Teknologi Muricata shaker bantu pendebungaan durian belanda

Durian Belanda (Annona muricata) adalah daripada famili Annonaceae yang mempunyai buah jenis komposit dan berduri lembut. Rasanya yang unik iaitu masam manis , sesuai untuk dimakan segar dan diproses.

Bunga durian belanda adalah bersifat hermafrodit iaitu organ pembiakan jantan dan betina terdapat pada bunga yang sama. Ia juga bersifat dichogamous protogynous iaitu kematangan bunga melalui dua fasa iaitu fasa betina dan fasa jantan berlaku pada waktu yang berlainan. Fasa betina bermula seawal pukul 4 hingga 5 petang manakala fasa jantan pukul 8 hingga 9 malam (Ithnin, 2012).

Hasil kajian dan pemerhatian yang dijalankan, teknologi pendebungaan berbantu‘Muricata shaker’ dapat meningkatkan peratus pembentukan buah sehingga 90 peratus berbanding pendebungaan secara semula jadi, peratus kejadian buah ialah enam peratus manakala pendebungaan berbantu menggunakan berus lukisan bagi memindahkan debunga ke stigma, peratus kejadian buah antara 30 hingga 40 peratus.

Teknologi ‘Muricata shaker’  ini bagaimanapun perlu digunakan secara pakej dengan mengambil kira faktor-faktor  berikut:

a. Masa yang tepat, iaitu disyorkan supaya aktiviti pendebungaan berbantu ini dilakukan pada pukul 8 hingga 10 malam.

Stigma (lekit)
Stamen  dan debunga terbentuk

b. Pemilihan bunga yang tepat, iaitu bunga jantan telah mula matang.Pada bunga yang sama, fasa bunga betina telah matang pada sebelah petangnya. Peringkat kematangan fasa betina boleh dikenalpasti apabila :

i. Kelopak bunga menjadi kekuningan dan sedikit terbuka.
ii. Bahagian stigma terdapat lendir dan melekit.

Kegagalan mengenal pasti bunga yang sesuai akan menggagalkan aktiviti pendebungaan yang dilakukan.

c. Kaedah/alat yang tepat. Matlamat alat ini dicipta bertujuan membantu pemindahan debunga kepada stigma dengan kaedah goyangan/gegaran. Kaedah yang disyorkan ini  merupakan yang paling mudah dan sangat berkesan. Cangkuk  Y dwi fungsi memudahkan aktiviti menolak atau menarik dahan untuk menghasilkan kesan goyangan pada bunga.

Apabila goyangan dibuat, debunga yang tersedia akan dipindahkan kepada stigma yang masih melekit (dalam keadaan kelopak bunga masih tertutup). Aktiviti ini akan menghasilkan pendebungaan yang sempurna kepada keseluruhan stigma, akan memberikan bentuk buah yang seragam seperti jantung dengan berat purata 2-3 kg/biji.

Inovasi ini dihasilkan dengan kos yang rendah dan mampu milik, Ia mudah diselenggara dan digunakan oleh pengusaha. Hasil pengeluaran buah yang berkualiti berjaya ditingkatkansehingga 90 peratus.

Berikut adalah jadual perbandingan tiga (3) kaedah pendebungaan durian belanda.

Artikel disediakan oleh:
Mufiddah Mohamad, Azlina Md Dom, Mohd Zahid Hassan dan Mujahid  Masfod daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Kompleks Pertanian Ayer Hitam, Ayer Hitam, Johor.

One thought on “Teknologi Muricata shaker bantu pendebungaan durian belanda”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *