Prof. Dr. Rusea Go bukanlah asing dalam dunia botani memandangkan kepakarannya dan latar belakang kerjaya pendidikan amat dekat dengan bidang tersebut terutama bunga orkid.
Lebih tiga dekad merakam pencapaian menakjubkan menjadikan beliau begitu sinonim dengan orkid.
Beliau yang layak digelar Ratu Orkid kerana mengabdikan seluruh hidupnya mengkaji orkid kadangkala rasa kecewa dengan aktiviti penbangan hutan. Ikuti luahan rasa beliau yang juga profesor botani di Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM kepada wartawan jurnal.my, LAUPA JUNUS.
Apakah bidang kepakaran Prof.
Prof. Dr. Rusea Go : Bidang kepakaran saya adalah Sistematik dan Pemuliharaan Tumbuhan (Famili Orchidaceae & Tumbuhan Ubatan)

Sejauh mana bidang tersebut penting?
Prof. Dr. Rusea Go : Mengenali kepelbagaian biodiversiti penting untuk menentukan kesihatan dan produktiviti ekosistem iaitu setiap spesies, tidak kira betapa kecil, semua mempunyai peranan penting. Pemuliharaan biodiversiti berkait rapat dengan pemulihan ekosistem dan perlindungan sumber semula jadi untuk kesejahteraan sejagat.
Apakah kita mampu melahirkan ramai pakar dalam bidang ini?
Prof. Dr. Rusea Go : Bidang ini memerlukan komitmen dan minat yang mendalam terutamanya kesediaan untuk meredah hutan belantara.
Sejujurnya tidak ramai orang muda pada zaman sekarang sanggup bekerja Di lapangan terutamanya di hutan.
Bidang ini cuma dapat dikuasai sepenuhnya melalui pengalaman kerja lapangan dan tidak dengan hanya menerusi pembacaan bahan rujukan. Malaysia dianugerahkan hutan yang luas dengan biodiversiti yang tinggi. Tiada negara lain yang lebih sesuai dijadikan tempat mengkaji biodiversiti selain di hutan hujan yang luas seperti di Malaysia, dan amat sesuai untuk melahirkan ramai ahli botani yang kompeten.

Sepanjang penglibatan Prof. apakah pengalaman yang paling mengecewakan
Prof. Dr. Rusea Go : Penebangan hutan yang tidak terkawal.
Bagaimana kita hendak meningkatkan minat dan kesedaran masyarakat dalam bidang kepakaran Prof?
Prof. Dr. Rusea Go : Lebih banyak dana untuk pemantauan biodiversiti diperlukan bagi menghasilkan pangkalan data yang boleh membantu perancangan pemuliharaan.
Untuk mencapai integrasi penuh, usaha bersepadu dan berterusan diperlukan untuk membina pasukan yang mantap dan interaktif dalam kalangan penyelidik biodiversiti dengan komuniti tempatan perlu dipertingkatkan. Caranya adalah dengan memberi didikan kesedaran pentingnya biodiversiti dan latihan dan bagaimana menangani masalah kemerosotan biodiversiti yang berterusan supaya mereka menyayangi biodiversiti.
Apakah yang Prof. lakukan sebagai sumbangan setakat ini.
Prof. Dr. Rusea Go: Saya telah banyak menyumbang dalam mengkaji kepelbagaian biologi terutamanya orkid dan telah mendokumentasikan lebih daripada 250 makalah, 12 buah buku dan lebih 100 prosiding. Saya adalah wakil tunggal Malaysia ke Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula jadi (IUCN) Suruhanjaya Kemandirian Spesies (SSC) Kumpulan Pengkhususan Orkid . Ia berperanan untuk memberi nasihat dan sokongan teknikal terhadap usaha antarabangsa dan tempatan mengenai inisiatif pemuliharaan kepelbagaian orkid, termasuklah antaranya penyelidikan dokumentasikan kepelbagaian orkid, memelihara, memulihara, dan menguruskan habitatnya dengan berkesan.
Saya bersama rakan-rakan pencinta orkid giat menyelamatkan orkid daripada kawasan pembalakan dan dihidupkan ditempatkan dengan teduhan atau konservatori dengan harapan satu hari nanti benih ini akan digunakan untuk program restorasi hutan simpan.

Apakah perancangan Prof. akan datang.
Prof. Dr. Rusea Go: Saya ingin meningkatkan usaha dalam pemuliharaan kepelbagain hutan dengan merealisasikan pengenalan semula spesies orkid yang terancam ke habitat asalnya sambil meneruskan usaha menyelamatkan spesies ini dari kawasan hutan terganggu, terutamanya kawasan pembalakan, dibawa ke pusat konservatori bagi tujuan pemulihan.
Saya juga ingin menjalankan penyelidikan berskala besar berkaitan dengan penghuraian kumpulan atau spesies tumbuhan yang kompleks melibatkan koleksi spesimen dari seluruh dunia. Selain itu, saya juga ingin meneruskan projek propagasi dan DNA barcoding untuk spesies tumbuhan terancam bagi tujuan pemuliharaan, dan hasil daripada propagasi ini berpotensi untuk industri florikultur dan dikomersialkan di peringkat global.
Biodata

Prof Dr. Rusea Go
Asal : Sarawak
Pendidikan :
- Ijazah Sarjana Muda Sains Botani (Kepujian) – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1989.
- Ijazah Sarjana (Botani) – UKM 1993
- Doktor Falsafah (Botani – Taksonomi Tumbuhan dan Konservasi ) UKM 1999.
Jawatan: Profesor botani
- Timbalan Pengarah, di Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi UPM.
Pengalaman :
- Hasil penjelajahan hutan belantara sejak 30 tahun, beliau menemukan, memerihalkan dan menerbitkan 25 spesies tumbuhan baharu untuk sains dengan 12 daripadanya orkid.
- Beliau juga berjaya memperoleh pelbagai dana penyelidikan berjumlah lebih daripada RM3 juta, dengan kebanyakan geran yang diterima daripada organisasi antarabangsa.
- Peruntukan yang diberikan sebagai pengiktirafan kepada peranan beliau memajukan pengetahuan botani tropika dan penemuan biodiversiti di Malaysia, khususnya orkid, tumbuhan ubatan, dan pengetahuan etnobotani rakyat pribumi Malaysia.
- Sejak 2001 beliau menyelia dan mendidik seramai 42 pelajar pascasiswazah Phd. (lapan orang) sarjana (34), dan prasiswazah (172).