Fakulti Kejuruteraan UPM ke Riau kongsi teknologi penapis air

Pada 9 hingga 12 Disember 2019, pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Fakulti Kejuruteraan telah melaksanakan kegiatan program penapisan air gambut di Kepulauan Meranti, Riau, Indonesia.

Program tersebut dilaksanakan di dua lokasi iaitu Masjid Solihin, Desa Bagan Melibur dan rumah penduduk di Desa Lukit.

Projek betkenaan adalah hasil kerjasama Fakulti Kejuruteraan UPM dengan EMP Malacca Strait SA, Sekolah Tinggi Keguruan dan Ilmu Pendidikan (STKIP) Meranti, Rumah Pintar Berlian, dan Pemerintah Desa Bagan Malibur, Kecamatan Merbau Kabupaten Kepulauan Meranti.

Pasukan penyelidik UPM tersebut diketuai oleh Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan Prof. Madya Dr. Khalina Abdan, ,diiringi oleh pensyarah kanan, Dr. Siti Hajar Ariffin, dua orang staf teknikal,  Zamzuri Zabidin dan  Abdul Hamed Abdul Manaf serta tiga orang mahasiswa iaitu Farah Nurizzati Mislar, Alya Ayuni Manazil, dan Abu Hurairah Abdul Wahab Saaroni.

Kumpulan penyelidikan itu turut dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Wan Azlina Wan Ab. Karim Ghani, Holly Deviarti dan Muhamad Wazif Zakwan Mubarak.

 Selain itu, program berkenaan juga dihadiri oleh Kepala Desa Bagan Melibur, Isnadi Esman, S.Pd beserta staf, Field Officer EMP Malacca Strait SA, Arip Hidayatuloh, beserta staf, tokoh agama, tokoh masyarakat, dan penduduk kampung.

Menurut Dr. Khalina,  tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memjalankan proses penjernihan air gambut yang mengandungi  dua fasa.

Beliau berkata, fasa pertama adalah pemindahan ilmu mengenai air bersih dan kepentingannya yang telah dilaksanakan pada 25 hingga 28 Jun 2019 manakala fasa kedua adalah inovasi penapisan air secara semula jadi yang telah dilaksanakan pada 9 hingga  12 Disember tahun yang sama.

“ Proses tapisan air ini menggunakan bahan yang mudah didapati di sekitar kampung seperti batu, pasir, sedikit tawas, dan arang kelapa yang  telah dihancurkan dengan susunan dan kadar yang tepat.

“Hasil inovasi tersebut berjaya membersihkan air gambut dari warna perang ke warna jernih, selain dapat menukar pH (tahap keasidan) air dari 4 ke 6 atau7, serta menghilangkan rasa payau air gambut tersebut, ”ujarnya. 

Menurut beliau lagi , sistem penjernihan air gambut itu adalah sesuatu yang dapat memberi manfaat bukan sahaja untuk kegunaan harian penduduk, tetapi juga dapat memulihkan ekonomi masyarakat.

Hal ini kerana, dengan adanya air yang bersih, penternakan dan pertanian juga dapat dilakukan dengan baik.

Selain untuk kegunaan, program tersebut juga dilihat sebagai satu proses pembelajaran melibatkan murid sekolah akan lebih kreatif dan berinovasi dengan adanya set penapisan demonstrasi yang dipasangkan pada tangki simpanan air gambut di sekolah.

Beliau berharap menerusi  program tersebut, seluruh penduduk dapat menikmati air yang jernih dan tidak payau lagi lebih-lebih lagi dengan adanya air yang bersih dalam tempoh setahun dua lagi.

“(Kami juga berharap) ia dapat meningkatkan ekonomi keluarga masing- masing.

“Diharapkan agar masyarakat setempat dapat memanfaatkan perkongsian daripada pihak UPM dan mengaplikasikan dalam kehidupan seharian untuk kelangsungan hidup yang lebih baik,  ” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *