Modal RM20 ceburi bisnes ikan hiasan

Tidak seperti kebanyakan mereka yang menceburi bidang perniagaan, terpaksa  mengeluarkan  modal tinggi dan menimba ilmu terlebih dahulu, tetapi tidak bagi Wan Mohamad Fais  Wan Sanusi yang mengusahakan ikan hiasan jenis betta bermula 2017.

Didorong oleh minat yang mendalam dalam hidupan akuatik , dia hanya memerlukan modal serendah RM20 bagi menterjemahkan hobi tersebut kepada perniagaan.

“Tetapi keluarga sangat membantu pembabitan saya di peringkat awal lagi, ‘’ ujarnya yang mengusahakan projek di kawasan rumah.

Dia yang menceburi bidang tersebut dengan usaha sendiri dan belum mendapat bimbingan daripada mana-mana pihak serta tanpa bantuan pinjaman bank, kini mampu menarik nafas lega. Ini kerana dalam tempoh yang singkat, dia dapat mencapai kejayaan membanggakan dengan jumlah ternakan ikan kini mencecah  600 ekor daripada enam varieti. Varieti ikan yang diternak antaranya termasuklah crow tail,  double tail, half moon dan koi.

KejayaanWan Mohamad Fais  Wan Sanusi wajar memberi inspirasi kepada golongan muda

Dengan cara belajar sendiri dia mampu mengeluarkan ikan menerusi kaedah pembenihan pada kadar 50 ekor sehari

“Cabaran utama membesarkan fry (anak ikan) dengan sihat dan bebas penyakit serta kawasan projek yang sangat terhad,”” ujarnya.

Namun selepas projek diusahakan kira-kira tahun, dia mampu tersenyum lega apabila ikan yang diternak mendapat permintaan tinggi di pasaran dengan dijual pada harga antara  RM5 hingga RM 200 seekor megikut gred.

Dia memasarkan ikan tersebut menerusi pelbagai cara iaitu sama ada atas talian (online) pameran acara pertanian di sekolah dan majlis kenduri.

Dia yang kini mengusahakan projek tersebut menerusi syarikat Betta Planet yang ditubuhikan pada 2017 dan bertindak sebagai  pengurus serta dibantu oleh seorang rakan  berharap dan mengembangkan lagi usaha tersebut dengan mengusahakannya  di kawasan yang lebih luas pada masa akan datang bagi meningkatkan jumlah ikan yang diternak.

Salah satu kaedah Betta Planet memasarkan ikan hiasan adalah dengan menyertai pameran.

“Harapan saya supaya generasi baharu dapat mengenali ikan  yang pernah memberi hiburan suatu ketika dulu  berbanding kanak-kanak masa kini yang lebih gemar bermain gajet, ‘’ ujarnya

Ini kerana katanya  ikan hiasan mempunyai daya penarik yang  tersendiri berdasarkan aksi dan gelagatnya selain warna yang cantik.

Dia turut menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin menceburi bidang tersebut supaya rajin bertanya dan tidak mudah berputus asa

Langkah demi langkah proses  pembiakan

  1. Memilih baka yang sihat dan matang.
  2. Menyediakan bekas yang sesuai dan bersih.
  3. Mengadakan sesi berkenalan antara ikan betina dan jantan sekurang- kurangnya 24 jam.
  4. Perhatikan  buih ikan jantan mengandungi telur dan keluarkan ikan betina.
  5. Jantan akan menjaga telur dan anak selama seminggu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *