Politeknik Nilai bimbing usahawan hidroponik

Poly Agropreneur Hidroponik NFT Politeknik Nilai, Negeri Sembilan merupakan salah satu projek keusahawanan pertanian yang dilaksanakan di bawah Unit Keusahawanan Politeknik Nilai sejak 2011 lagi.

Ia merupakan salah satu usaha mengembangkan teknologi pertanian moden menerusi program pemindahan teknologi dan kepakaran kepada komuniti setempat. Program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan ilmu kemahiran kepada pelajar, belia dan komuniti setempat tentang kaedah dan cara-cara untuk menghasilkan benih, menjaga dan memasarkan pokok tanaman hidroponik NFT.

NFT atau Nutrients Film Technique, merupakan kaedah hidroponik  aliran iaitu air yang sangat cetek (senipis filem), mengandungi semua nutrien terlarut yang diperlukan untuk pertumbuhan dan tanaman disalurkan semula melalui akar tanaman yang tidak terdedah dalam saluran air yang tahan air.

Antara tanaman yang boleh didapati di Laman NFT Politeknik Nilai adalah green choral, red choral dan juga butterhead.

Laman NFT juga berjinak-jinak dalam menanam pelbagai jenis tanaman sayur yang menggunakan kaedah NFT seperti bayam merah, kailan, sawi dan juga pak choy.

Antara kebaikan hasil tanaman yang menggunakan kaedah hidroponik NFT adalah:

  • Pengeluaran hasil melalui sistem hidroponik adalah seragam dan dapat dikeluarkan sepanjang masa.
  • Sanitasi hasil adalah lebih baik melalui sistem hidroponik.
  • Penggunaan air dan baja yang lebih cekap.
  • Pengambilan nutrien lebih sempurna.
  • Pulangan hasil seunit kawasan bagi seunit masa adalah tinggi. 
  • Pencemaran alam sekitar dapat dikurangkan .
  • Mudah pengendalian – tidak perlu berpanas, tergigit lipan, menyiram, merumput dan membajak.  Guna sistem 3T (tanam, tunggu, tuai).
  • Jimat masa – tahap kematangan tanaman yang lebih cepat daripada penanaman di atas tanah.
  • Segar – melebihi tiga hari jika dicabut dengan akar dan jika tidak ada peti sejuk, boleh dalam baldi dan tidak layu.

KERJA-KERJA MEMBUAT INKUBATOR PENANAMAN HIDROPONIK NFT

Projek ini sering menerima kunjungan daripada pihak luar yang mempunyai program di Politeknik Nilai, atau pelawat yang membuat permohonan untuk mengadakan lawatan. Semasa lawatan, para pelajar yang terlatih akan memberi  penerangan mengenai projek yang dijalankan.

Ia juga dapat mendidik pelajar untuk berkomunikasi secara profesional, di samping memberi pendedahan kepada pelawat tentang projek yang sedang dijalankan di dalam politeknik berkenaan.

Lawatan kerjasama daripada politeknik  Sultan Salahuddin  Abdul Aziz Shah Shah Alam dan Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang

Poly Agropreneur Hidroponik NFT Politeknik Nilai turut melibatkan diri dalam jualan yang dilakukan oleh pelajar di beberapa pasar tani. Sehingga kini terdapat beberapa pasar tani yang disertai antaranya Pasar Tani Shah Alam, Selangor dan Pasar Tani Paroi, Negeri Sembilan. Selain itu, jualan turut diadakan di perkarangan Magic Cyberjaya dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Bandar Enstek. Aktiviti ini berjaya melatih pelajar berurusan dengan orang awam serta memberi pendedaha bagaimana menjadi seorang usahawan.

Pada 2016, program Hidroponik NFT Politeknik Nilai  terlibat dengan Program IM4U. Program tersebut  merupakan kerjasama antara IM4U dengan pelajar sekolah yang terdiri daripada tiga buah sekolah iaitu SAM Nilai, SMK Kuaters KLIA, SMK Sendayan sempena Volunteer Malaysia 2016 yang diadakan serentak di seluruh negara.

Kerjasama ini merupakan kali pertama bersama Politeknik Nilai, Negeri Sembilan. Setiap sekolah yang terlibat dibekalkan 1 mini set DFT (Deep Flow Technique) dan pembelajaran secara teori diadakan di Politeknik Nilai,.

Program seperti ini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari sistem tanaman moden dan pengenalan mengenai teknik hidroponik yang ada.

Pada 2018, Penyelaras NFT Politeknik Nilai, Norshima Sha’ ri dijemput oleh Granatech Sdn Bhd, Unit Inkubator Bioteknologi Tumbuhan dari Universiti Malaya (UM) sebagai Instruktor Bengkel Hidroponik yang diadakan di universiti berkenaan. Peserta bengkel adalah dalam kalangan pensyarah-pensyarah di UM.

Kaedah ini turut diperkenalkan kepada semua lapisan masyarakat dalam semua program yang disertai oleh Politeknik Nilai antaranya Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN), Program anjuran PUSPANITA dan Seminar Kebangsaan Jaringan Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN). 

Seiring dengan kemajuan teknologi pertanian terkini, usaha pelbagai pihak untuk meningkatkan sumber makanan negara perlu disokong. Menerusi inovasi terkini beberapa pensyarah di Politeknik Nilai telah berusaha membangunkan teknologi hidroponik, NFT bagi menjayakan hasrat kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Menurut Amir Afuan, salah seorang penyelidik yang membangunkan SmartNFT-Kit yang kini mula dipasarkan, pertanian bandar sekarang adalah gaya hidup yang semakin mendapat perhatian. Kawasan perumahan dan bandar yang terhad dari sudut penggunaan tanah mendorong beliau dan beberapa pensyarah lain mencipta kaedah penanaman yang lebih efisen dari sudut penggunaan tanah selain mesra pengguna.

Seperti sedia maklum, Politeknik Nilai, bukan sahaja melahirkan graduan TVET, tetapi juga menyumbang kepada kemudahan dan keselesaan rakyat melalui pelbagai pendekatan. Antaranya ialah dengan memperkenalkan Smart NFT-Kit yang mempunyai cari-ciri istimewa dari segi ruang, pemasangan, mesra pengguna dan yang paling utama ialah berpatutan.

Kelebihan Smart NFT-Kit ini, menjadikan ia semakin mendapat sambutan. Melalui penyelidikan yang dijalankan, SmartNFT-Kit bukan sahaja hanya boleh ditanam sayur-sayuran malah boleh juga ditanam pokok cili untuk kegunaan sendiri.

Menurut seorang lagi penyelidik yang Kamal Hat, melalui SmartNFT-Kit kita boleh mengawal kuantiti pembajaan untuk apa juga jenis tanaman yang ingin kita semai. Malah pengguna dapat menjimatkan penggunaan baja dan air kerana ianya digunakan semula melalui pam yang beroperasi.

Politeknik mengharapkan kesedaran dan minat masyarakat untuk berkebun sendiri di rumah dapat ditingkatkan lagi pada masa-masa akan datang dengan produk inovasi yang dihasilkan ini.

Ia juga seiring dengan hasrat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk meningkatkan hasil makanan negara melalui tema ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’.

Pada yang ingin mendapatkan Smart NFT-Kit ini boleh berhubung dengan pegawai pemasaran  Saifuddin melalui talian 013-4898247.

Pada peringkat awal ini, politeknik  hanya memasarkannya sekitar Nilai, Seremban, Sepang dan kawasan terdekat dahulu. Bagi harga satu set (termasuk pam, baja dan tiga jenis benih sayuran) dengan tawaran hanya RM290 sahaja.

Pada yang berminat bolehlah mendapatkannya dan menikmati hasil tanaman sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *