KEJAYAAN sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) membangunkan stesen mengambil wuduk dan kit kerusi roda bermotor untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU) membuka mata kita mengenai niat murni mereka membantu golongan tersebut. Usaha itu sepatutnya mendapat perhatian masjid dan surau. Ia merupakan satu inovasi bagi mengatasi masalah golongan istimewa yang sukar mengambil wuduk seperti OKU, warga emas serta pengunjung. Ia dilengkapi sistem pengaliran air yang boleh diakses kerusi roda bermotor.
Kerusi roda bermotor membolehkan pengguna bergerak ke stesen wuduk tanpa perlu berjalan dan seterusnya mengambil wuduk seperti kelazimannya.
Kerusi roda bermotor tersebut dihasilkan dua pensyarah UMP, Dr. Mohamad Heerwan Peeie,32, dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mrekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Dr. Syafiq Fauzi Kamarulzaman, 33, dari Fakulti Komputeran (FCom) yang mengubah suai kerusi roda sedia ada di pasaran kepada kerusi roda bermotor.
Mohamad Heerwan dan Syafiq Fauzi merupakan penyelidik yang mempunyai pengalaman lebih lima tahun di Jepun sewaktu menyambung pengajian.
Mohamad Heerwan mempunyai kepakaran dalam bidang automotif terutama berkaitan kenderaan elektrik, sistem kawalan dan robotik.
Begitu juga Syafiq Fauzi yang mempunyai kepakaran dalam bidang elektronik dan sistem komputer. Beliau sedang menjalankan kajian berkenaan kepintaran buatan (AI), sistem Internet of things (IoT) dan robotik.
Pada awalnya mereka menghasilkan kemudahan ini khusus buat warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah di Semenyih, Selangor.
Namun, setelah melihat kesukaran golongan istimewa ini mengambil wuduk di masjid mencetuskan ilham buat kedua-duanya menghasilkan Kit Kerusi Roda Bermotor untuk kemudahan OKU.
Lebih menarik, usaha tersebut mendapat sokongan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (Pimpin) dalam usaha menyediakan kemudahan mesra OKU di masjid UMP.
Pegawai Hal Ehwal Islam UMP, Md. Abdul Sahak mengalu-alukan usaha tersebut bagi membantu golongan sasar seperti OKU.
Ini bagi memudahkan OKU beribadah di masjid dan pada masa sama dapat menjaga keselamatan mereka daripada terdedah dengan kecederaan ketika mengambil wuduk.
Mohamad Heerwan berkata, inovasi berkenaa dihasilkan berdasarkan standard rekaan kerusi roda iaitu modul motor elektrik, bateri dan kawalan direka khas untuk kesesuaian pasang siap pada mana-mana kerusi roda yang ada di pasaran.
Selain itu, modul-modul dalam kit kerusi roda bermotor tersebut boleh disesuaikan dengan ketinggian dan saiz kerusi roda pasaran yang berbeza.
“Kit tersebut hanya memerlukan dua jam pengecasan menerusi pengecas yang dibekalkan untuk pergerakan berterusan selama lapan jam.
“Modul bateri dalam kit tersebut juga mempunyai ciri keselamatan seperti kunci keselamatan dan kelajuan boleh dilaras mengikut kesesuaian pengguna,” katanya.
Modul kawalan ini juga boleh disesuaikan mengikut tangan pengguna sama ada sebelah kanan atau kiri.
Ia memudahkan OKU mengawal pergerakannya. Modul motor dalam kit ini mampu membawa seseorang seberat 100 kilogram mendaki curam 20 darjah dengan mudah.
Bagi Syafiq Fauzi, matlamat hasil penyelidikan ini dapat memberi kebebasan kepada golongan OKU atau warga emas untuk berwuduk dengan lebih mudah. Mereka boleh bergerak sendiri dari tempat wuduk serta masuk ke ruangan khas untuk menunaikan solat bersama jemaah lain.
PRODUK ini bakal dipasarkan secara meluas mulai awal tahun hadapan. UMP juga mengalu-alukan hasil sumbangan warga universiti itu dan rakyat Malaysia untuk menyumbang dana dengan anggaran kos bahan tersebut adalah sekitar RM2,500 bagi satu unit kerusi roda bermotor untuk kemudahan di masjid mahupun rumah kebajikan untuk warga emas dan lain-lain golongan yang memerlukan.
Pada masa akan datang penyelidik berhasrat memperkenalkan elemen Internet of Things (IoT) pada kit tersebut sebagai pemantau keadaan pengguna. Ciri-ciri biometrik seperti kadar penafasan, degupan jantung, suhu badan boleh dipantau secara atas talian dan direkod bagi membantu mengesan simpton-simpton penyakit.
Produk ini juga telah diiktiraf apabila meraih anugerah pingat perak dalam Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) tahun ini.