disebabkan masalah pengaliran.

“Media rumput adalah pasir dan organik sebagai media tanaman yang memegang rumput berkenan sebelum ditanam. Tanah yang menakung air akan jadi kepingan,’’ujarnya.

Biasanya selepas beberapa bulan ditanam,  rumput akan tumbuh beberapa inci. Perlu kerja-kerja pengujian sebelum ditanam.

Selain itu beliau juga terlibat dengan projek pembinaan Akademi  Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang Kuantan  sebagai perunding bagi kemudahan padang stadium.

Padang tersebut menggunakan rumput cowgrass bagi empat padang dan sebuah lagi menggunakan rumput Bermuda.

Dr. Abdul Shukor yang juga Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata. sebelum ini beliau menghasilkan rumput Satiri yang yang digunakan khusus untuk padang golf dan lawn ball yang kini digunakan oleh Kelab Golf UPM dan Nilai Spring .

Ciri ciri rumput cowgrass

-Lasak

-Kurang masalah penyakit

-Kurang penggunaan baja

Kurang serangan perosak

Kelemahan

Daun kasar

Ciri-ciri rumput Bermuda

-Halus

-Cantik dan padat

-Pertumbuhan cepat

-Pergerakan bola lebih laju lancar

Kelemahan

-Penjagaan yang rumit.

-Kos tinggi

-Penggunaan baja yang banyak.

Kelemahan

-Mudah diserang penyakit

Ciri ciri rumput Zoysia

-Asal Jepun Korea

-Fizikal menyerupai Bermuda.

-Berdaun halus

Kelemahan

–Pertumbuhan agak perlahan

-Tajam dan mudah melukakan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *