Kerja landskap tidak boleh semberono

Sejak berkecimpung dalam bidang arkitek landskap, Muhamad Adli Salihin Samsudin tidak lokek memberi bimbingan kepada mereka yang berminat dalam bidang tersebut. Dia amat berpuas hati dapat berkongsi ilmu untuk membangunkan dan mempromosi bidang tersebut. Namun di sebalik semua itu, timbul rasa kecewa terhadap segelintir mereka yang tidak sabar. Ikuti wawancara luah hatinya bersama jurnal.my.

Apakah bidang kepakaran tuan: ?

ADLI: Saya terbabit dalam bidang pereka landskap termasuklah arkitek landskap, landskap hortikultur yang banyak memperjuangkan aktiviti Edibel Landskap yang menjurus kepada produktif landskap dan juga segmen memajukan aktiviti pertanian bandar.

Apakah kelayakan dan cabaran dalam bidang ini ?

ADLI: Kelayakan dalam bidang ini adalah Ilmu Pertanian seperti Sains Pertanian dan juga Sains Hortikultur yang merangkumi ilmu Buah-buahan (pomology), Sayur-sayuran (Olerikultur) dan Bunga-bungaan (Florikultur).
Selain itu, ilmu dalam seni bina landskap juga perlu dalam memastikan kita dapat membuat perancangan rekabentuk kawasan dengan lebih betul, cekap dan produktif.

Sejauh mana bidang tersebut penting?

ADLI: Kesemua bidang ini dilihat sangat penting untuk dipraktik
kan sama ada dalam skala kecil atau pun besar.

Ini kerana kesemua bidang ini secara keseluruhannya dapat membantu meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat Malaysia dariada pelbagai lapisan masyarakat.

Di samping itu, ia dapat membantu memelihara kelestarian alam sekitar kita. Konsep estetika dan kefungsian dapat diterjemahkan dengan baik.

Apakah kita mampu melahirkan ramai pakar dalam bidang ini?

ADLI : Saya rasa ia mampu dilaksanakan asalkan mereka mempunyai jiwa (passion), minat untuk menerokai bidang ini dan juga ilmu pengetahuan mengenainya dalam bidang ini.

Dari segi mata kasar, saya lihat ramai yang berpotensi untuk menjadi mahir dalam bidang ini.

Saya sendiri telah mengajar dan memberi bimbingan kepada ramai peserta kursus yang pernah menghadiri kursus terutamanya kursus edibel landskap.

Saya sendiri masih dalam peringkat untuk menerokai bidang ini dengan lebih mendalam agar dapat saya sampaikan kepada umum, dengan lebih berkesan. Bagi saya sendiri, Learning is never ending process.

Sepanjang penglibatan tuan, apakah yang paling mengecewakan ?

ADLI : Banyak pengalaman yang saya tempuh sepanjang menceburi bidang ini. Ada yang manis dan ada yang pahit. Namun momen yang paling mengecewakan adalah mereka yang ingin melihat hasil yang dikerjakan itu dengan cepat dengan kurangnya ilmu dan informasi yang berkaitan.

Bidang ini banyak memerlukan kemahiran untuk berurusan dengan tanaman. Jika ilmu mengenai tanaman yang ingin kita usahakan itu kurang, ianya sedikit sebanyak boleh menjejaskan produktiviti hasil kerja kita . Jika hasil tanaman kita tidak berada dalam keadaan elok dan memuaskan , sudah tentu kita akan rasa kecewa dan kemudian kita akan cepat berputus asa dan terus kita akan hilang minat untuk mengusahakan nya semula.
.

Bagaimana kita hendak meningkatkan minat dan kesedaran masyarakat dalam bidang kepakaran tuan?

ADLI • Bagi mereka yang ingin serius dalam berkecimpung dalam bidang ini, perlulah mempunyai impian iaitu untuk membantu masyarakat dalam meningkat tahap kualiti kehidupan mereka dan juga membantu dalam menjana sosio ekonomi mereka.

Jika mempunyai niat sebegini , pasti mereka akan mempunyai keinginan untuk mendalami bidang ini. Antara ilmu yang penting adalah seperti Ilmu Botani dan Morfologi tanaman, ilmu mereka bentuk kawasan yang hendak dimajukan dan juga mempunyai skill kemahiran berkomunikasi yang baik.

Ini kerana, tidak semua orang awam atau golongan sasar kita, tahu mengenai tanaman dan seni mereka bentuk. Oleh itu , dengan mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik , ia sedikit sebanyak dapat memberikan maklumat yang tepat dan mudah difahami oleh golongan sasar kita.

Apakah yang tuan lakukan sebagai sumbangan setakat ini ?

ADLI: Saya berasa syukur kerana sentiasa dipermudahkan segala urusan dan juga diberi mandat dan peluang untuk memberikan tunjuk ajar sama ada secara teori dan juga secara praktikal kepada golongan sasar atau pelanggan sama ada orang-perseorangan , komuniti setempat, premis makanan dan minuman, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , agensi dan jabatan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta mahupun di peringkat akar umbi iaitu di tadika. Kesemuanya hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan juga Wilayah Persekutuan Labuan.

Dengan berkongsi ilmu yang ada pada mereka (pelanggan) semua ini, ia dapat mengembirakan diri saya kerana mereka semua dapat mempelajari dan mempraktikan ilmu yang cuba saya sampaikan.

Jika kita lihat sekarang, masyarakat mula sedar dengan potensi dalam bidang ini kepada mereka.
Kelihatan juga banyak kawasan yang terbiar dan tidak terurus, sudah menjadi kawasan Hijau yang cantik dan produktif seperi Kebun Komuniti, Taman-taman berkonsepkan Edible Garden di kafe, sekolah, pejabat, hospital dll. Mereka percaya dengan adanya taman sebegini dapat memberikan suasana yang tenang, damai dan kondusif kepada pelanggan mereka pula.

Selain itu, saya juga telah diberi peluang untuk menulis artikel dalam media Sosial , Majalah berkonsepkan tanaman hiasan , menjadi kolumnis akhbar tempatan dan juga menjadi tetamu panel jemputan rancangan televisyen yang menjurus pada segmen tanaman. Ini sedikit sebanyak membolehkan saya untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada secara menyeluruh kepada semua rakyat di negara ini.

Apakah perancangan tuan akan datang?

ADLI: Saya ingin merancakkan lagi aktiviti dalam bidang ini di kawasan bandar (Urban) yang sangat mencabar pada ketika ini.Umum mengetahui, kawasan bandar merupakan kawasan yang mempunyai taraf hidup yang tinggi. Ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan bagi masyarakat yang berada di bandar.

Saya ingin memastikan dengan kawasan (area) dan ruang (space) yang terhad, kita juga dapat menghasilkan hasil tanaman yang tinggi, dengan cara melaksanakan penambahbaikan konsep Laman Vertikal (Vertical Garden) dengan menanam tanaman keperluan asas yang kita perlukan dalam seharian dalam pemakanan kita. Jadi ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos bahan dapur mereka dan mereka juga boleh menjadi peniaga dan usahawan.

Dengan ledakan Revolusi Industri 4.0 sekarang ini, saya juga ingin memastikan masyarakat dapat menggunakan sepenuhnya teknologi digital yang ada sekarang. Masyarakat juga dapat menghasilkan sumber tenaga yang baru dan menggunakannya seperti penggunaan tenaga solar yang boleh menjimatkan penggunaan elektrik dan juga kitar semula bahan atau sisa tanaman menjadi kompos dan sebagainya. Usaha ini dilihat mampu membantu ke arah Kelestarian Pertanian (Sustainable Agriculture).

Apakah cabaran utama dalam bidang ini.

ADLI: Cabarannya adalah minat. Ia penting kerana dengan adanya minat, kita mahu untuk lebih menerokai ilmu dan maklumat terbaru yang diperlukan dalam bidang ini. Jangan sesekali berputus-asa. Harunginya dengan semangat positif.

• Biodata

Nama penuh: Muhamad Adli Salihin Samsudin
Asal: Johor Bahru
Umur: 43 tahun
Jawatan : Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian.

Pendidikan:
Diploma Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) – 1998
Bacelor Sains Bioindustri (Hortikultur) UPM – 2000
Sarjana Arkitek Landskap UPM 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *