Malaysia dikenali sebagai destinasi pelancongan Islam paling popular dalam pasaran pelancongan muslim global.
Kejayaan Malaysia mengekalkan kedudukan berada dalam Indeks Pelancongan Muslim Global 2018 oleh Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2018 lapan tahun berturut-turut adalah satu kebanggaan buat semua.
Dalam usaha untuk mempromosikan Pelancongan Islam ini di Malaysia, satu aplikasi mobile telah dibangunkan bertujuan untuk membantu pelancong yang datang ke Malaysia khususnya untuk merancang perjalanan mereka.
Aplikasi tersebut dibangunkan berdasarkan kajian awal yang telah dijalankan mendapati Industri Pelancongan Islam ini tidak mempunyai kemudahan aplikasi yang berfokus.
Aplikasi sedia ada lebih bersifat umum serta kriteria dan konsep pelancongan Islam ini tidak diketengahkan.
Dalam konteks pelancongan Islam, antara aspek yang paling utama untuk dititik-beratkan ketika melancong adalah makanan halal, penginapan mesra Islam dan aktiviti yang tidak melanggar hukum syarak.
Oleh itu, aplikasi yang berkonsepkan Pelancongan Islam ini, yang diberi nama MFTrip (Muslim Friendly Trip) telah dibangunkan berdasarkan ciri-ciri Pelancongan Islam yang sebenarnya dimana maklumat yang dapat dicapai memenuhi kriteria yang sebenar.
Pelancong boleh menggunakan aplikasi ini sebagai panduan atau alat bantuan untuk memudahkan perjalanan.
Pelancong boleh memasukkan input yang diperlukan seperti lokasi yang hendak dilawati, tempat-tempat yang menjadi pilihan utama, makanan malahan sehingga maklumat hotel juga, aplikasi akan mengesyorkan tempat- tempat yang mematuhi syariah yang sebenar mengikut konsep Pelancongan Islam.
Aplikasi ini dibangunkan berasaskan penyelidikan yang dibiayai oleh Islamic Tourism Center of Malaysia, diketuai oleh Dr Norshita Mat Nayan daripada Institut Informatik Visual , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama beberapa felo penyelidik lain.
Aplikasi MFTrip yang telah dibangunkan mengambil kira segala keperluan pelancong khususnya untuk pelancong yang berminat dalam Pelancongan Islam. Logo yang dibina dan digunakan dalam aplikasi ini juga mempunyai maksudnya yang tersendiri selari dengan konsep Pelancongan Islam yang sebenar.
Segala maklumat dan data yang dipaparkan kepada pengguna dari hasil carian, ciri-ciri utama aplikasi, kategori pelancongan yang dicadangkan, maklumat restoran dan hotel juga adalah selari dengan konsep Pelancongan Islam yang ditetapkan.
Restoran yang disenaraikan dalam MFTrip ini adalah restoran yang mempunyai sijil HALAL dari JAKIM serta hotel yang disenaraikan juga mempunyai sijil patuhan syariah dari pihak pemegang taruh (stakeholder)
Dengan wujudnya aplikasi ini, promosi Pelancongan Islam di Malaysia dapat dijalankan secara meluas dan secara tidak langsung ianya memberi impak besar kepada negara kita secara global. Kewujudan aplikasi ini membantu perkembangnya pelancongan Islam dan bukan saja dapat menggalakkan umat Islam untuk bermusafir dan melihat kebesaran Pencipta, secara tidak langsung dapat menyerbarkan kecantikan dan keindahan agama Islam secara global.