UPM komersialkan vaksin kambing STVac7

SERDANG : Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya
mengkomersialkan inovasi vaksin STVac7 semburan intranasal untuk kambing dan biri-biri bagi mencegah penyakit yang menyerang paru-paru atau pneumonia kepada kumpulan haiwan tersebut dengan nilai jualan paten RM4 juta kepada syarikat BIO-Angle VACS Sdn. Bhd. (BAV).

Penjualan paten Mannhemia Haemolytica Bacterial Polypeptides and Sequences, Gene Sequences and Uses Thereof (MY-176715-A) telah dimeterai melalui perjanjian tiga hala melibatkan UPM, UPM Innovation Sdn Bhd dan BAV yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff.

Turut hadir bagi menyempurnakan sesi penjualan paten itu antaranya , Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Pengerusi BIO-Angle VACS Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Innovations Sdn Bhd, Azrul Reza Aziz.

PROF MOHD ZAMRI SAAD

Mohd Roslan berkata, permeteraian Perjanjian Penjualan Paten kepada pihak BAV merupakan nilai penjualan pengkomersilan tertinggi yang dicapai oleh UPM setakat ini.

“Kejayaan pengkomersialan ini adalah hasil usaha sama di antara Putra Science Park UPM dan UPM Innovations yang juga merupakan anak syarikat UPM Holdings,” katanya.

Tambah beliau, BAV kini dalam proses membina fasiliti bernilai RM8 juta untuk pengeluaran STVac7 serta fasiliti bakteria vaksin bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) ini adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan mampu membuat pengeluaran sehingga 300,000 botol dalam masa setahun.

“Ia telah pun 80 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku terakhir 2022 setelah mendapat persijilan dan akreditasi GMP daripada badan kawal selia tempatan,” katanya.

Dalam pada itu Dr. Mohd Daud berkata, BAV menyasarkan sebanyak 20 juta kambing dan bebiri iaitu bersamaan dengan satu peratus daripada jumlah keseluruhan populasi kambing dan bebiri di seluruh dunia.

Melalui unjuran ini, BAV berpotensi untuk menjana pendapatan sebanyak RM320 juta (USD80 juta) setahun.

“Hasil kerjasama erat ini, BAV telah menandatangani perjanjian jual beli dengan dua
syarikat luar negara untuk memasarkan 100,000 botol STVac7 ke negara China dan Nigeria
sementara pasaran lain seperti India, Pakistan, Bangladesh, Mongolia, Senegal, Indonesia, Amerika Selatan kini dalam proses penilaian serta perbincangan dan bakal dimeterai kelak,” katanya.

Vaksin STVac7 merupakan vaksin jenis semburan intranasal pertama bagi mencegah penyakit paru-paru atau pneumonia yang menyerang kambing dan biri-biri yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd. Zamri Saad dari Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM.

Beliau berkata, vaksin yang dibangunkan itu mampu memberikan lebih 90 peratus perlindungan terhadap penyakit pneumonia yang disebabkan oleh virus Pasteurella haemolytica.

“Virus Pasteurella haemolytica adalah bakteria yang menyebabkan mannheimiosis’ atau jangkitan radang paru-paru bagi kambing dan biri-biri dan ia merupakan penyakit biasa yang boleh menyerang 60 peratus populasi kambing dan bebiri di dunia akan mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar kepada industri ruminan kecil di seluruh dunia,” katanya.

Tambah beliau, vaksin yang sedia ada bagi mencegah penyakit itu merupakan vaksin import dan dihasilkan daripada jenis asing dan diberi secara suntikan intraotot kepada kambing dan biri-biri. Vaksin jenis itu didapati bukan sahaja tidak berkesan, tetapi mahal.

“Vaksin STVac7 dicipta dengan menggunakan bakteria terpencil tempatan yang didapati mampu memberi perlindungan daripada jangkitan bakteria Mannheimia haemolytica A2, A7 dan A9 serta terbukti memberi perlindungan yang lebih berkesan untuk menangani penyakit tersebut,” katanya.

Katanya, memandangkan sistem pernafasan merupakan kaedah utama jangkitan berlaku, konsep vaksin itu adalah untuk memperkukuhkan tahap ketahanan sistem badan pada sistem pernafasan.

Pemberian vaksin tersebut secara semburan pada hidung memberi perlindungan kepada sistem pernafasan kambing dan biri-biri secara setempat dan sistemik. Dengan ini meningkatkan kadar keberkesanan proses vaksinasi. Kaedah ini turut memendekkan 80 peratus masa pemvaksinan.

Ujian yang dijalankan oleh pihak FPV dengan kerjasama daripada pihak BAV, hasil dapatan kajian lapangan dan kajian klinikal, jika vaksin tersebut digunakan mengikut protokol yang disyorkan, ia mampu mengurangkan kadar mortality (kadar kematian) antara tiga hingga lima peratus
tidak memerlukan tempoh penarikan sebelum proses penyembelihan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *