Dr. Ahmad Sabirin, Zairossani felo baharu Akademi Sains Malaysia

KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif Kumpulan, SIRIM Berhad, Datuk Ahmad Sabirin Arshad dan  Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) , Dato Dr Zairossani Mohd Nor adalah antara 39 Felo baharu dilantik oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bagi tahun 2022.

Mereka dilantik sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 agensi berkenaan baru-baru ini.

Kesemua mereka terdiri daripada saintis, jurutera dan pakar teknologi terkemuka negara.

Menurut kenyataan ASM, pelantikan sebagai Felo baharu ASM sekali gus melayakkan individu berkenaan menggunakan gelaran Fellow of the Academy of Sciences Malaysia atau singkatan FASc. selepas nama mereka.

“Ini merupakan pengiktirafan sains tertinggi negara melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994,” kata kenyataan tersebut.

Pemilihan berkenaan adalah mewakili individu terbaik di seluruh negara dalam lapan kumpulan disiplin iaitu Teknologi Maklumat & Sains Komputer, Sains Biologi, Pertanian & Alam Sekitar, Sains Kejuruteraan, Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri, Sains Perubatan & Kesihatan, Matematik, Fizik & Sains Bumi, Sains Kimia serta Sains Sosial & Kemanusiaan.

Kepakaran ASM kini berkembang dengan jumlah kesuluruhan 864 pakar yang diwakili oleh empat felo kehormat, 28 felo kanan, 426 felo, 225 Young Scientists Network-Academy of Sciences Malaysia (YSN-ASM), 119 Top Research Scientists Malaysia (TRSM), 51 ahli bersekutu dan 11 Mahathir Science Award Laureates.

Antara yang dilantik dalam kumpulan disiplin Sains Biologi, Pertanian & Alam Sekitar adalah Pengarah Jawatankuasa Etika Penyelidikan, Jabatan Kejuruteraan Bioproses & Polimer Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Ida Idayu Muhamad FASc dan Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Effendy Abd. Wahid FASc. manakala pelantikan Ahmad Sabirin mewakili kumpulan disiplin Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri.

Selain itu, penyelidik Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) , Profesor Datin Paduka Dr Fatimah Mohamed Arshad FASc dan Pengarah Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC), Dr Hjh Hafsah Mohd Ghazaly FASc. turut dilantik. Bagi kumpulan disiplin Sains Sosial & Kemanusiaan pula antaranya terdiri daripada Pengerusi Kerusi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu, Jabatan Pengajian Kerajaan dan Tamadun, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Anak Jawan FASc dan Pengerusi Epistemologi, Pengajian Tamadun dan Pembaharuan Al-Ghazali, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Professor Emeritus , Datuk Dr Osman Bakar FASc. Turut diumumkan adalah pelantikan Felo Kanan baharu iaitu Academician Datin Paduka Setia Dato’ Dr Aini Ideris FASc dan Dr Dzulkifli Abdul Razak FASc.

Dr Aini yang dilantik sebagai felo sejak 2009 adalah pakar dalam bidang Sains Biologi, Pertanian & Alam Sekitar. Beliau dikenali sebagai penyelidik terkemuka dan kepimpinan berprofil tinggi dalam pendidikan dan bidangnya serta penglibatan yang konsisten dan aktif di ASM manakala Dzulkifl yang dilantik felo pada 2008, diiktiraf atas pencapaian cemerlang beliau dalam pendidikan, penulisan prolifik mengenai kelestarian, isu kemasyarakatan, moral dan etika dalam Pembangunan Sains & Teknologi dan Industri.-Jurnal.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *