Harumanis sepanjang tahun?

Buah harumanis di negara ini datang hanya semusim tetapi sesekali ia muncul. Ia menjadi fenomena menyamai Raja Buah durian khususnya Musang King.

Rasanya sedap dengan tekstur yang lunak berlemak tetapi harganya agak tinggi dan kadangkala mengejutkan hingga RM40 sekilogram dan berat tersebut kadangkala untuk empat biji buah sahaja. Itulah keunikan mangga premium tersebut.

Mangga harumanis akan sekali lagi menjadi sebutan pada tahun ini . Dalam pada kita berdepan dengan penularan wabak COVID-19 , yang entah bila akan reda dan surut , harumanis mungkin akan terus menggamit peminatnya. Kehidupan perlu diteruskan, industri makanan perlu terus beroperasi.

Usaha seumpama itu menjadi tanggungjawab agensi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sejak dahulu yang terus menjalankan kajian dalam  bidang pertanian.

Agensi yang dimaksudkan , Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berusaha lebih lebih lima dekad dalam mentranformasikan pertanian negara meneruji kajian.

Dengan usaha berterusan, MARDI tidak terlepas pandang bagi memajukan tanaman harumanis tempatan yang banyak di bahagian utara Semenanjung khususnya Kedah dan Perlis.

Sebagai contoh , Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Sintok Kedah menggunakan struktur pelindung hujan dan kalis serangga bagi tanaman harumanis.

Penyelidikan tersebut juga dinamakan struktur terkawal yang dijalankan di plot penyelidikan tanaman mangga Agronomi Pusat Penyelidikan Hortikultur.

Menurut mantan Ketua  Stesen  Pusat Kecemerlangan  dan Inovasi Buah-buahan Tropika MARDI Sintok, Dr. Hartinee Abbas projek dimulakan pada Julai 2017 , melibatkan pembinaan struktur pelindung.

Beliau berkata, struktur tersebut melibatkan komponen jaring atau nakan jaring kalis  serangga pada sekeliling struktur, mempunyai satu pintu keluar masuk pengguna, struktur besi khas dan satu  pintu tolak bagi penggunaan jentera,

Katanya, komponen lain adalah dua kipas bagi pengudaraan di dalam sistem terkawal, pengairan separa automatik menggunakan sistem renjis dan plastik dan pelindung hujan lutsinar pada bahagian bumbung.

Sebuah radas stesen cuaca(weather station) diletakkan di dalam struktur bagi tujuan mencerap data suhu, kelembapan dan pergerakan angin.

Beliau berkata, antara tujuan struktur itu dibina adalah bagi membangunkan pakej teknologi penanaman mangga harumanis bagi pembuahan di luar musim atau sepanjang tahun secara terkawal

“Tujuan kedua adalah bagi mengurangkan kos input penggunaan racun perosak penyakit dalam proses penyelenggaraan pada tanaman mangga harumanis , ‘’ ujarnya yang kini merupakan Timbalan Pengarah Program Agronomi dan Sistem Pengeluaran Pusat Penyelidikan Padi dan Beras Seberang Perai Pulau Pinang.

Hartine berkata, selepas struktur siap dibina pada Julai 2017, sebanyak 54 pokok mula ditanam pada November tahun yang sama.

Jenis pokok yang ditanam adalah anak cantuman daripada sumber terpilih ladang mangga Pusat HR bagi kajian selama 22 bulan.

Beliau brkata kajian fasal I  di dalam struktur pelinduing itu bertujuan mengkaji kesan kaedah aplikasi aruhan pembungaan mangga Harumanis terhadap kadar pertumbuhan vegetatif, reproduktif dan hasil di dalam struktur terkawal

 “Kita mahu tahu atau menentukan kaedah bersesuaian dalam mengaruh pendebungaan mangga Harumanis di dalam sistem terkawal,” ujarnya.

Justifikasi kajian adalah mangga Harumanis merupakan sejenis tanaman bersifat perennial  dan bermusim.

Pembuahan Harumanis dipengaruhi faktor agroiklim yang spesifik di samping faktor agronomi yang lain.

“Oleh demikian, aplikasi struktur terkawal disyaki dapat memberikan keadaan persekitaran yang sama dan dapat dikawal mengikut keadaan cuaca persekitaran luar yang diperlukan pokok Harumanis untuk berbuah, ‘’ ujarnya lagi

Justeru, aplikasi aruhan pembungaan dikaji dalam mengaruh pembuahan Harumanis di dalam struktur terkawal bagi memperoleh hasil di luar musim atau sepanjang tahun.

Menurut beliau setakat ini pihaknya mendapati penanaman harumanis dlm struktur pelindung membolehkan petani merancang pengeluaran sepanjang tahun dengan menggunakan aplikasi pengawalatur tumbuhan (hormon) yang dinamakan paclobutrazol.

Selain beliau, turut berada pasukan penyelidikan tersebut adalah Muhamad Hafiz Muhamad Hassan, Nor Dalila Nor Danial, Wan Mahfuzah Wan Ibrahim dan Zul Helmey Mohamad Sabdin.

Ringkasan Fasa Penyelidikan

Fasa kajian I :

1) Penanaman pokok Harumanis – Disember 2017

2) Penentuan keadaan persekitaran, fisiologi pokok dan keadaan tanah di dalam struktur terkawal – Mei 2019

3) Penentuan pertalian keadaan persekitaran pada pertumbuhan vegetatif dan keadaan fisiologi pokok mangga Harumanis – Julai 2019

4) Aplikasi rawatan kajian – Ogos 2019

5) Penentuan pertalian keadaan persekitaran dan rawatan kepada pertumbuhan vegetatif dan reproduktif pokok mangga Harumanis – Ogos 2020

6) Penentuan pertalian keadaan persekitaran dan rawatan kepada hasil dan kualiti buah pokok mangga Harumanis – Disember 2020

Fasa kajian II :

1) Aplikasi rawatan sistem pangkasan dan penjarangan berstruktur tanaman mangga Harumanis – Januari 2021

2) Aplikasi pakej rawatan aruhan pembungaan terhadap pengeluaran hasil dan kualiti tanaman mangga Harumanis – Jun 2021

3) Verifikasi hasil dan kualiti tanaman mangga Harumanis – Oktober 2021  

Info

*Saiz struktur : 3 bay (bahagian) – 34 meter panjang, 21 meter lebar dan 8 meter tinggi

*Keluasan : 714 meter2/ 0.18 ekar

*Jenis bumbung : Bumbung melengkung bentuk C

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *