MPOB tawar loji rintis canggih,kepakaran R&D untuk pengusaha makanan

BANGI : Pengilang dan pengeluar produk minyak dan lemak harus memanfaatkan kemudahan loji rintis dan makmal canggih Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan juga kepakaran penyelidikan dan pembangunannya dalam pembuatan minyak dan lemak.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya telah melabur dengan banyak dalam loji-loji rintis tersebut yang kebanyakannya terletak di Ibu Pejabatnya di Bangi.

Penyelidik MPOB menawarkan kepakaran mereka dalam pembangunan produk makanan berasaskan minyak sawit dari aspek formulasi, pemprosesan dan pemeliharaan semasa penyimpanan dan pengangkutan.

Di samping itu, kepakaran mereka termasuk memperbaiki produk berasaskan minyak sawit bagi pengeluar yang sedia ada.

“Loji perintis dan kemudahan makmal MPOB juga disewakan kepada pengeluar untuk penyediaan sampel produk makanan berasaskan minyak sawit untuk pengembangan pasaran atau percubaan formulasi baharu atau menambah baik formulasi.

“Kemudahan ini juga berguna untuk pengeluar minyak dan lemak untuk memformulasikan dan pengoptimuman proses,” kata Dr Ahmad Parveez.

Loji rintis Perfector mampu menghasilkan marjerin berasaskan minyak sawit, termasuk marjerin meja lembut, marjerin bata, marjerin kek, dan marjerin untuk pastri; lelemak cecair dan pepejal; serta ghee sayur-sayuran.

    "Pengilang makanan dari Syria, Pakistan, India, Turki, dan Sweden telah menggunakan formulasi makanan berasaskan minyak sawit yang dibangunkan oleh penyelidik kami. Formulasi ini terutamanya adalah produk seperti marjerin, minyak kelapa sawit, minyak sayur, ghee sayur (Vanaspati), pengganti lemak haiwan dan lemak konfeksi,” tambah beliau.

MPOB juga mengadakan kursus praktikal pembuatan marjerin untuk peserta tempatan dan asing, yang memberikan mereka pengalaman langsung dalam menggunakan formulasi minyak sawit untuk pelbagai produk lemak.

Dr Ahmad Parveez berkata, penubuhan kilang perintis dan kemudahan makmal akan membantu memperhebatkan usaha MPOB untuk pengkomersialan dan meningkatkan mekanisma dan infrastruktur yang sedia ada yang dapat meningkatkan hubungan dengan industri dan bakal pengguna di masa akan datang.

Beliau juga berkata MPOB sedang dalam proses membangunkan kemudahan dan perkhidmatan R&D untuk industri kecil dan sederhana (IKS) dan syarikat pemula dalam teknologi di Malaysia yang seterusnya dapat menjadi agen untuk menceburi pasaran yang lebih besar.

Menurut Dr. Ahmad Parveez, loji rintis itu juga merupakan salah satu strategi untuk merealisasikan potensi penuh MPOB sebagai agensi pembangunan dan penyelidikan yang menjadi pelopor dalam beberapa inovasi dan mempunyai rekod prestasi yang cemerlang.

Pengusaha yang terlibat dalam industri pengeluaran makanan boleh menghubungi Dr. Anis Mokhtar, Ketua Unit Pelaksanaan Korporat dan Perundingan, MPOB di talian + 603-8769 4574 atau Suraya Mohamad di talian + 603-8769 4579. Pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel [email protected]

       

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *