Penceroboh jangan musnahkan alam

Mukadimah: Dr. Jarina Mohd Jani ternyata kecewa kerana masyarakat setempat sering dituduh merosakkan alam di sekeliling mereka tetapi bagi beliau, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sebaliknya, beliau mendakwa penceroboh yang masuk ke sesuatu kawasan, sebenarnya merosakkan kawasan tersebut.

Ikuti perkongsian pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam penyelidikan yang berkaitan kepakarannya menerusi wawancara bersama jurnal.my

Dr. Jarina Mohd Jani

Apakah bidang kepakaran Dr.

Dr Jarina : Bidang kepakaran saya adalah ekologi manusia (human ecology) yang mengkaji perkaitan antara manusia dan persekitarannya.

Sejauh  mana  bidang  tersebut penting?

Dr. Jarina: Ia amat penting dalam memahami kebergantungan manusia kepada alam yang berada di sekelilingnya, sama ada tumbuhan, haiwan, landskap dan lain-lain dan juga sebaliknya, demi memastikan kelestarian alam serta kesejahteraan manusia.

Apakah kita mampu  melahirkan  ramai pakar dalam bidang ini?

Dr. Jarina: Ya, walaupun bidang ini masih agak baharu di Malaysia tetapi amat diperlukan kerana negara ini mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang amat tinggi dan kita masih amat bergantung kepada sumber asli untuk kelangsungan ekonomi negara.

Tambahan lagi, masih wujud interaksi di antara masyarakat tempatan dengan alam yang telah melahirkan khazanah budaya dan tradisi yang unik di negara ini dan menjadi aset serta identiti yang perlu terus dipulihara.

Tambahan pula, hubungan alam dan manusia sejak zaman berzaman telah menghasilkan kearifan ekologi tempatan (local ecological knowledge) yang tinggi dalam kalangan mereka yang menggunakan sumber-sumber yang pelbagai. Ini sesuatu yang berpotensi meningkatkan lagi pemahaman ilmu alam kita yang selama ini hanya dijana secara saintifik. Jadi semua ini menjadikan negara kita sesuai untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang ini.

 Sepanjang  penglibatan  Dr. , apakah pengalaman yang paling  mengecewakan?

Dr. Jarina memerhatikan kawasan sekitar di dalam kawasan kampus UMT, Kuala Terengganu

Dr. Jarina: Apabila ada golongan yang salah faham tentang penggunaan sumber secara tradisional oleh masyarakat tempatan yang sering dilabel “memusnahkan alam” tanpa cuba memahami dahulu tatacara yang digunakan oleh pengguna tradisi tersebut dalam menggunakan sumber berkaitan.

Selalunya golongan pengguna tradisi ini secara prinsipnya lebih mesra alam kerana mewarisi atau mendapat sendiri kearifan ekologi yang tinggi tentang sumber dan ekosistem yang menampung sumber tersebut. Jadi mereka mempunyai amalan penggunaan yang lestari kerana mempunyai hubungan istimewa dengan alam yang menampung kehidupan mereka sejak zaman-berzaman. Mereka memastikan bahawa amalan tersebutuc tidak merosakkan sumber yang penting itu demi masa hadapan anak cucu mereka. Yang tidak cakna alam selalunya adalah “orang luar” yang hanya menceroboh dan mengambil rakus sumber yang ada tanpa memikirkan dampak tindakan mereka. Mereka tiada “perasaan” terhadap alam yang dianggap hanya sesuatu yang wujud untuk memberi faedah mereka pada saat tersebut.

Bagaimana kita hendak meningkatkan  minat dan kesedaran masyarakat dalam  bidang kepakaran Dr. ini?

Dr. Jarina: Perlu lebih banyak peluang untuk mengingatkan masyarakat bahawa kemustahilan hidup kita tanpa alam.

Dari peringkat anak-anak lagi perlu ada sesi kenali hubungan alam dan manusia, bermula dengan yang mudah seperti mengapa tumbuhan penting untuk manusia (bernafas) sehingga yang kompleks seperti hutan sebagai penadah hujan.

Kita perlu sering mengingatkan bahawa tamadun manusia telah bermula sejak kita bijak menggunakan alam untuk meningkatkan kualiti hidup tanpa memudaratkannnya.

Tamadun yang terunggul juga boleh musnah apabila kebijaksanaan tersebut hilang ditelan keghairahan untuk hanya mendapat faedah dari alam tanpa menjaganya.

Apakah  yang Dr.  lakukan  sebagai  sumbangan setakat ini

Dr Jarina: Menyumbangkan kepakaran  tentang kepentingan sumber semula jadi kepada masyarakat dalam memastikan pembangunan lestari berjaya dilaksanakan seperti di Setiu Wetlands yang sekarang sudah pun diwartakan sebagai salah satu Taman Negeri Terengganu.

Apakah  perancangan Dr. pada masa akan  datang?

Dr. Jarina: Meneruskan usaha dalam meningkatkan pemahaman saintifik tentang interaksi manusia dan alam demi menangani konflik yang semakin meningkat di antara kedua dimensi ini yang sepatutnya harmoni. Juga mengenengahkan kearifan ekologi tempatan yang ada pada masyarakat pengguna. sumber semula jadi tempatan supaya amalan- amalan baik mereka mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Nama : Dr.  Jarina Mohd. Jani

Jawatan: Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin , Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pendidikan:

  • -Ijazah Sarjana (Kepujian) Pentadbiran Ekonomi dan Sosial UFR Tours, Perancis 1998.
  • -Sarjana Pengurusan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2004
  • -Doktor Falsafah Geografi Kemanusiaan  Universiti of Edinburgh Scotland 2011

Antara kajian:

  • Setiu Floran Women Social Entrepreneurship
  • -Setiu Wetland Monsoon Expedition
  • -Setiu Community –Based Mud Crab Seed Bank
  • -Elucidating The Use of Natural Resources  For Livelihood  Making Among The Local Communities of Setiu Wetlands

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *